Pestabola Merdeka 2024: Darren Lok Mampu Pacu Malaysia Ke Pentas Akhir

Saingan Pestabola Merdeka 2024 akhirnya bakal membuka tirai pada hari ini dengan membabitkan pertemuan antara Malaysia dan Filipina di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebelum melayakkan diri ke final.

Bawah kendalian Pau Marti Vicente, sudah tentu Malaysia ingin membuktikan sesuatu yang positif dalam kalangan peminat walaupun tanpa kelibat jurulatih terdahulu, Kim Pan-gon.

Apatah lagi Malaysia pastinya mempunyai misi untuk meraih kejuaraan musim ini selepas mereka gagal menjulang piala tersebut pada tahun lalu atas kekalahan kepada Tajikistan.

Untuk saingan kali ini, tidak banyak perubahan dibuat oleh Pau Marti dalam pemilihan pemain dengan rata-rata dianggap berada pada prestasi terbaik untuk dibawa turun.

Melihat kepada aksi hari ini, dijangka beberapa pemain Harimau Malaya bakal menjadi tumpuan untuk harungi aksi sulung berdepan cabaran bakal dibawa oleh Filipina di SNBJ.

Berikut merupakan tiga pemain pilihan kami yang dianggap mampu untuk memberi impak positif buat Malaysia untuk cuba mengatasi lawan serta melayakkan diri ke pentas akhir.

Darren Lok

Di posisi serangan, Pau Marti memiliki beberapa pemain yang cukup berkualiti untuk diketengahkan dalam kesebelasan utama demi mendapatkan jaringan buat pasukan kebangsaan.

Antara nama dijangka bakal mengisi kesebelasan utama sudah tentu terarah kepada Darren Lok yang memiliki reputasi cukup baik bersama Malaysia sebelum ini di pentas antarabangsa.

Keupayaan Darren yang membezakan beliau bersama pemain serangan lain adalah daripada segi tekanan-tekanan tinggi diberikan buat pertahanan lawan, kekuatan fizikal, serta sentiasa berada di kedudukan tepat untuk menyudahkan umpanan rakan sepasukan.

Paulo Josue

Tiada sebab mengapa nama Paulo Josue tidak ada dalam barisan kesebelasan utama pada perlawanan ini jika dilihat daripada segi momentum semasa beliau di pentas domestik serta keupayaan dimiliki.

Kreativiti dan ketajaman pemain naturalisasi dari Brazil ini sudah tentu ditagih buat siri serangan Harimau Malaya untuk mendapatkan gol mengatasi Filipina.

Pakej lain menyaksikan Josue juga memiliki keupayaan cukup baik daripada segi kualiti sepakan tepat jarak jauh untuk dimanfaatkan oleh skuad kebangsaan.

Safawi Rasid

Musim yang baik buat Safawi untuk kembali bangkit serta menjadi tumpuan ramai peminat bola sepak tempatan selepas dirinya tampil menonjol serta tajam di pentas domestik.

Selain tampil kembali lincah, daya penyudah dimiliki Safawi nyata kembali tajam dan beliau sudah pun merekodkan beberapa gol musim ini buat Terengganu dalam pelbagai kejohanan.

Paling diingati pastinya ketajaman beliau di hadapan gol menerusi situasi sepakan percuma yang berjaya mengecewakan beberapa penjaga gol tempatan serta membuatkan ramai penyokong teruja akan kualiti Safawi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN