Jelajah Piala Tun Dr. Mahathir Mohamad bakal diteruskan lagi di Zon Utara dengan menjadikan D’Futsal Centre, Alor Setar, Kedah sebagai lokasi kejohanan pada 19 dan 20 Julai nanti.
Alor Setar, yang juga merupakan tempat kelahiran penaung Pesta Futsal Rakyat, Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad bakal menerima kehadiran ribuan peserta dan pengunjung dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan juga Perak.
Teknologi RFID yang telah diperkenalkan buat pertama kalinya di Pesta Futsal Rakyat Zon Timur pada 6 dan 7 Julai lalu akan sekali lagi diimplementasikan di Alor Setar bagi memudahkan proses pengenalan peserta ketika hari pertandingan.
Pendekatan ini diambil bagi mentransformasikan landskap penganjuran kejohanan futsal ke arah masa depan digital.
Selain futsal, warga utara juga berpeluang menyertai Pertandingan Playstation: FIFA 2019, Cabaran Panna dan pelbagai aktiviti menarik di sekitar lokasi kejohanan. Terdapat juga gerai-gerai jualan yang bakal menarik pengunjung memeriahkan pesta ini.
Lebih daripada 4000 peserta dan pengunjung telah menghadiri jelajah pertama Pesta Futsal Rakyat di Kuantan.
Pendaftaran bagi acara-acara Pesta Futsal Rakyat – Piala Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya boleh dilakukan melalui aplikasi mudah alih “Tournamentor” Futsal.Asia yang kini boleh dimuat turun menerusi Apple App Store dan Google Play Store.
Pesta Futsal Rakyat 2019 – Piala Tun Dr Mahathir Mohamad dianjurkan oleh Futsal.Asia bersama penaja rasmi MYE.G. Services Berhad dan hurr.tv sebagai rakan media rasmi. Acara ini turut disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan.
Pesta Futsal Rakyat 2019 – Piala Tun Dr Mahathir Mohamad turut ditaja oleh Ekovest Berhad, Berjaya Corporation Bhd, Conquest, aL-ikhsaN Sports, 100PLUS, Ice Mountain, dengan kerjasama bersama Malaysian Football Freestylers & Gamesbond dan Picasso Media Sdn. Bhd. sebagai agensi media rasmi.
Untuk maklumat lanjut mengenai Pesta Futsal Rakyat 2019 – Piala Tun Dr. Mahathir Mohamad 2019, sila layari www.pestafutsalrakyat.com