Perkara-perkara mistik seperti penggunaan khidmat bomoh, ilmu hitam, sumpahan dan pelbagai lagi kaedah lain yang misteri sering dikaitkan dengan bola sepak. Sejauh manakah kebenarannya?
Peru menjadi pasukan pelengkap senarai 32 pasukan yang akan bertanding di Piala Dunia Rusia pada tahun hadapan selepas menundukkan New Zealand 2-0 dalam aksi timbal balik saingan kelayakan
Dua gol oleh Peru dijaringkan oleh Jefferson Farfan dan Christian Ramos, sekaligus membantu Peru menamatkan penantian mereka selama 36 tahun untuk beraksi di Piala Dunia.
Negara yang mempunyai jumlah penduduk seramai hampir 28 juta dengan pelbagai etnik ini mengikut jejak 4 lagi negara dari benua Amerika Latin iaitu; Brazil, Argentina, Colombia dan Uruguay.
Disebalik kejayaan Peru layak ke Piala Dunia, media di negara tersebut heboh mengenai beberapa upacara ritual mistik yang diadakan di kota tersebut sebelum sepak mula perlawanan.
Beberapa bomoh dilaporkan hadir di venue perlawanan bagi membawa roh semangat kepada pasukan kesayangan mereka untuk membenam New Zealand awal pagi tadi.
Sebelum pertandingan, bomoh-bomoh tersebut melakukan upacara ritual jampi dengan menebar pelbagai jenis bunga-bungaan di sekitar stadium, meniup trompet agar Peru mampu menewaskan New Zealand.
Tidak hanya dengan itu, bomoh-bomoh tersebut turut membawa ular dan diletakkan pada gambar beberapa pemain New Zealand. Pada kepercayaan mereka, ritual ini mampu melemahkan semangat pasukan lawan.
Sebaliknya ia akan membantu untuk menaikkan semangat pemain Peru .
Bagi bomoh-bomoh ini, mereka percaya bahawa upacara ritual yang dilakukan mampu menjemput malapetaka buat anak buah Anthony Hudson.
“Seorang pawang ular di Peru sudah mengumpulkan para bomoh untuk menghentikan hasrat New Zealand untuk menang pada perlawanan di play-off Piala Dunia di Lima. Tanda-tanda itu sepertinya berhasil,” laporan media Peru Newshub seperti yang turut disiarkan oleh tabloid berbahasa Inggeris The Sun.
“Semua orang New Zealand akan mengalami mimpi buruk yang aneh. Pengangkutan mereka seperti bas dan kapal terbang bakal tertunda.” kata salah seorang bomoh bernama Juan Osco ketika ditemubual oleh media StarTv.
Tidak itu sahaja, difahamkan malam sebelum perlawanan penduduk tempatan cuba memanfaatkan kelebihan sebagai tuan rumah dengan menyalakan bunga api di luar hotel penginapan Nee Zealand sekitar jam 3.30 pagi.
Bagi mereka ,tujuan melakukan hal tersebut adalah untuk menyambut kedatangan pemain New Zealand ke bumi Peru.
Kejayaan layak ke Piala Dunia bukanlah kali pertama buat pasukan La Blanquirroja. Sebelum ini Peru sudah berjaya ke Piala Dunia sebanyak 4 kali pada tahun 1930(Uruguay); 1970(Mexico); 1978(Argentina); dan 1982(Sepanyol).
Pencapaian terbaik pasukan itu di pentas Piala Dunia ialah pada edisi 1970 yang diadakan di Mexico. Pada 1970, Peru berjaya melangkah hingga ke peringkat suku akhir sebelum tewas keatas Brazil dengan keputusan 4-2.