Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) mengkritik pertemuan pemain antarabangsa negara berkenaan, Mesut Ozil dan Ilkay Gundogan yang bertemu dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.
Kritikan itu tiba setelah gambar kedua-dua pemain tersebut bersama pemimpin tinggi negara Turki tersebut dikongsikan kepada umum.
Erdogan merupakan Presiden negara berkenaan sejak 2014, dan bakal berhadapan dengan pemilihan dalam pilihan raya umum seluruh negara pada Jun hadapan.
Di kebanyakkan negara Eropah, Erdogan dianggap sebagai pemimpin penuh kontroversi. Penganalisis politik di rantau berkenaan sering menyifatkan pemimpin Islam berusia 64 tahun itu sebagai diktator, dan merupakan ancaman kepada amalan demokrasi di Turki.
Sebahagian daripada kempen Erdogan untuk meraih undi, beliau dikatakan telah mengadakan pertemuan dengan Ozil, Gundogan dan penyerang Everton, Cenk Tosun di London pada Ahad lalu.
Ozil dan Gundogan yang merupakan antara pemain utama antarabangsa Jerman berketurunan Turki. Kedua-duanya dikritik kerana ia disifatkan sebagai cubaan manipulasi untuk meraih sokongan untuk Erdogan.
Mengulas pertemuan tersebut, Presiden DFB, Reinhard Grindel dipetik sebagai berkata:
“Bola sepak dan DFB akan terus memperjuangkan nilai yang jelas tidak dihormati oleh Erdogan. Itulah sebabnya ia bukan perkara yang bagus untuk melihat pemain skuad kebangsaan negara ini membiarkan diri mereka digunapakai untuk kempen politik.”
“Dengan berbuat demikian, ia seolah-olah pemain kami tidak mendukung segala usaha oleh DFB dan ini turut melibatkan soal integriti.”
Pengarah DFB yang juga merupakan bekas pemain antarabangsa Jerman. Oliver Bierhoff turut mempunyai pandangan tersendiri.
“Tidak ada di antara pemain ini, baik Ozil atau Gundogan menyedari impak dan simbolik di sebalik gambar ini. Tetapi untuk berjumpa pemimpin dengan profail seperti Erdogan adalah salah. DFB akan memanggil kedua-dua pemain mengenai perkara ini,” ujar Bierhoff.
Erdogan dikenali sebagai seorang pemimpin Islam yang lantang terutama di dalam isu-isu membabitkan Islam di seluruh dunia.
Antaranya, ialah isu hukuman mati Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Prof Dr Badie bersama 529 orang penyokong Ikhwanul Muslimin (IM) di Mesir pada 2014 yang seperti tidak mendapat tempat di hati pemimpin-pemimpin dunia Islam yang lain.
Hanya seorang pemimpin yang bangun mengkritik Mesir dan dunia, dan beliau adalah Recep Tayyip Erdogan.
Pemimpin Turki yang berasal dari latar belakang konservatif Islam ini turut kerap mengkritik Israel dan tidak menyembunyikan sokongannya terhadap pergerakan Hamas Palestin, yang disenarai sebagai organisasi pengganas oleh AS, Israel dan beberapa negara lain.
Ini menyebabkan Erdogan adalah antara pemimpin dunia paling lantang mengkritik pengumuman oleh Amerika Syarikat untuk mengisytihar Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Presiden Turki itu turut terkenal di rantau ini kerana membidas pelanggaran hak asasi yang menjadikan minoriti Islam Rohingya sebagai sasaran kekejaman Myanmar dan pernah menghubungi pemimpin tertinggi negara itu, Aung San Suu Kyi mengenai kemelut itu.