Pertemuan “Klang Valley Derby” di antara pasukan Kuala Lumpur menentang Selangor dalam perlawanan pertama unifi Liga Super Malaysia malam ini pasti menjadi tumpuan para peminat bola sepak tanah air.
Kuala Lumpur selaku juara Liga Premier musim lepas pasti mahu memulakan saingan Liga super dengan langkah kanan manakala Selangor juga tidak rela pulang dengan tangan kosong.
Berdasarkan rekod pertemuan, Selangor lebih unggul dengan 39 kemenangan ke atas pasukan Kuala Lumpur tetapi pencapaian itu lansung tidak mengerunkan skuad warga kota itu.
Pengendali pasukan Selangor, P. Maniam mengakui rekod pertemuan tersebut tidak boleh dijadikan ukuran dan beliau mengingatkan anak buahnya supaya berwaspada berdepan dengan ancaman pasukan Kuala Lumpur yang beraksi di halaman sendiri.
“Pencapaian lampau itu boleh juga menjadi suntikan motivasi kepada kami namun tidak boleh memandang rendah keupayaan Kuala Lumpur. Saya lihat pasukan itu dibentuk dengan cukup baik dan turut dibarisi pemain yang memiliki kualiti.
“Dengan status selaku juara Liga Perdana, mereka tentu mahu menunjukkan aksi yang setara dengan gelaran dimenangi pada musim lalu. Apa yang saya boleh rumuskan, aksi pembukaan sentiasa memberi cabaran sukar kerana masing-masing mahu memburu kemenangan.
“Apapun, kami juga sudah bersedia sepenuhnya dan barisan pemain sudah pasti akan memberikan yang terbaik dalam usaha melakar keputusan yang positif,” katanya kepada Berita Harian.
Kedua-dua pasukan Lembah Klang ini kembali bertemu sejak 2013 namun mereka pernah bertemu dalam aksi Piala Malaysia 2016 apabila diundi dalam kumpulan sama sebelum ini.
Maniam juga kemungkinan akan menurunkan kesebelasan utama tanpa tonggak import pasukan itu, Alfonso de la Cruz malam ini.
“Alfonso baharu sahaja menyertai kita minggu lalu dan sempat menjalani beberapa sesi latihan sahaja, jadi berkemungkinan besar saya hanya akan menurunkan dia sebagai pemain gantian dan bergantung kepada situasi.
“Bagaimanapun, situasi ini tidak meresahkan saya kerana masih mempunyai dua pemain yang boleh diturunkan untuk mengisi posisi pemain tengah bertahan bagi perlawanan esok,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel tidak akan menurunkan pemain baru yang ditandatangani iaitu Achmad Jufriyanto dan Syazwan Andik Ishak.
Irfan Zakaria, yang baru kembali dari Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia Bawah 23 Tahun mungkin disenaraikan sebagai pemain gantian, manakala Zaquan Adha Radzak terpaksa dipinggirkan berikutan kecederaan kaki dan Naim Nazmi Zainuddin (cedera lutut).
“Saya mempunyai bayangan kesebelasan utama dan sudah tentu Irfan serta Jufriyanto pemain yang bagus. Kehadiran mereka memberi saya lebih pilihan.
“Pemain yang mula menjalani latihan dua bulan lalu berada dalam keadaan baik buat masa ini, jadi yang lainnya perlu bertarung untuk mendapatkan tempat masing-masing dalam pasukan, sekali gus ia memeningkan saya,” katanya.