Previu EPL 2017/18: Arsenal vs Manchester United, Misi Kebangkitan Perseteruan Lalu

Malam ini merupakan pertemuan yang pasti menjadi sebutan buat seluruh pemerhati bola sepak. Sejarah pertemuan kedua-dua kelab dilihat sarat dengan memori pahit dan manis sejak zaman berzaman.

Perseteruan membabitkan kedua-dua pasukan sudah memasuki ratusan pertemuan, namun di era Liga Perdana Inggeris (EPL), perlawanan tengah malam nanti waktu Malaysia adalah kali yang ke-51.

Antara kehangatan yang menarik perhatian selama ini ialah pemain-pemain yang pernah membuat penampilan bersama kedua-dua kelab. Antaranya ialah Robin Van Persie, Andy Cole, Brian Kidd, Mikael Silvestre dan Danny Welbeck.

Tidak kurang juga kisah pertembungan dua jeneral hebat ketika Manchester United dan Arsenal mendominasi persaingan EPL satu masa dahulu, iaitu Roy Keane dan juga Patrick Vieira.

Sejarah pertemuan:

Meskipun kedua-dua pasukan bertemu dalam liga yang sama sejak ratusan tahun dahulu, namun pertemuan di era 90an dan fasa millenium antara yang paling menarik perhatian.

Pertemuan epik melibatkan Alex Ferguson dan Arsene Wenger dalam menentukan kejuaraan Liga Perdana inggeris (EPL) pasti menjadi ingatan terutama di lewat 90an.

Mereka bersaing sesama sendiri dalam perebutan mahkota kejuaraan selama 4 tahun berturut-turut diantara musim 1997-1998 sehingga 2002-2003) dan kebanyakannya dimenangi oleh Manchester United.

Mandatory Credit:Clive Brunskill /Allsport

Secara keseluruhan, kedua-dua pasukan pernah bertembung dalam perlawanan liga sebanyak 196 kali. Daripada jumlah tersebut, Manchester United berbangga dengan 81 kemenangan.

Namun begitu, rekod United di Emirates Stadium sudah lama tidak memihak anak-anak buah Jose Mourinho. Pada musim lalu, Manchester United tunduk 2-0, juga tewas 3-0 di gelanggang yang sama pada musim sebelumnya (2015/16).

Sudah pasti Arsenal turut mengintai untuk menjarakkan rekod kemenangan 3 kali berturut-turut di laman sendiri di mana kali terakhir mereka melakukannya ialah pada tahun 1991.

Masih menjadi tumpuan utama?

Walaupun perseteruan kedua-dua pasukan boleh dianggap sebagai pertemuan besar dan penuh bersejarah, adakah ianya masih relevan untuk diperkatakan ketika ini?

Hari ini kita harus mengakui suasana dan kehangatan perlawanan sudah tidak lagi sama. Beberapa perubahan sejak beberapa musim yang lalu, menjadikan persaingan di antara kedua-dua pasukan seakan hilang bisanya.

(Photo by Mike Hewitt/Getty Images)

Pertembungan melibatkan kedua-dua pasukan dilihat semakin kurang serinya gara-gara beberapa senario yang telah mengubah rencah persaingan di antara kedua-dua kelab.

Antaranya ialah hilangnya pertembungan melibatkan kedua-dua pengendali yang berpengaruh iaitu Sir Alex Ferguson dan Arsene Wenger. Kita semua tahu bagaimana kompetitifnya dua individu ini ketika berada di sisi padang.

Perkara seterusnya ialah tiada pengganti melibatkan pertembungan 2 jeneral di tengah padang iaitu Roy Keane dan Patrick Vieira serta pertempuran dua penyerang prolifik Thiery Henry dan Ruud van Nistelrooy.

(Photo by Mike Hewitt/Getty Images)

Sejak beberapa musim kebelakangan ini, faktor prestasi tidak menentu melibatkan kedua-dua pasukan juga menyebabkan perseteruan di antara kedua-dua kelab sudah tidak segah dahulu.

Dahulunya, kedua-dua kelab bersaing untuk mengejar kejuaraan EPL. Sejak beberapa musim, kedua-dua pasukan lebih senang sekadar bersaing untuk perebutan slot ke pertandingan eropah.

Ini ditambah dengan kebangkitan dua pasukan yang dilihat mampu memecah dominasi Manchester United dan Arsenal, iaitu Chelsea dan Manchester City, Tottenham Hotspur.

Fakta perlawanan

Arsenal berkemungkinan untuk melakar kemenangan buat kali ke-13 berturut-turut di laman sendiri sejak 2005.

Kemenangan ini juga adalah perlu bagi mencipta rekod baharu pasukan iaitu menang dalam 7 perlawanan berturut-turut di Emirates Stadium.

Pintu gol Arsenal dilihat sukar dibolosi apabila hanya melepaskan 4 gol di laman sendiri sejak memulakan aksi liga Ogos lalu.

(Photo by Martin Rickett/PA Images via Getty Images)

Pertembungan 2 watak penting di tepi garisan membabitkan Jose Mourinho dan Arsene Wenger bakal memasuki fasa ke 18. Daripada jumlah itu, Mourinho hanya tewas 2 kali di tangan Wenger.

Sementara itu, Manchester United dalam usaha memburu kemenangan secara berturut-turut di tempat lawan, selepas kali terakhir melakukannya pada April yang lalu.

Musim ini juga mencatatkan peningkatan dari aspek perbezaan jaringan buat Manchester United mereka lebih prolifik dari segi penyudah pada musim ini dengan 24 gol. Ia adalah pencapaian terbaik sejak musim 2000-2001 pada tahap ini.

Apa yang boleh kita jangkakan?

Romelu Lukaku dan Mesut Ozil akan menjadi dua pemain tumpuan. Peranan dan impak yang di bawa Ozil dalam 4 perlawanan terdahulu bakal membuatkan kem United sedikit resah.

Untuk rekod, Ozil berjaya meledak 2 gol dan mencipta 2 bantuan gol dalam 4 pertemuan terakhir di antara kedua-dua pasukan. Manakala Lukaku hanya tampil dengan 1 gol dalam 11 perlawanan untuk United, selepas bermula cemerlang pada awal musim.

Perlawanan di Emirates Stadium nanti merupakan kunjungan yang ke-6 buat Lukaku. Dari 6 aksi itu di Emirates sebelum ini, Lukaku hanya berjaya menjaringkan 1 gol.

(Photo by Paul Jenkins/Action Plus via Getty Images)

Rekod Lukaku menentang 6 pasukan utama EPL selama ini sering dipersoalkan. Maka Arsenal sudah pasti akan menjadi sasaran Lukaku untuk mendiamkan pengkritiknya.

Bagaimanapun, ketiadaan Alexandre Lacazette yang mengalami kecederaan dalam perlawanan menenitang Huddersfield pada pertengahan minggu lalu, melegakan sedikit pertahanan Manchester united.

Mourinho dijangka mengekalkan  sistem bek bertiga dengan gandingan Marcos Rojo, Victor Lindelof dan Chris Smalling akan terus menjadi sandaran.

(Photo by Julian Finney/Getty Images)

Taktikal Arsene Wenger turut menarik untuk diperkatakan dengan gandingan bek bertiga gandingan Laurent Koscielny, Shkodran Mustafi dan Nacho Monreal juga telah menjadi nadi utama kebangkitan Arsenal akhir-akhir ini.

Begitu juga di bahagian tengah, kita bakal menyaksikan Aaron Ramsey, Mesut Ozil dan Alexis Sanchez akan berhadapan terus dengan Paul Pogba, Nemanja Matic dan kepantasan Marcus Rashford.

Ashley Young dan juga Sead Kolasinac akan turut menjadi pemain penting dalam perlawanan ini, mengambil kira prestasi semasa masing-masing yang cenderung membantu bahagian serangan, selain daripada tugasan di bahagian pertahanan.

Rumusan

Tiga mata pasti akan menjadi buruan penting buat Arsene Wenger dan Jose Mourinho pada malam ini. Bagi Arsenal 3 mata akan membenarkan mereka memintas Chelsea jika kelab London itu keciciran mata.

Bagi Manchester United, mata penuh adalah untuk mengekalkan momentum mengejar jiran tetangga Manchester City yang gah mendahului persaingan setakat ini.

Saingan pada malam ini mungkin tidak sama seperti yang kita pernah saksikan lebih  dua dekad lalu. Namun kedua-dua kelab pasti mahu keluar dari perseteruan lalu, mencipta legasi kejayaan baru sepertimana pernah dilakukan oleh mereka satu masa dahulu.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN