Quantcast

BERITA

Pertembungan Harry Kane Dengan Mohamed Salah Jadi Tumpuan

Bintang England dan Tottenham Hotspur, Harry Kane bakal membuat perhitungan dengan penyerang prolifik Liverpool, Mohamed Salah apabila kedua-dua pasukan mereka dijadualkan bertemu pada hari esok di Stadium Wembley.

Kane dan Salah dilihat memiliki peluang terbaik untuk mengembalikan prestasi sebenar bagi memastikan pasukan mereka mengutip 3 mata penuh dalam perlawanan ke 5 Liga Perdana Inggeris.

Empat bulan lalu Kane dan Salah dianggap peledak paling digeruni lawan di Eropah selepas kedua-duanya mengganas dengan merobek pertahanan lawan dalam setiap perlawanan.

Bagaimanapun timbul keraguan mengenai kemampuan mereka untuk mengekalkan momentum menjelang pertembungan paling dinantikan itu.

Mereka berdua bersaing sengit merebut Anguerah Kasut Emas sehingga ke perlawanan terakhir liga yang akhirnya dimiliki pemain antarabangsa Mesir itu dengan 32 gol mengatasi Kane dengan 30 jaringan.

Salah menjaringkan 44 gol dalam semua pertandingan dalam musim pertamanya bersama Liverpool membolehkan dia dinobat Pemain Terbaik Persatuan Pemain Bolasepak Profesional dan Persatuan Penulis Bolasepak.

Final Liga Juara-Juara menjadi memori hitam kepada Salah apabila dia mengalami kecederaan bahu dan terpaksa dikeluarkan selepas diasak keras pemain Real Madrid, Sergio Ramos. Tanpa Salah Liverpool tewas 3-1 dalam perlawanan itu.

Kecederaan Salah memberi kesan kepada skuad Mesir yang beraksi di Piala Dunia sehingga tersingkir seawal pusingan pertama.

Pemain berusia 26 tahun itu kembali ke Merseyside untuk memulakan musim baru dengan menjaringkan gol ketika menewaskan West Ham. Walaupun dia menjaringkan dua gol dalam empat perlawanan Liverpool setakat ini, kelincahannya tidak seperti musim lalu.

Kane bagaikan tidak peduli dengan persepi tamak memburu gol secara individu tetapi tanpa diragui dia muncul penjaring terbanyak di Piala Dunia lalu dengan enam gol.

Bagaimanapun prestasinya selepas itu agak merosot dan pemain berusia 25 tahun itu hanya menjaringkan dua gol dalam enam perlawanan bersama kelab dan England.

Dia dikeluarkan dalam aksi persahabatan menentang Swtizerland yang dimenangi England 1-0, kelmarin.

“Saya risau mengenai Kane. Sejak 2015 dia sudah beraksi 175 perlawanan. Lupakan aspek fizikal, dia perlukan rehat dari segi mental,” kata penolong pengurus England, Gary Neville.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!