Sekalipun ianya sekadar perlawanan persahabatan, pertembungan di antara Kelantan dengan Selangor pada malam ini sudah pasti mencuri tumpuan kerana dua pasukan ini pernah muncul sebagai pasukan ‘gergasi’ dalam arena bola sepak tempatan.
Selangor bertandang ke Kota Bharu dengan status pasukan pilihan selepas berjaya mendapatkan beberapa pemain baharu yang memiliki reputasi yang baik. Malah mereka juga adalah pasukan Liga Super berbanding Kelantan yang cuma beraksi di Liga Premier pada musim ini.
Namun ia bukan bermakna The Red Giants boleh mengambil mudah cabaran The Red Warriors yang dilihat semakin ‘bernafsu’ memperkuatkan pasukan dengan kehadiran muka-muka baharu sama ada pemain tempatan mahupun pemain import.
Malah pasukan itu juga berjaya mengatasi beberapa isu terutamanya melibatkan isu gaji tertunggak selepas pengurusan pasukan diambil alih oleh Team Red Warriors Sdn Bhd yang dipercayai akan mengendalikan pasukan secara profesional.
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sudah tentu mengharapkan penyokong TRW dapat membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV pada malam ini sebagai ‘pemain ke-12’ untuk memberi semangat dan sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka.
Kelantan dijangka akan menurunkan skuad terbaiknya untuk berdepan dengan pemegang rekod juara Piala Malaysia terbanyak (33 kali) itu. Ianya peluang untuk pengendali TRW, Yusri Che Lah mencari ramuan terbaik sebelum cabaran sebenar dalam saingan Liga Malaysia bermula pada 28 Februari ini.
“Walaupun sekadar aksi pemasan badan, perlawanan menentang Selangor ini adalah sebagai ujian sebenar untuk pasukan.
“Ini kerana Selangor merupakan sebuah pasukan yang cukup kuat dalam kancah Liga Malaysia.” kata Yusri dalam kenyataan media pasukannya.
Bagi Selangor pula, aksi malam ini boleh dianggap sebagai perlawanan penting kerana ia adalah perlawanan persahabatan pertama yang dibuat secara ‘terbuka’ di hadapan ribuan penonton selepas mereka telah bermain dalam beberapa perlawanan persahabatan tertutup sebelum ini.
Dalam saingan Selangor Asia Challange (SAC) 2020 pada bulan lepas, Selangor mengakhri kejohanan tersebut di tempat kedua selepas tewas kepada pasukan Thailand, Bangkok Glass dalam perlawanan penentuan menerusi sepakan penalti.
Kredit Foto: Kelantan FA