Pasukan gergasi Indonesia, Persija Jakarta secara rasminya telah pun melantik Carlos Pena selaku pengendali baharu mereka untuk saingan Liga 1 pada musim hadapan bagi menggantikan khidmat Thomas Doll.
Nama Pena sebenarnya boleh dianggap cukup besar sebelum ini selaku pemain profesional di Eropah sebelum beliau memulakan era baharu di posisi kejurulatihan.
Ketika masih aktif di atas padang, Pena pernah mewakili Barcelona C dan Barcelona B sebelum diberi peluang untuk menyertai pasukan utama gergasi Sepanyol itu.
Namun, Pena gagal untuk mendapat tempat di atas padang dan hanya 10 kali disenaraikan oleh pasukan tersebut selain lebih banyak tersisih di pentas utama LaLiga ketika itu.
Selain itu, Pena juga menyertai beberapa kelab lain seperti Albacete, Recreativo, Valladolid, Oviedo, Getafe, Lorca serta mengakhiri karier selaku pemain profesional di India untuk mewakili Goa.
Selepas itu, beliau memulakan karier di pentas kejurulatihan bersama kelab tersebut dan berkembang sehingga kini dilantik buat Persija pula dalam saingan Liga 1 Indonesia.
Musim lalu menyaksikan Persija menamatkan cabaran di tangga kelapan saingan Liga 1 Indonesia bawah kendalian Thomas Doll, dan pastinya kehadiran Pena ditagih untuk memantapkan lagi pasukan tersebut.
Untuk rekod, pengendali kelahiran Sepanyol itu telah pun melatih Ratchaburi FC pada saingan musim lalu di Thailand bersama catatan menyakinkan selain taktikal permainan berkualiti.
Bersama Ratchaburi, Pena memastikan kelab tersebut menamatkan cabaran di saingan Thai League 1 pada kedudukan keenam bersama 39 mata daripada 30 perlawanan diharungi.
Walaupun begitu, Pena kini hanya diberi kontrak selama satu musim sahaja bersama Persija untuk membawa pasukan itu bersama perubahan daripada segi corak permainan serta keputusan menyakinkan.
“Persija adalah sebuah pasukan yang cuku besar dan memiliki penyokong sangat luar biasa untuk diperkatakan. Mereka memiliki sasaran yang sangat hebat.
“Sudah tentu saya ingin melanjutkan karier dalam dunia kejurulatihan bersama pasukan hebat seperti Persija dan memasang tekad untuk meningkatkan kualiti kelab serta para pemain,” ulas beliau menerusi perkongsian Bola.com.
Sebenarnya, Pena pernah menghadapi gergasi dari Indonesia itu pada tahun lalu ketika beliau mengendalikan Ratchaburi FC bagi satu aksi persahabatan.
Dalam aksi tersebut, Pena gagal untuk memastikan Ratchaburi mencipta keputusan positif apabila mereka tewas kepada Persija menerusi keputusan 1-3.