Persiapan ‘Cacamarba’, Kedah Sedia Atau Tidak Untuk Piala AFC?

Menjelang saingan Piala AFC 2022 bagi peringkat Kumpulan G yang bakal membuka tirai pada 24 Jun ini dengan membabitkan Kedah Darul Aman (KDA) di Denpasar, Bali, nyata kelab ini sudah memulakan persiapan mereka untuk persediaan kejohanan tersebut.

Namun prestasi semasa KDA ketika ini dilihat agak menimbulkan rasa resah dalam kalangan penyokong apabila kelab tersebut dilihat agak samar-samar persiapan mereka ketika ini menerusi beberapa perkara.

KDA antara pasukan yang kini sedang bergelut dalam prestasi sejak beberapa perlawanan terakhir di saingan Liga Super sebelum persaingan berehat seketika.

Kelab yang dikendalikan oleh Aidil Sharin Sahak ini turut mencatat rekod bolos tertinggi ketika ini bersama Sarawak United dengan 17 gol dilepaskan daripada sembilan perlawanan dihadapi.

Aksi perlawanan persahabatan yang hambar

KDA ketika ini sudah pun mengharungi dua aksi persahabatan dalam misi persediaan mereka untuk ke pentas AFC 2022.

Apa yang menimbulkan rasa resah dalam kalangan penyokong ketika ini apabila kelab tersebut sekadar mencatat keputusan hambar daripada dua lawan mereka iaitu Penang dan Perak dengan sekadar mencatat rekod seri.

KDA dilihat langsung tidak mendapat perlawanan dari lawan lebih bersifat kompetitif untuk memberi gambaran lebih baik dalam aksi AFC nanti, malah lawan yang mereka tentang juga gagal untuk ditewaskan walaupun Penang kini berada di dasar liga serta Perak beraksi di Liga Premier.

Corak permainan langsung tidak menyakinkan

Aidil Sharin ketika ini seolah buntu untuk meningkatkan kembali tahap permainan KDA ke arah lebih baik selain kebergantungan penuh kepada gerakan individu pemain sendiri.

Dari segi pelan permainan, corak yang dipamerkan terlalu mudah dijangka dan serba serbi tidak kukuh biarpun mempunyai barisan pemain yang berkualiti.

Untuk menggerakkan serangan, Aidil lebih bertumpu kepada kekuatan fizikal Ronald Ngah dan tidak ada gerakan lebih stabil dipamerkan pasukan tersebut biarpun berhadapan lawan lebih lemah seperti Perak.

Bayangkan lawan mereka di AFC nanti merupakan juara Liga 1 Indonesia iaitu Bali United yang beraksi dengan intensiti lebih tinggi dan mempunyai pemain lebih berkaliber seperti Stefano Lilipaly, Ramdani Lestaluhu, Nadeo Argawinata, serta beberapa lagi nama besar.

Import baharu masih samar-samar

Walaupun KDA berjaya menandatangani bintang Thailand iaitu Sanrawat Detchmitr lebih awal, namun kelab tersebut masih lagi belum memutuskan import baharu mereka ketika ini.

Hanya berselang beberapa minggu sahaja lagi, KDA kini hanya mempunyai empat pemain import dalam sesi latihan untuk menguatkan lagi persefahaman antara mereka.

Jika import baharu tiba lebih lewat, maka ini akan menjadi masalah buat kelab tersebut untuk mencapai persefahaman dalam permainan sebenar nanti kerana faktor masa.

Kesimpulan

Adakah KDA sebenarnya begitu serius untuk menghadapi saingan Piala AFC 2022 kali ini di Bali menerusi persiapan semasa yang dibuat?

Bukan untuk menidakkan kemampuan kelab tersebut, namun berdasarkan prestasi semasa ketika menentang Perak baru ini serta masih serba kurang dalam barisan pemain menjadikan segelintir penyokong agak ragu-ragu.

Pengurusan kelab perlu bekerjasama dengan lebih baik bersama barisan jurulatih untuk mengesan lebih awal masalah prestasi KDA.

Aidil Sharin sendiri perlu membuktikan kepada para penyokong mengapa beliau masih lagi relevan untuk membawa KDA lebih baik pada musim ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN