Sekalipun pasukan lain kini sedang rancak mengambil pemain-pemain baharu untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada musim baru ini, Kelantan United mengambil pendekatan tidak terburu-buru dalam memuktamadkan barisan pemain yang akan membawa cabaran pasukan Pantai Timur itu.
Pendatang baharu Liga Premier berkenaan sebelum ini dikatakan masih menunggu status kelulusan sijil pelesenan kelab dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang membolehkan pasukan itu beraksi di saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada musim depan.
Ketua Jurulatih Kelantan United, Zahasmi Ismail dalam kenyataannya kepada Bernama memaklumkan skuad Kijang Hijau ketika ini masih menguji beberapa pemain tempatan dan import yang dipercayai mampu memperkuatkan pasukan untuk memberi saingan sengit kepada pasukan-pasukan lain terutamanya dalam saingan Liga Premier.
Kelantan United Tunggu ‘Lampu Hijau’ FAM Sebelum Daftar Pemain Baharu – https://t.co/p8dzPLtJm8 pic.twitter.com/obWUqpmtqQ
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) December 22, 2019
“Pencarian pemain tempatan dan import dilakukan melalui ujian pada beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini, dan beberapa pemain dalam radar serta penilaian kami yang bersesuai dengan keperluan pasukan, namun buat masa ini saya tidak boleh mendedahkan pemain itu, bagi mengelak salah faham.
“Skuad hampir dimuktamadkan. Minggu hadapan, InshaAllah kita akan panggil pemain yang terpilih untuk turun sesi latihan penuh pasukan sempena “pre-season”.
“Kita jangka dapat mengumumkan senarai pemain yang akan menyarung jersi pasukan dalam masa terdekat,” katanya.
Kelantan United pada Selasa telah beraksi dalam perlawanan persahabatan berdepan UiTM Machang di Stadium Sultan Muhammad IV dengan mencatat kemenangan 10-0. Sebelum itu mereka turut bertemu dengan pasukan Pilihan Pasir Puteh.
‘Kembar’ Mohamed Salah Jalani Sesi Percubaan Bersama Kelantan United – https://t.co/vo71ToshVc pic.twitter.com/7TcL1GpxSI
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) December 31, 2019
Menurut Zahasmi, Kelantan United akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan lagi untuk memantapkan pasukan termasuk perlawanan menentang Terengganu FC pada 10 Januari di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
“Saingan Liga Premier tidak seperti Liga M3, kami perlu melakukan persiapan yang lebih rapi, sekiranya mahu menjadi satu daripada pasukan yang kuat dalam persaingan.
“Kami akan menentang pasukan dalam dan luar negara bagi mengenal pasti kelemahan serta kemampuan pasukan dan untuk diperbaiki sebelum sepak mula sebenar Februari depan,” katanya yang turut memaklumkan persediaan pasukan itu telah hampir 90 peratus.
“Kami tidak mahu terburu-buru bagi mendapatkan khidmat pemain, baik pemain import mahu pun tempatan, bagi mengelakkan pembaziran di kemudian hari.”
Kredit Foto: Kelantan United FC