Quantcast

BERITA

Persebaya Surabaya Pernah Cuba Pancing ‘Guardiola Singapura’ Dari Kedah

Kelab Liga 1 Indonesia, Persebaya Surabaya baharu sahaja mengumumkan Ketua Jurulatih baharu mereka pada penghujung Oktober lalu.

Bekas pemain skuad kebangsaan Indonesia, Aji Santoso diumumkan sebagai pengendali baharu skuad dengan gelaran Bajul Ijo selepas pengendali sebelumnya, Wolfgang Pikal mengambil keputusan meninggalkan kelab tersebut.

Aji Santoso sememangnya bukan individu yang asing buat Persebaya Surabaya. Beliau pernah mengendalikan pasukan itu pada musim 2009, dan merupakan bekas pemain kelab tersebut sekitar 1996 sehingga 1997.

Menariknya, satu laporan dari seberang yang diterbitkan oleh IndoSport mendedahkan Aji Santoso bukanlah pilihan pertama Persebaya Surabaya untuk jawatan Ketua Jurulatih menggantikan Pikal.

Pilihan pertama Persebaya sebenarnya adalah Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Shahrin – yang turut digelar sebagai ‘Guardiola Singapura’.

Menurut laporan tersebut, Persebaya telah menghubungi dan memberikan tawaran kepada Aidil untuk ke Surabaya.

Bagaimanapun tiada tindakan dan perbincangan lanjut daripada pihak Persebaya menyebabkan perkara itu terkubur begitu sahaja.

Malah Aidil dilaporkan oleh laporan yang sama, telah menerima tawaran untuk melanjutkan kontrak bersama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) untuk saingan Liga Malaysia 2020 disebabkan perbincangan bersama Persebaya terkubur begitu sahaja.

Selain daripada Persebaya, IndoSport turut melaporkan terdapat ejen menawarkan Aidil sebagai pengendali Persija Jakarta.

Bukan perkara yang menghairankan jika ada kelab dari luar inginkan khidmat Aidil Shahrin. Pada musim pertamanya di Kedah, Aidil telah berjaya membawa skuad Lang Merah merangkul kejuaraan Piala FA, muncul naib juara Piala Malaysia, dan menduduki tangga ke-4 Liga Super.