Persaraan Aidil & Safiq: Apa Mesejnya Kepada FAM, Siapa Pengganti?

Safiq Rahim dan Aidil Zafuan telah pun mengesahkan persaraan mereka daripada arena bola sepak antarabangsa.

Merupakan antara 2 pemain yang terbaik dalam generasi mereka. berita persaraan Safiq dan Aidil pastinya memberi tamparan hebat buat pengendali skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee.

Ini kerana 2 nama ini sudah pastinya menjadi pemain utama dalam perancangan beliau terutamanya dalam persiapan menghadapi kejohanan AFF Suzuki 2016 pada hujung tahun ini dan baki kempen kelayakan Piala Asia 2019.

su_04.14-e1464335455690-1.jpg.jpeg

Kenapa bersara?

Perlu kami ingatkan bahawa agak naif untuk kita mempertikaikan komitmen dan patriotisme Safiq dan Aidil tentang keputusan ini. Kita sendiri melihat mereka sentiasa memberikan usaha dan komitmen 100% setiap kali menyarung jersi negara.

Keputusan bersara adalah sesuatu yang biasa untuk mana-mana pemain skuad kebangsaan kerana tidak ada mana-mana negara mengenakan kontrak kepada mereka.

Bukan persoalan komitmen yang menjadi buah mulut peminat bola sepak tempatan. Sebaliknya persoalan masa yang dipilih oleh mereka untuk bersara.

Sebagai kapten dan naib kapten skuad kebangsaan, Safiq dan Aidil masih mempunyai tugas dan misi yang belum selesai – iaitu kempen kelayakan Piala Asia 2019. Bak kata orang putih, you have to finish what you have started.

aidil1

Ia satu persoalan yang hanya mampu dijawab oleh Safiq dan Aidil sahaja.

Peminat bola sepak tempatan sebenarnya tidak asing dengan berita persaraan pemain dari tugasan antarabangsa.

Kita sendiri melihat bagaimana Lionel Messi, Javier Mascherano, Ever Banega, Gonzalo Higuain dan beberapa lagi pemain bintang Argentina mengambil keputusan untuk bersara selepas tewas penentuan penalti kepada Chile dalam final Copa America Centenario 2016.

Tetapi sekurang-kurangnya mereka melakukannya selepas selesai melakukan tugasan dan misi mereka. Berjaya atau gagal – itu cerita lain.

Persaraan Safiq dan Aidil satu mesej?

Safiq dan Aidil kedua-duanya memberitahu mahu memberikan peluang kepada pemain generasi baru sebagai salah satu alasan mengapa mereka bersara dari skuad kebangsaan.

Jika Safiq dan Aidil berada pada umur sama seperti Amri Yahyah, bolehlah kita menerima alasan tersebut.

Tetapi mereka berdua masih berada dalam fasa puncak karier bola sepak mereka. Mereka sentiasa menjadi nama wajib dalam kesebelasan utama di peringkat kelab. Dan kelab mereka pula sedang bersaing hebat dalam kejohanan AFC Cup, Liga Super dan Piala Malaysia.

Boleh dikatakan keputusan mereka agak drastik selepas jelajah Oceania. Seakan-akan ada ‘mesej tersembunyi’ yang mahu disampaikan mereka kepada seseorang (atau sesebuah organisasi bola sepak).

Sumber: Football Association of Malaysia (Official)
Sumber: Football Association of Malaysia (Official)

Masakan mereka mampu membuat keputusan drastik kalau tidak ada perkara yang mempengaruhi keputusan mereka. Bak kata pepatah Melayu, masakan pokok boleh bergoyang kalau tiada angin yang bertiup?

Siapa ganti Safiq dan Aidil?

Untuk posisi Aidil yang bermain sebagai pertahanan tengah, kita mungkin ada beberapa pilihan lain.

Kami melihat sudah tiba masanya pemain seperti Khairul Helmi Johari (Kedah) dan Shahrom Kalam (Selangor) untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Aidil.

Namun bagi posisi Safiq, kami agak sukar memikirkan ‘klon’ beliau dalam Liga Super. Safiq merupakan pemain tengah yang mampu bermain sebagai perancang dan box-to-box midfielder, pakar set-pieces, tinggi staminanya dan tiada masalah membantu penyerang untuk menjaringkan gol.

Baddrol Bakhtiar (Kedah) mungkin antara salah satu nama yang akan disebut-sebut mempunyai kualiti hampir sama dengan Safiq. Tetapi OKS lebih gemar menggunakan kepelbagaian jarak hantaran (passing ranges) Baddrol dan memberikannya tugas deep lying playmaker dalam sistem 4-2-3-1.

Amirul Hadi Zainal (JDT) pula – meskipun kerap dicerca Zainal Abidin Rawop – pula cemerlang dalam posisi no.10 (di belakang penyerang tunggal) berbanding di posisi no.8.

Nazmi Faiz (Selangor) pula lebih selesa melakukan tugasan sebagai perancang berbanding sebagai box-to-box midfielder.

Amirul Hisyam (Kedah) dan Ahmad Khairil Anuar (Perak) pula merupakan deep lying playmaker dalam pasukan masing-masing dan agak kurang mobil untuk berevolusi sebagai box-to-box midfielder.

Brendan Gan (Kelantan) mungkin satu-satunya pengganti Safiq yang terbaik buat masa ini. Bermula sebagai attacking midfielder di Sydney FC, beliau kemudiannya berevolusi menjadi salah satu defensive midfielder terbaik dalam Liga Super.

Mempunyai kualiti serangan dan bertahan, ini membuatkan beliau calon sempurna untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Safiq Rahim.

Siapa kapten seterusnya?

Bukan senang menggalas tanggungjawab menjadi kapten pasukan Harimau Malaya. Ia mungkin antara tugas paling sukar di dunia.

Untuk mengganti Safiq dan Aidil, OKS memerlukan pemain-pemain yang berkarisma yang sudah pun mendapat penghormatan rakan-rakan sepasukan mereka di peringkat kelab.

Contohnya Baddrol Bakhtiar dan Khairul Helmi Johari yang dihormati dalam skuad Kedah. Shahrom Kalam pula merupakan pemimpin di atas padang dan dalam bilik persalinan Selangor.

13323725_990169457746485_974291317862655422_o

Apakah yang kita boleh pelajari daripada berita persaraan Safiq dan Aidil?

Satu perkara: national team pool kita masih terlalu kecil.

Apabila seorang pemain kebangsaan berkaliber cedera atau bersara, skuad kebangsaan kita pasti akan huru-hara mencari pengganti.

Perkara ini berbalik kepada masalah nombor satu bola sepak negara kita iaitu pembangunan akar umbi.

Selagi FA negeri masih tidak mengambil serius dan terlibat secara aktif dalam pembangunan bola sepak akar umbi, selagi itulah masalah ini akan berpanjangan.

Selagi kita tidak menetapkan falsafah bola sepak negara kita sendiri (seperti yang dicadangkan oleh NFDP melalui falsafah 4-4-2 diamond tetapi ditolak mentah-mentah oleh jurulatih-jurulatih lain), selagi itulah masalah ini akan berpanjangan.

Selagi kita memandang sepi pemain-pemain tempatan di Liga Perdana, selagi itulah masalah ini akan berpanjangan.

Apa positifnya persaraan Safiq dan Aidil?

Satu perkara: ia berfungsi sebagai ‘siren bangun tidur’ (wake up call) kepada pengurusan bola sepak negara kita.

Jika berita persaraan mereka dan kekelam-kabutan OKS mencari pengganti mereka masih tidak mampu membangunkan ‘tidur’ pengurusan bola sepak negara kita untuk segera membesarkan national team pool kita, tiada apa yang dapat menyelamatkan bola sepak Malaysia.

Terima kasih Safiq dan Aidil!

Memainkan watak penting yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2009, Aidil Zafuan menamatkan tugasannya dengan 68 caps dan menjaringkan 3 gol.

Manakala Safiq Rahim mengumpul 66 caps dan 15 gol. Beliau turut menjuarai pingat emas Sukan SEA 2009 dan Piala AFF 2010.

Sebagai peminat bolasepak Malaysia, kami mengucapkan terima kasih di atas jasa anda berdua!

Baca juga: 5 Perkara Yang Kita Belajar Selepas Melihat Malaysia Seri 0-0 vs Myanmar

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN