Persaingan Sengit Ternoktah, Manchester City Muncul Juara Liga Perdana Inggeris 2018/19

Manchester City

Setelah bersaing hebat dengan Liverpool sepanjang musim, Manchester City akhirnya dinobatkan selaku juara Liga Perdana Inggeris (EPL) 2018/19 selepas berjaya menundukkan Brighton & Hove Albion 4-1 di Stadium Amex, sebentar tadi.

Brighton yang turun tanpa tekanan dilihat berjaya memberikan kesukaran buat Manchester City pada awal permainan dengan gerakan serta percubaan ke kubu lawan.

Ketika keadaan semasa di Anfield memihak Liverpool yang mendahului Wolverhampton Wanderers 1-0, Manchester City pula dikejutkan dengan jaringan pembukaan Brighton menerusi Glenn Murray.

Situasi yang jelas menggembirakan para penyokong Liverpool yang turut berdebar menanti perkembangan semasa di Stadium Amex.

Berpunca daripada sepakan sudut yang diambil Pascal Gross, Murray melonjak tinggi bagi menanduk masuk bola untuk gol pada minit ke-27 itu.

Namun, kegembiraan penyokong tuan rumah dan Liverpool itu hanya bertahan seminit apabila Sergio Aguero kembali menyamakan kedudukan hasil percubaan jarak dekat yang melepasi celah kaki penjaga gol Brighton, Matthew Ryan.

Jaringan penyamaan tersebut nyata meningkatkan tempo permainan buat Manchester City dan hampir menambah jaringan seminit kemudian.

Tandukan Bernardo Silva yang langsung tidak dikawal pertahanan Brighton bagaimanapun berjaya ditepis Ryan.

Pemain pertahanan, Aymeric Laporte menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-38 selepas tandukannya hasil sepakan sudut Riyad Mahrez terus menerjah gawang.

Tidak mahu memberikan laluan mudah buat skuad bimbingan Pep Guardiola, Brighton mencemaskan kem Manchester City menerusi sepakan percuma menerusi Dunk.

Sepakan padu diledakkan pada masa kecederaan babak pertama itu dinafikan kecemerlangan Ederson Moraes.

Sedar kelebihan satu gol masih belum selamat buat mereka, juara bertahan itu terus menggandakan asakan di babak kedua.

Semuanya tampak berada di landasan yang tepat apabila Mahrez meledakkan rembatan dari luar kawasan penalti bagi melebarkan kedudukan di minit ke-63.

Tidak cukup dengan tiga gol, Ilkay Gundogan turut meletakkan nama selaku penjaring berselang sembilan minit kemudian hasil sepakan percuma cantik yang gagal dihalang Ryan.

Stadium Amex menjadi gegak gempita dengan sorakan penyokong Manchester City selepas pengadil perlawanan, Micheal Oliver meniupkan wisel penamat.

Kejayaan bermakna yang diraih The Cityzens itu berjaya mengekalkan kejuaraan yang dimenangi pada musim lalu.

Sementara itu pencabar terdekat City, Liverpool berjaya menewaskan Wolverhampton Wanderers 2-0 hasil dua jaringan Sadio Mane dan The Reds menamatkan saingan di tempat kedua dengan 97 mata.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN