Analisis: Persaingan Menarik Empat Pasukan Bagi ‘Curi’ Slot Terakhir Ke Liga Super 2020

Liga Super 2020

Persaingan Liga Premier Malaysia 2019 semakin sampai ke kemuncaknya dengan pasukan Sabah telah ditabalkan sebagai juara walaupun aksi masih berbaki satu perlawanan dan pasukan pembangunan, Johor Darul Ta’zim (JDT) II mengesahkan status selaku naib juara.

Ekoran dari undang-undang yang menetapkan bahawa pasukan pembangunan tidak boleh dinaikkan ke liga lebih atas, maka satu lagi slot ke Liga Super 2020 bakal menjadi rebutan empat lagi pasukan iaitu PDRM, Negeri Sembilan, UiTM FC dan Pulau Pinang.

PDRM FA

Keempat-empat pasukan tersebut masing-masing dilihat masih berpeluang untuk merebut slot terakhir ini dengan hanya perlu memenangi baki perlawanan mereka.

Apa yang lebih menarik adalah empat pasukan ini bakal bertemu sesama sendiri pada minggu akhir yang dijadualkan pada 20 Julai ini. Ianya seakan-akan takdir yang sudah tertulis dari awal.

PDRM kini memimpin persaingan hebat tersebut dengan mengumpul 30 mata hasil sembilan kemenangan, tiga keputusan seri dan tujuh kali kekalahan untuk menghuni tangga ketiga.

Negeri Sembilan

Negeri Sembilan dan UiTM yang masing-masing berkongsi 28 mata berada ditempat keempat dan kelima dan Pulau Pinang dengan 27 mata bakal membuat perhitungan untuk layak ke liga elit kancah bola sepak tanah air itu.

Malam 20 Julai nanti bakal menyaksikan UiTM FC menentang Negeri Sembilan di Shah Alam dan PDRM akan melayan kunjungan Pulau Pinang di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Pertarungan epik sebegini pasti menarik minat penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan

UiTM FC

Keempat-empat pasukan perlu menang dan ini pastikan akan menjadi pertembungan yang mendebarkan dan hadiah layak ke Liga Super 2020 menjadi taruhan buat mereka.

Dengan persaingan yang semakin genting, banyak kemungkinan boleh berlaku dalam usaha setiap usaha bagi mencuri slot terakhir untuk dinaikkan pangkat itu.

Sekiranya PDRM berjaya mencatatkan kemenangan bertemu Pulau Pinang, ini bermakna skuad yang dibimbing E.Elavarasan itu akan mengesahkan tempat ke Liga Super.

Pulau Pinang

Namun, seandainya mereka tewas dan pertembungan UiTM FC dan Negeri Sembilan berakhir dengan kemenangan memihak mana-mana pasukan, kejayaan bakal ditempa pasukan yang menang.

Pulau Pinang juga masih mampu untuk kembali ke Liga Super sekiranya mencatatkan kemenangan keatas PDRM dan mengharapkan UiTM FC dan Negeri Sembilan sekadar berkongsi satu mata.

Sememangnya persaingan yang cukup sengit dan amat mendebarkan buat penyokong pasukan-pasukan yang terlibat ini.

Pasukan manakah yang anda ingin saksikan bertarung di Liga Super 2020. Sama-sama kita nantikan. Selamat maju jaya diucapkan kepada mereka semua.

Nota editor: Artikel ini adalah sumbangan JJ Firdaus, telah disunting sebelum diterbitkan di Semuanya BOLA dengan kebenaran. Hantarkan artikel anda (tidak kurang dari 350 patah perkataan) ke [email protected] di dalam bentuk Microsoft Words jika mahukan ia dibaca oleh lebih sejuta pembaca kami.

Kredit foto: PDRM FA ‘THE COPS’, UiTM FC, FA Penang

Leave a Reply