Saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini boleh dianggap tampil dengan pelbagai cerita serta kontroversi membabitkan banyak pasukan yang bertanding sejak permulaan lagi.
Segalanya tampil tentang masalah dalaman kelab, isu penyokong, serta kepada pemecatan jurulatih selepas tampil dengan prestasi kurang memuaskan dalam perlawanan dihadapi.
Jika sebelum ini Choi Moon-sik menjadi jurulatih pertama direhatkan oleh Kelantan, serta Thomas Trucha bersama Kelantan United, terbaharu giliran Perak pula tampil untuk mengakhiri salam perpisahan mereka bersama Datuk Lim Teong Kim.
Lim yang mengambil alih Perak pada tahun ini pada awalnya mengikat kontrak selama dua musim untuk membawa pasukan tersebut kembali mencapai tahap kegemilangan dalam saingan Liga M.
Perak Sah Lepaskan Lim Teong Kimhttps://t.co/waFZJ4xJfb
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) May 25, 2023
Namun belum sempat setahun jurulatih berpengalaman tersebut melaksanakan tugas bersama Perak, beliau telah pun berpisah bersama pasukan tersebut dengan lebih awal selepas dinyatakan secara rasmi di media sosial kelab.
Jelas kenyataan tersebut, Lim secara rasmimya tidak lagi akan bersama Perak dan tempat beliau akan diambil alih oleh Yusri Che Lah untuk perlawanan akan datang.
“Perak FC mengumumkan Datuk Lim Teong Kim tidak lagi bersama pasukan Liga Super berkuat kuasa serta-merta.
“Yusri Che Lah akan mengambil alih tugas sebagai Ketua Jurulatih Sementara untuk masa terdekat. Kami mengucapkan terima kasih kepada Datuk Lim di atas sumbangannya dan mendoakan yang terbaik untuk karier beliau pada masa hadapan,” jelas kenyataan tersebut.
Sesuatu yang masih lagi perlu difikirkan saban tahun dalam saingan Liga M ini ialah sekuat mana kepercayaan para pengurusan serta penyokong kepada erti ‘trust the process’.
Isu pemecatan atau lebih mesra kepada direhatkan ini bukan sesuatu yang baharu dan ianya sering berlaku setiap tahun dalam Malaysia dengan membabitkan jurulatih tempatan atau import.
Melihat kepada situasi Lim yang dipecat ini boleh dianggap sebagai sesuatu tidak adil buat beliau selepas pengendali tersebut tampil dengan serba kekurangan berbanding kelab lain.
Dengan barisan pemain muda yang kurang berpengalaman serta kualiti import tidak konsisten dalam perlawanan, adalah sesuatu tugas berat perlu dipikul pengendali tersebut sejak awal musim.
Selepas 12 perlawanan dilalui semua pasukan dalam aksi Liga Super, sudah tiga jurulatih direhatkan oleh kelab masing-masing dengan kemungkinan jumlah itu mungkin akan bertambah.
Terma percaya kepada proses itu mungkin tidak boleh diguna pakai dalam saingan Liga M, selepas kebanyakan penyokong sendiri tampil tidak sabar dengan keputusan serta pengurusan sendiri kurang memberi dorongan sepatutnya.
Maka, tidak hairan kebanyakan kelab di Malaysia lebih gemar memberi kontrak jangka masa pendek kepada jurulatih atau pemain, kerana terma itu sekadar di bibir dan akan berubah sekiranya keputusan di atas padang tidak sentiasa memihak kepada mereka tanpa melihat kepada pelbagai faktor.
Apapun, tidak wajar untuk terus menyalahkan kepada pengurusan sahaja kerana mereka juga pasti ingin terus menjaga imej pasukan dalam misi untuk mengelak kehilangan peminat menerusi keputusan kelab yang teruk dalam setiap perlawanan.
Namun, harapan juga supaya mereka sendiri tampil peka dengan situasi dalam kelab daripada menyalahkan segalanya kepada jurulatih sahaja sebagai mangsa pemecatan.