Jendela perpindahan pemain adalah masa untuk para pemain kekal, pergi ataupun masuk. Segala urusan perpindahan pemain harus dilakukan berdasarkan prosedur yang ditetapkan. Kali ini kami kongsikan bagaimana sesuatu perpindahan pemain itu dilakukan.
Tertib asas perpindahan pemain
Perpindahan pemain di Eropah melalui proses yang sangat tertib. Apabila ada tertib yang dilanggar, pihak yang bersalah akan dikenakan hukuman berat. Kelab yang berminat perlu mendapatkan kebenaran daripada kelab pemilik pemain. Jika kelab yang berminat ada keraguan tentang status pemain mereka boleh bertanya kepada kelab pemilik.
Mereka tak boleh melangkau terus kepada ejen – juga disebut wakil pemain – atau terus berhubung dengan pemain, kecuali pemain itu adalah ejen bebas. Senarai ejen bebas biasanya akan diumumkan terutama sekali ejen pemain itu sendiri.
Jika ini tidak dilakukan sebaiknya, itu yang berlaku jalan belakang atapun tuduhan ‘tapping up’ dalam perpindahan pemain. Antara kes terkenal ialah Ashley Cole yang menemui Jose Mourinho dalam usaha beliau menyertai Chelsea satu ketika dahulu. Arsenal marah kerana ianya tanpa pengetahuan kelab mereka.
Jose Mourinho didenda £100,000 dan Ashley Cole didenda £200,000 oleh FA England kerana kesalahan itu. Selepas rayuan kedua-dua mereka diringankan hukuman kepada £75,000.
Kelab pemilik ada kuasa mutlak untuk menentukan harga pemain kecuali yang ada klausa seperti klausa perlepasan ataupun klausa beli balik. Ini adalah contoh kenyataan rasmi dilakukan Liverpool yang dituduh oleh Southampton cuba melakukan ‘tapping up’ (pintu belakang) ketika menghubungi Van Dijk.
Barcelona juga pernah meminta maaf kepada Liverpool dan Atletico kerana bercakap tentang Coutinho dan Griezmann. Ketika itu Coutinho masih pemain Liverpool dan Griezmann pula memutuskan kekal bersama Atletico.
Selepas kenyataan maaf seperti ini biasanya, kelab yang berminat akan cuba memperbaiki hubungan dengan kelab penjual. Pada masa ini berlaku inflasi harga kerana kelab penjual akan cuba mengenakan harga tinggi daripada angka sebenar.
Coutinho dijual dengan nilai £146 juta selepas Liverpool marah dengan Nike yang mengiklankan jersi Coutinho dengan Barcelona.
Begitu juga dengan harga Van Dijk yang sangat tinggi iaitu £75 juta dibayar Liverpool kepada Southampton.
Baiklah, di atas ini kami memberikan gambaran secara kasar tentang tertib dalam mendapatkan pemain pasukan lain yang masih ada kontrak. Berikut adalah beberapa proses asas dalam perpindahan pemain di Eropah.
Sebarang salah laku akan dirujuk kepada badan berkuasa seperti pengendali liga, mahkamah sukan, sehinggalah ke pejabat FIFA.
Pemantauan (The Scouting)
Skuad pemantau bakat antara anggota penting dalam jendela perpindahan pemain. Kejayaan mereka membekalkan data dan mengesan bakat yang betul menjadi asas kepada kejayaan mendapatkan pemain terbaik.
Ada pemantau bakat yang dapat memantau pemain yang tidak ternama dan mengelakkan persaingan harga yang tinggi. Itu yang dilakukan Leicester ketika mendapatkan Riyad Mahrez dan N’golo Kante.
Semua data ini diberikan kepada bahagian pengambilan pemain untuk dikongsikan dengan pengurus pasukan. Mereka memantau bakat atas arahan ketua pemantau ataupun pengurus pasukan.
Mereka adalah orang yang paling banyak hidup di dalam kereta dengan berbekalkan minuman dalam tin dan roti. Seorang pemantau bakat perlu menyediakan laporan sekitar 50 muka surat untuk 10-12 pemain sasaran utama kelab mereka.
Laporan untuk sasaran utama ini sangat teliti dan ia selepas saringan daripada kira-kira 5,000 laporan lagi untuk kira-kira 1,000 pemain yang berada dalam data pemain sasaran mereka.
Ianya kerja yang jauh lebih sukar daripada apa yang digambarkan dalam Football Manager. Seorang pemantau bakat perlu mendapatkan banyak data tambahan selain daripada potensi dan statistik permainan.
Harry Redknapp meletakkan aspek meraikan gol dalam senarai semak pemantau bakat beliau ketika di Tottenham Hotspur. Seterusnya, cara pemain menerima arahan jurulatih sama ada ketika perlawanan ataupun ketika memanas badan.
Pemantau Bakat MK Dons, Karl Robinson berkata: “Anda bukan seorang pemantau bakat yang bagus jika anda hanya menonton 10 perlawanan dan anda boleh sediakan laporan tentang seorang pemain itu. Saya berani jamin.”
Ketua pemantau bakat, akan dibantu oleh ramai pemantau bakat yang dilantik dan terlatih. Mereka harus tahu kehendak pasukan ataupun pengurus. Karl menambah lagi:
“Beribu batu perjalanan, beribu-ribu perlawanan, beribu nama lagi tidak menepati kriteria, laporan itu akan dibakulsampahkan begitu sahaja. Setiap laporan itu menelan kos yang tinggi. Jadi, ini bukan kerja mudah.”
Walaupun ada bantuan pengkalan data seperti Prozone, WyScout, Scout7, DataScout, dan juga Football Manager, namun ada beberapa kerja yang tidak boleh dilakukan hanya dengan komputer.
Mereka harus pergi menyaksikan perlawanan dan melihat cara pemain bermain, cara berlari, cara bekerja dalam pasukan dan banyak lagi.
Gary Neville pernah berkata, seorang pemantau bakat tidak boleh hanya menonton TV sahaja. Kerana mereka tidak akan melihat pemain yang mereka mahukan sepanjang 90 minit.
Mereka hanya boleh berbuat demikian sekiranya ada melanggan pakej kamera dengan pandangan mata burung (bird-eye view).
Peranan Ejen Pemain
Mereka adalah perantara di antara pemain dengan mana-mana pasukan. Mereka adalah orang yang paling dekat dengan pemantau bakat. Selepas memantau pemain, pemantau bakat akan cuba menghubungi ejen mereka bertanyakan segala maklumat termasuk kontrak pemain dengan pasukan semasa.
Jika ada kontrak, ejen tidak boleh sama sekali membincangkan soal melibatkan perpindahan pemain, sama ada perbincangan seperti pakej gaji ataupun bonus. Ejen akan memaklumkan pemain ini masih ada baki kontrak dan kelab yang berminat dengan pemain akan menghubungi kelab pemilik (parents club) pemain ini.
Jika kelab tersebut memberikan pemain dan ejen bercakap dengan kelab yang berminat, barulah mereka boleh membincangkan isu perpindahan ini ke fasa seterusnya.
Ejen adalah penasihat pemain kepada banyak aspek. Mereka akan cuba mendapatkan dan memperjuangkan apa yang pemain kehendaki termasuk gaji, bonus dan keperluan khas.
Mereka juga menyimpan banyak maklumat tentang pemain termasuk keluarga dan aliran wang masuk ke dalam akaun pemain itu.
Dalam era moden, ejen juga akan membekalkan maklumat termasuk nilai komersial pemain. Perkara ini akan dibentangkan kepada pengurus pasukan supaya mereka tahu perkembangan semasa pemain.
Urusan untuk berbincang dengan pemain dan wakil pemain untuk mendapatkan khdimat pemain adalah di tangan bahagian pengambilan pemain (recruitment) ataupun pengurus.
Mereka yang akan menghubungi kelab semasa pemain untuk bercakap dengan pemain ataupun wajil mereka untuk pemain yang masih ada kontrak, jika ejen bebas barulah mereka berhubung terus dengan ejen pemain.
Pasukan pembeli akan cuba sedaya upaya untuk membeli pemain yang mereka mahukan. Biasanya, pasukan yang serius akan melakukan bidaan tidak kurang daripada 4 kali walaupun sudah ditolak. Biasanya yang ke-4 adalah bidaan terakhir.
Untuk yang sudah buntu mencari pemain kerana semua sasaran utama sudah dikebas orang ataupun kelab tak mampu membayar permintaan pemain, pemantau bakat di England biasanya akan meminta maklumat daripada FA England tentang pemain yang tiada kelab.
Purata seramai 4,000 pemain yang tiada kelab daripada semua bahagian di England. Laporan ini biasanya boleh dapat pada April setiap tahun. Ini juga masa untuk ejen menawarkan diri menjadi ejen pemain bagi yang sudah tiada ejen.
Terma peribadi dan klausa
Selepas segala persetujuan dicapai dengan kelab ataupun pemain, fasa seterusnya adalah klausa dan pengesahan pemain.
Walaupun terma peribadi sudah dipersetujui, masih ada perkara yang menjadi halangan utama ketika ini iaitu klausa perlepasan. Setiap pemain pada hari ini mahu dimasukkan klausa perlepasan. Semakin sedikit klausa perlepasan semakin tinggi gaji dan pakej peribadi untuk pemain tersebut.
Kelab biasanya tidak mahu memasukkan klausa perlepasan ini supaya ada kawalan penuh ke atas pemain. Dan menurut laporan di Eropah, banyak kelab akan cuba meletakkan klausa perlepasan yang 300% lebih daripada nilai semasa pemain.
Klausa perlepasan ini adalah pengaktifan untuk pemain pergi secara terus tanpa perlu bertanya kelab menerima atau tak bidaan itu. Pemain akan ‘membeli’ klausa ini. Ada yang berkata: “Banyak duit Neymar sampai boleh membeli klausa perlepasan daripada Barcelona. Nampak sangat PSG yang membayarnya.”
Ya, memang PSG yang membayarnya, namun klausa itu disebut sebagai dibeli oleh Neymar kerana hanya dia yang boleh mengaktifkan klausa itu dengan keyakinan, PSG ada wang sebanyak itu untuk membayarnya.
Lihat kapsyen oleh Athletic Bilbao di bawah ini, mereka tidak menyebut Chelsea sebagai pembayar ataupun pihak yang membeli klausa perlepasan Kepa Arrizabalaga. Sebaliknya, Kepa yang ‘membeli’ klausa itu.
Kepa pays the termination clause https://t.co/ZVXF5Acw71 #AthleticClub
— Athletic Club (@Athletic_en) August 8, 2018
Kelab masih boleh menjual pemain pada harga lebih rendah. Pedro ada klausa perlepasan £135 juta ketika di Barcelona. Namun Chelsea masih boleh memiliki pemain itu dengan nilai £22 juta.
Klausa perlepasan ini boleh menjadi perisai untuk kelab mempertahankan pemain mereka ataupun seperti ‘check-mate’ kepada kelab yang terpaksa kehilangan pemain.
Selepas kes Neymar yang dibeli oleh PSG menerusi klausa perlepasan, ramai mulai melihat klausa perlepasan ini sebenarnya boleh di’buli’ oleh kelab sekaya PSG.
Real Madrid terus meletakkan klausa perlepasan yang luar biasa dalam kontrak baru pemain mereka. Liverpool memiliki kuasa penuh untuk meletakkan harga Coutinho yang tiada klausa perlepasan.
Fasa terma peribadi ini terletak di tangan pemain, sama ada mereka menerima ataupun tidak.
Medikal
Ujian medikal adalah antara fasa terkahir sebelum pemain diumumkan. Pegawai perubatan memiliki pandangan mereka yang tidak dipengaruhi dengan sentimen selain daripada profesionalisme. Laporan mereka telus.
Pada 2014, Loic Remy hampir pasti menjadi milik Liverpool pada. Harry Redknapp tidak percaya dengan laporan doktor di Liverpool dan menganggap ia adalah kes pelik.
Tidak lama selepas itu, Remy menyertai Chelsea dan ternyata Liverpool melakukan perkara yang betul untuk mendengar apa kata doktor mereka ketika itu.
Liverpool sekali lagi menolak perpindahan pemain kerana pandangan kedua (second opinion) daripada doktor pasukan yang mendedahkan Nabil Fekir ada kecederaan berulang. Liverpool meminta pengurangan harga daripada Lyon – ianya ditolak.
Laporan medikal ini perlu dilampirkan dalam borang pendaftaran pemain. Dalam kes Leicester City pada pra-musim lalu mereka lewat 14 saat sahaja menghantar laporan ke FA England. Pendaftaran Adrien Silva tetap dikira tak sah.
Pengumuman
Selepas segala terma peribadi diperstujui di antara kelab dan pemain, barulah boleh diumumkan kepada umum. Biasanya pemain akan dipersembahkan dalam satu sidang media khas untuk bercakap kepada media. Pada era moden hari ini, petugas perhubungan media akan menggunakan kreativiti mereka dalam pengumuman pemain.
Bagi pemain yang menyertai pasukan pada deadline day, pengumuman akan dibuat awal tetapi pemain akan dipersembahkan kepada umum dalam satu majlis khas beberapa hari selepas itu.
Biasanya dalam majlis itu, pengurus akan mengalu-alukan pemain baru mereka dengan mengumumkan beberapa perkara asas termasuk durasi kontrak pemain.
Media akan berhubung dengan pihak setiausaha kelab untuk maklumat gaji dan kluasa yang lain untuk dihebahkan di dalam berita mereka.
Gaji ini biasanya, media akan kira daripada purata gaji mingguan selepas pemain diberikan kontrak setahun bernilai jutaan euro. Biasanya, di Eropah tak berahsia untuk perkara ini, kecuali ada klausa yang terlalu peribadi.
Rumusan
Itu adalah panduan secara ringkas tentang proses perpindahan pemain di Eropah daripada satu sistem yang sangat kompleks – banyak lagi prosedur khas digunakan di dalamnya.
Namun begitu kita dapat belajar bahawa, setiap perpindahan pemain di Eropah dilakukan berdasarkan lunas dan tertib yang sistematik. Ini bagi membolehkan pihak yang terlibat mendapat hak mereka serta kontrak yang telah dipersetujui sebelum ini dihormati.
Sebarang perlanggaran kepada sistem akan membuatkan pihak yang bersalah dihukum. Ada yang didenda, ada juga yang digantung daripada melakukan perpindahan.
Pada hari ini, kelab di Eropah turut mempertimbangkan imbangan akaun mereka supaya tidak melanggar piawaian Financial Fair Play.