Perpindahan pemain, Antoine Griezmann dari Atletico Madrid ke Barcelona berhadapan risiko untuk disekat oleh La Liga disebabkan pertikaian membabitkan jumlah yuran perpindahan.
Atletico Madrid sebelum ini mengemukakan aduan terhadap Barcelona yang mengumumkan pemain tersebut milik mereka – setelah mengaktifkan klausa perpindahan pemain tersebut bernilai €120 juta pada 12 Julai lalu.
Sebelum itu, kontrak Griezmann mempunyai klausa €200 juta yang tamat pada 1 Julai. Ia menjadi isu kerana menurut Atletico, segala proses rundingan dan perjanjian telah dimaterai sebelum tarikh tersebut.
“Ianya adalah satu kemungkinan untuk [La Liga] menyekat perpindahan pemain,” ujar Tebas kepada Onda Cero di Sepanyol.
“La Liga harus membuat keputusan apakah langkah yang sewajarnya untuk diambil.”
Griezmann kini sudah menyertai Barcelona dalam perlawanan pra musim, dan diturunkan beraksi dalam perlawanan persahabatan yang berakhir dengan kekalahan 2-1 kepada Chelsea di Jepun.
“Atletico sudah menghantar aduan dan menyebabkan perpindahan Griezmann ke Barcelona boleh dipersoalkan jika ianya dilakukan secara sah,” tambah Tebas lagi.
“Terdapat beberapa proses yang mengambil masa untuk dinilai dan mereka yang bertanggungjawab akan menentukan kes ini.”
Atletico dipercayai telah menghantar aduan mengenai tingkah laku Barcelona kepada FIFA kerana cuba memancing Griezmann tanpa kebenaran pada Disember 2017.
Musim lalu Griezmann menolak perpindahan ke Barcelona. Tetapi Atletico mendakwa Barcelona kemudiannya menghubungi pemain itu sekali lagi pada Mac lalu. Gergasi Catalan itu dianggap tidak menghormati Atletico yang memiliki kontrak sah pemain tersebut.