Kemenangan penting yang diraih oleh Manchester United ke atas Leeds United semalam berakar umbi daripada perpaduan yang menjadi teras kejayaan mereka.
Semalam, United menewaskan Leeds di Elland Road selepas mengharungi beberapa kali aksi yang kurang menjadi.
Gol dari Harry Maguire, Bruno Fernandes, Fred dan Anthony Elanga memberikan tiga mata buat pelawat dalam perlawanan Roses Derby semalam.
Bukti kematangan
Pengendali sementara United, Ralf Rangnick mengatakan yang kemenangan yang terhasil disebabkan oleh kematangan yang ditunjukkan pemainnya.
Pada hemat beliau, kemenangan yang diperoleh merupakan jawapan balas terbaik dari pasukannya terhadap sangkaan pihak yang mengatakan United kini sedang bergolak.
“Ini merupakan jawapan terbaik yang kami boleh berikan ketika ini,” kata Rangnick menerusi Sky Sports.
Rangnick juga mengatakan yang para pemainnya menunjukkan kematangan yang cukup jelas dalam persembahan baik mereka menentang skuad Marcelo Bielsa.
“Semuanya sempurna dari segi kematangan, kesatuan dan ianya adalah jawapan terbaik yang mereka boleh beri kepada artikel-artikel yang disiarkan minggu lalu mengenai masalah dalam bilik persalinan.”
“Saya cuma fikir perlawanan ini hanya boleh dimenangi sebagai sebuah pasukan dan dengan mentaliti berpasukan sebegini, selain dari tiga mata yang diperoleh, ini adalah perkara terpenting.”
United mendahului di Elland Road menerusi jaringan Maguire dan Fernandes sebelum disamakan dengan Rodrigo Moreno dan Raphina.
United kembali bangkit di separuh masa kedua selepas memperoleh jaringan daripada Fred dan Elanga.