Pernah Main 77 Perlawanan Dalam Semusim, Adakah Pedri Sebuah Mesin?

Baru-baru ini isu beberapa pemain tempatan yang menolak panggilan skuad kebangsaan sekali lagi menjadi panas di media sosial selepas ada beberapa kelab tidak melepaskan tonggak mereka.

Hal tersebut jelas menjadi suatu kejutan buat jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon dan beliau meluahkan apa yang dilaluinya tersebut merupakan pertama kali dalam karier selaku pengendali bola sepak.

Perkara itu mula menjadi isu bualan hangat selepas 12 pemain tidak dapat menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan dan tampil pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk membidas kritikan tersebut.

Ulas Tunku Mahkota Johor (TMJ), pemain tidak menolak panggilan tersebut dengan bersahaja tanpa sebarang alasan yang kukuh, ini kerana sebelum itu mereka telah memberi komitmen sepenuhnya di atas padang.

“Satu tahun main bola dan berlatih tanpa henti dan cuti hanya enam hari dalam satu tahun? Pemain bukan mesin,” luah TMJ di akaun Instagram.

Namun, wujudkah pemain yang tidak pernah berehat semata-mata untuk beraksi dalam segala kejohanan disertai bersama kelab dan negara?

Pedri tampil sebagai ‘mesin’ penting buat Sepanyol

Pada musim lalu pemain muda Sepanyol iaitu Pedri telah pun menafikan segalanya dengan lebih awal mengenai isu rehat diperlukan oleh seorang pemain terutama sekali ketika ia melibatkan panggilan skuad kebangsaan.

Untuk rekod, Pedri telah pun mengharungi sebanyak 77 perlawanan pada musim lalu dengan 56 daripadanya bersama kelab diwakilinya iaitu Barcelona untuk saingan La Liga dan beberapa kejohanan lain.

Selain saingan liga, Pedri juga terlibat bersama Barcelona sebanyak enam perlawanan dalam saingan Copa del Rey, dua dalam aksi Supercopa Espana, tujuh ketika mengharungi UEFA Champions League, dan tiga perlawanan persahabatan awal musim.

Bersama skuad kebangsaan, pemain muda itu telah mencatat 21 penampilan pada musim lalu dengan empat perlawanan skuad bawah 21 (B-21) untuk kelayakan EURO.

10 perlawanan lagi membabitkan beliau bersama skuad senior untuk aksi EURO pada bulan Jun dan Julai, tujuh baki perlawanan bersama skuad bawah 23 (B-23) termasuk Sukan Olimpik 2020.

Lebih menarik, aksi Sukan Olimpik yang berlangsung di Jepun itu tidak termasuk dalam kalendar rasmi FIFA dan Pedri tetap tampil atas nama negara untuk menyumbang sesuatu.

Hasilnya, beliau berjaya melangkah ke final sebelum meraih pingat perak bersama Sepanyol, selepas mereka tumpas ditangan Brazil.

Pedri mempunyai hak untuk menolak beberapa panggilan skuad kebangsaan, ditambah negara tersebut juga mempunyai ramai lagi pelapis lain yang juga mampu menggantikannya.

Namun, pemain ini tidak pernah merungut kerana semangat tinggi dimiliki beliau untuk terus bermain di tahap tertinggi dan tak pernah sesekali untuk meminta cuti rehat saat diperlukan.

Pada usia muda dan beraksi dalam pelbagai saingan, Pedri sudah mempunyai fikiran yang matang untuk menentukan hala tuju beliau dalam sukan tersebut.

Malah, Pedri juga mengambil langkah terbaik untuk tidak merenggangkan hubungan antara kelab dan negara menerusi kenyataan yang mungkin mengeruhkan keadaan.

Adakah segala yang dilalui Pedri ini berbaloi?

Ya, pada usia yang muda Pedri telah mengecapi pelbagai gelaran bersama kelab, negara, dan individu untuk menjadikan dirinya sebagai salah satu contoh pemain bintang terhebat dunia.

Salah satu kejayaan paling bernilai buat Pedri, apabila beliau telah mengecapi gelaran Golden Boy pada musim lalu serta mengutip banyak pengalaman sepanjang mewakili Sepanyol.

Hasil usaha keras pemain tersebut juga menyaksikan Pedri kini menjadi salah satu tonggak paling mencuri tumpuan sepanjang saingan Piala Dunia 2022 berlangsung di Qatar.

Daripada sekadar beraksi di pentas Olimpik yang dianggap tidak terlalu penting kerana tiada dalam kalendar FIFA, kini beliau berpeluang untuk membantu Sepanyol di pusingan 16 terbaik Piala Dunia menentang Maghribi.

Adakah keputusan TMJ mempertahankan pemain JDT salah?

Sudah tentu tidak, kerana TMJ pastinya mendapat rujukan daripada pelbagai pihak yang arif mengenai sains sukan sebelum dan mengetahui tahap seseorang pemain.

Harus diingat, tahap ketahanan seseorang pemain dari Eropah dan Asia Tenggara masih lagi mempunyai jurang yang berbeza dari segi fizikal dan mental.

Tambahan TMJ juga lebih mengenali pemain milik Baginda selama ini dan risiko memberi terlalu banyak beban buat mereka juga pastinya akan memberi kesan negatif dalam kalangan penyokong.

Sekurangnya ini menjadi peluang terbaik buat barisan pemain lain untuk menyerlah bersama skuad kebangsaan dan memberi persaingan sengit buat barisan tonggak yang sebelum ini telah menarik diri untuk aksi antarabangsa.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN