Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solksjaer mendedahkan beliau pernah dikejar oleh Liverpool sebelum memutuskan untuk menyertai Manchester United pada 1996.
Solksjaer dilantik sebagai pengurus tetap Manchester United pada Mac lalu juga dianggap sebagai legenda kelab ketika bergelar pemain.
Bintang dari Norway itu dikenali sebagai pemain gantian yang sering tampil dengan jaringan penting untuk pasukan kendalian Sir Alex Ferguson – termasuk di perlawanan akhir Champions League menentang Bayern Munich pada 1999.
Namun sebelum berhijrah ke England, aksi Solksjaer bersama Molde turut telah mencuri tumpuan beberapa kelab besar eropah yang lain.
Tidak terkecuali adalah Liverpool yang pada ketika itu sudah 6 musim tidak bergelar juara Inggeris dan dalam usaha untuk bersaing dengan United.
Namun demikian, Solksjaer memutuskan hanya mahu beraksi untuk United pada ketika itu.
“Adakah Liverpool dan Bayern Munich juga mahukan saya? Ya, begitu juga Cagliari, PSV dan beberapa kelab [eropah] lain,” ujar beliau kepada media rasmi kelab, Inside United.
“Tetapi saya tidak akan mengubah sejarah. Hanya ada satu pilihan. Ia perkara yang hebat apabila mendapat panggilan [dari United].
“Pemilik Molde memanggil untuk berjumpa dengan saya di pejabat dan berkata, ‘Kami ada mendapat tawaran, adakah anda berminat?’
“Ya, okay. Mereka [di Man United] akan pergi bercuti selang beberapa hari nanti.
“[Bekas pengerusi United, Martin Edwards turut akan bercuti. Ini bermakna mereka akan datang esok. Kebetulan jet peribadi mereka tidak boleh digunakan, jadi mereka akan menempah jet peribadi lain untuk terus menerbangkan saya [ke Manchester].
“Saya amat gementar [berjumpa Alex Ferguson] kerana anda risau akan berkata sesuatu yang tidak sepatutnya dan ia akan memberikan tanggapan pertama yang kurang baik.
“Saya tahu beliau tidak pernah menyaksikan satu perlawanan saya pun, jadi pertemuan itu menjadi amat penting.
“Hanya saya bersendirian dalam perjumpaan tersebut. Kami menikmati fish and chips di sebuah restoran berhampiran Old Trafford, dan mungkin selepas 30 hingga 45 minit.
“Beliau berkata: ‘Gunakan tempoh enam bulan di dalam pasukan simpanan. Menjelang krismas, kami akan menyerap anda masuk ke skuad utam.”
Solksjaer kemudian mendedahkan bagaimana beliau akhirnya menandatangani kontrak – tetapi melibatkan insiden yang pelik.
“Mereka hanya melakukan rundingan di Old Trafford, dan selepas itu terus membawa saya menjelajah stadium.
“Saya masih ingat bagaiamana petugas stadium (tour guide) yang membawa saya menjelajah bertanya, mengapa saya berada di sini.
“Saya berkata: “Saya berada di sini untuk menandatangani kontrak!”
“Malah saya terpaksa meminjam pen dari petugas stadium itu untuk menandatangani kontrak yang diberikan!”
“Ia mesti mungkin turut menjadi detik yang membanggakan buat petugas stadium itu.”