Secara jujurnya, pernahkah anda mengenali kelab Sheriff Tiraspol sebelum sesi undian Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini? Kemungkinan besarnya tidak, kerana ini adalah kali pertama kelab tersebut membuat penampilan di aksi peringkat kumpulan pentas tertinggi Eropah ini.
Tetapi percayakah anda, selaku kelab pertama dari Maldova yang beraksi di UCL, mereka telah meraih kemenangan 2-1 ke atas pemegang rekod 13 kali juara Eropah iaitu Real Madrid dan ia berlaku di Santiago Bernabeu.
Skuad The Los Blancos akhirnya dapat kembali membawa aksi kejohanan Eropah stadium serba moden kebanggaan mereka itu selepas 18 bulan selepas proses pengubahsuaian dan penaik tarafan, namun mereka gagal mendapatkan keputusan yang diharapkan di hadapan lebih 25 penyokong di halaman sendiri.
WOW. Sheriff stun Real Madrid. #UCL pic.twitter.com/JqIS99G8fV
— UEFA Champions League (@ChampionsLeague) September 28, 2021
Real Madrid telah pun dikejutkan dengan gol pendahuluan Sheriff pada minit ke-25 apabila Jasurbek Yakhshiboev menanduk masuk hantaran lintang Cristiano da Silva dan pemain tengah Uzbekistan tersebut hampir menjaringkan satu lagi gol sebelum tamat babak pertama.
Penguasaan bola dan serangan bertali arus Real Madrid akhirnya berjaya menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-65 selepas Karim Benzema menyudahkan sepakan penalti setelah Vinicius Jr dijatuhkan di dalam kotak penalti.
Pemain gantian, Luka Jovic mensia-siakan peluang untuk mencetak gol kedua pasukannya, sebaliknya drama terus berlaku apabila Sheriff mendapat gol kemenangan pada penghujung perlawanan menerusi rembatan voli Sebastien Thill dari luar kotak penalti.
https://twitter.com/FutbolBible/status/1442971018981621766?s=20
Pengurus Real, Carlo Ancelotti sebelum perlawanan melontarkan keyakinannya untuk mencatat sejarah menyamai kejayaan Zinedine Zidane membawa pasukan itu menjuarai UCL tiga kali berturut-turut, tetapi keputusan perlawanan ini ternyata telah mengejutkannya dari lamunan.
“Memang saya sedikit sedih kerana saya rasa kami berhak untuk menang,” ujarnya dalam temubual selepas perlawanan.
“Kamu boleh kata yang kami bernasib buruk, kami tewas tipis dalam perlawanan ini, mereka menjaringkan gol menerusi serangan balas dan balingan. Kami pula mendapat banyak peluang dan percubaan tetapi kadang kala nasib amat diperlukan dalam sesebuah perlawanan.
“Kesimpulannya segalanya berjalan dengan baik untuk mereka dan segalanya serba tidak kena buat kami.”
Keputusan jurulatih warga Itali itu untuk merehatkan beberapa pemain utama seperti Marco Asensio, Toni Kroos dan Luka Modric ternyata memakan diri.
– Founded in 1997
– Total market value of $13.61M
– First ever season playing in the #UCLSheriff Tiraspol have pulled off one of the biggest upsets in UCL history 😱 pic.twitter.com/CZYD7szAPD
— ESPN FC (@ESPNFC) September 28, 2021
Namun kredit seharusnya diberikan kepada penjaga gol Sheriff, Georgios Athanasiadis yang terpaksa bekerja keras bagi menafikan 11 percubaan tepat pasukan tuan rumah sepanjang perlawanan ini.
Walaupun Real mendominasi sebahagian besar penguasaan bola dengan 67 peratus, memperoleh 13 sepakan penjuru selain 30 percubaan, tetapi ia tidak cukup untuk menafikan kemenangan bersejarah kelab dari wilayah Transnistria yang tidak diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sempadan Moldova-Ukraine itu.
Sebelum sepak mula, kelab yang ditubuhkan pada tahun 1997 itu hanya memiliki 6 ribu pengikut di Twitter, berbanding 38 juta penyokong Real dari seluruh dunia di platform media sosial.