Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Eksklusif: Permulaan Profesional Yang Berliku, Kini Semakin Membuahkan Hasil Buat Bryan See

Perlawanan ketiga unifi Liga Super Malaysia 2018 diantara Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) bertemu Kedah di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, memperlihatkan kelibat Bryan See Tian Keat tangkas mengemudi gawang PKNP FC walaupun pasukannya kecundang 1-0 pada aksi tersebut.

Sehubungan dengan itu, ramai yang tertanya-tanya, siapakah gerangan penjaga gol tersebut kerana pada dua perlawanan terawal PKNP FC, Muhamad Syazani Mat Puat telah diturunkan oleh Abu Bakar Fadzim sebagai penjaga gol utama.

Siapakah Bryan See Tian Keat

Sekiranya menyaksikan perlawanan secara langsung yang melibatkan PKNP FC, anda pasti mendengar pengulas akan mengatakan bahawa Bryan berusia 18 tahun.

Pemain kelahiran Subang Jaya ini dilahirkan pada 22 Jun 1993.

Beliau pernah beraksi dalam saingan Piala Presiden untuk pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) bagi musim 2011 dan 2012 sebelum mewakili Perak pada tahun 2013.

Pemain yang mementingkan pelajaran

Di samping mempunyai minat yang mendalam untuk menjadi seorang pemain bola sepak, Bryan juga sangat cemerlang dalam pelajarannya.

Perkara ini dibuktikan apabila beliau mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh 9 A dalam Sijil Pelajaran Malaysia.

Ketika beraksi bersama PKNS FC, Bryan turut melanjutkan pelajaran di Taylor’s College Subang Jaya bagi program ‘Cambridge A Levels’ dengan mengambil mata pelajaran Matematik, Biologi, Kimia dan Fizik.

Bryan menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di Johns Hopkins University.

Sehingga kini, Bryan masih lagi gigih menuntut ilmu walaupun mempunyai komitmen sebagai pemain bola sepak profesional.

Beliau kini sedang mengambil kursus pengajian jarak jauh Ijazah Sarjana (Masters) Kejuruteraan Awam di Johns Hopkins University dan dijangka akan menamatkan pengajiannya pada tahun 2019.

Kegigihan dan usaha dalam mengejar impian

Tiada perkara mudah dalam kehidupan seseorang bagi mencapai apa yang diimpikan. Begitulah juga yang terjadi buat Bryan.

Beliau yang begitu mengimpikan untuk menjadi pemain di Amerika Syarikat sebelum bergelar pemain profesional telah membuat inisiatif sendiri sambil dibantu bapa dan kakaknya.

Selepas tamat beraksi bersama PKNS FC pada tahun 2012, Bryan memilih untuk ke Amerika Syarikat bagi mencuba nasib disana.

”Saya benar-benar mahu melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat kerana ingin menggunakan medium bola sepak untuk memasuki universiti terkemuka seperti Harvard, Yale, Stanford dan banyak lagi.”

”Selain itu, saya mahu beraksi di peringkat yang tinggi sewaktu menjadi pelajar universiti dan juga untuk mendapatkan ijazah sebelum bergelar pemain profesional.”

”Hal ini kerana sekiranya berlaku apa-apa terhadap karier bola sepak, saya boleh kembali fokus kepada pelajaran saya,” ujar Bryan ketika ditemui di Ipoh.

Skuad Piala Emas Raja-Raja Perak

Pada penghujung 2012, Bryan kembali ke Malaysia dan terpilih untuk mewakili pasukan Perak dalam saingan Piala Presiden 2013.

”Saya memilih Perak kerana mereka mempunyai skuad bawah 21 tahun yang kuat ketika itu apabila menjadi finalis Piala Presiden 2012. Saya juga terpilih untuk beraksi dalam Piala Emas Raja-Raja dan kami menjuarainya.”

Ironinya, ketika itu Bryan dibimbing oleh Abu Bakar Fadzim, Chan Wing Hoong dan Suhaimi Mat Lazim. Mereka kini merupakan pengendali PKNP FC.

Kembali ke Amerika Syarikat untuk penuhi impian

Pada Julai 2013, Bryan See melanjutkan pelajaran ke University Of California, Irvine. Ia seolah-olah impian menjadi kenyataan buat beliau.

Memilih Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dek kerana minatnya terhadap mata pelajaran Matematik dan Sains serta dipengaruhi bapanya yang merupakan seorang kontraktor.

Pasukan bola sepak di University Of California (UCI) pada pandangan Bryan adalah jauh lebih baik dari pasukan-pasukan lain yang pernah disertainya sebelum itu.

Bryan See ketika beraksi bersama Johns Hopkins University.

”Kemahiran teknikal, skill, kelajuan dan kekuatan para pemain kelab tersebut adalah sesuatu yang saya tidak pernah rasai dan lihat sebelum itu.”

”Saya hanya merupakan penjaga gol ketiga untuk dua musim (2013 & 2014) dan peluang saya untuk beraksi amat terhad. Ia membuatkan saya untuk mencari peluang baru bagi beraksi dengan lebih kerap.”

Selepas setahun setengah di UCI, Bryan mendapat peluang untuk ditukarkan ke Johns Hopkins University (JHU) yang merupakan salah satu impiannya untuk belajar disana.

Di samping dapat melanjutkan pelajaran di institusi yang menjadi idamannya kerana JHU merupakan antara universiti yang terkenal di dunia, Bryan turut beruntung kerana JHU mempunyai barisan kejurulatihan yang berjaya memberikan tunjuk ajar dalam membantu meningkatkan prestasi beliau hingga ke tahap sekarang.

Bryan beraksi lebih daripada 50 perlawanan ketika bersama JHU yang memberikan pengalaman sangat berguna buat beliau.

Bagai sirih pulang ke gagang

Selepas beraksi cemerlang pada musim 2017, barisan kejurulatihan JHU menggalakkan Bryan supaya mengembangkan karier ke kancah bola sepak profesional.

Mereka juga turut membantu dalam mencari ejen dan pasukan yang memerlukan khidmat Bryan. Namun semuanya menemui jalan buntu kerana kebanyakkan jurulatih tidak mahukan penjaga gol dari negara luar (import) untuk mengisi posisi tersebut.

Sebagai antara penjaga gol yang rendah di Amerika Syarikat juga membuatkan peluang Bryan untuk dipilih amat tipis kerana mereka beranggapan beliau akan mengalami kesukaran ketika situasi hantaran lintang.

Bryan kemudiannya mendapat pengkhabaran bahawa PKNP FC mahu mencari penjaga gol bagi musim 2018. Beliau menghantar rakaman video aksinya dan pihak pengurusan serta kejurulatihan berpuas hati dan menyatakan mahu mendapatkan khidmat Bryan.

”Selepas perbincangan dilakukan bersama jurulatih di JHU, mereka menasihatkan supaya saya memulakan karier profesional bersama PKNP FC untuk menguatkan ‘resume’ bola sepak saya.”

Lebih menarik buat Bryan, beliau meninggalkan Abu Bakar Fadzim untuk beraksi di Amerika Syarikat dan kembali bersama Abu Bakar untuk karier profesional pertama beliau dalam kancah bola sepak.

Selamat maju jaya buat Brian See Tian Keat!

 

 

 

 

 

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!