Permulaan kurang baik buat pengurus merangkap pemain Anderlecht, Vincent Kompany apabila pasukan bimbingannya tewas 1-2 ditangan kelab kurang ternama, Oostende pada aksi sulung saingan Liga Divisyen Satu Belgium.
Beraksi di halaman sendiri, Lotto Park jelas langsung tidak memberikan kelebihan buat Anderlecht walaupun terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi Michel Vlap.
Penyerang kelahiran Venezuela, Ronald Vargas kemudiannya kembali menyamakan kedudukan hanya selepas enam minit tuan rumah menghasilkan jaringan pendahuluan.
Kompany yang turut beraksi sepenuh masa pada perlawanan ini turut memasukkan bekas rakan sepasukannya ketika di Manchester City, Samir Nasri.
Namun, kehadiran Nasri pada minit ke-61 itu masih gagal untuk menghadirkan impak positif di barisan tengah Anderlecht.
Segalanya tidak menjadi permulaan yang diharapkan oleh Kompany apabila Junior Fashion Sakala menjaringkan gol kemenangan buat Oostende pada minit ke-75 sekaligus ‘menghadiahkan’ permulaan hambar buat pengendali berusia 33 tahun itu.
Vincent Kompany kembali semula ke Anderlecht selepas meninggalkan Manchester City sebaik sahaja membantu The Cityzens menjuarai ‘treble’ Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Piala Liga musim 2018/19.
Anderlecht bukanlah asing buat Kompany kerana disitulah beliau memulakan karier sebagai pemain bola sepak profesional bermula tahun 2003 sebelum berhijrah ke Jerman untuk bersama Hamburger SV pada Jun 2006.
Kredit foto: RSC Anderlecht