Melalui satu kenyataan media sebentar tadi, Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengesahkan Sekretariat Agung FAS ada menerima sepucuk surat daripada Encik Roslin bin Shariff.
Surat berkenaan kononya beberapa ahli gabungan FAS yang memohon agar satu mesyuarat Kongres Luar Biasa diadakan untuk memilih barisan Jawatankuasa Eksekutif yang baharu, termasuk jawatan Presiden.
Bagaimanapun Sekretariat Agung FAS mendapati surat dan permohonan daripada Encik Roslin bin Shariff tersebut tidak sah. Ini adalah berdasarkan beberapa pertimbangan yang dilakukan oleh Sekretariat Agung FAS.
Walaupun permohonan oleh Encik Roslin bin Shariff dikatakan mewakili permintaan 67 ahli kelab gabungan, Sekretariat Agung FAS juga telah menerima penarikan permintaan daripada beberapa ahli gabungan yang sama.
Sekretariat Agung FAS turut mengesan terdapat permintaan yang dibuat oleh ahli kelab gabungan yang tidak sah, dan ditandatangani oleh individu yang bukan diberikan kuasa berhak.
Selain daripada mengandungi penandatangan yang muflis, permohonan tersebut turut dikatakan mengandungi tandatangan palsu. Ini adalah kesalahan yang serius sekiranya terbukti benar.
Sehubungan dengan itu, selaras dengan perlembagaan FAS, Tengku Amir Shah berpendapat permintaan untuk mengadakan mesyuarat Kongres Luar Biasa ini tidak mencapai kuota yang diperlukan iaitu separuh daripada keseluruhan ahli kelab gabungan.
Oleh sebab itu, penganjuran mesyuarat Kongres Luar Biasa ini adalah tidak sah.
Pihak FAS akan memaklumkan Pesuruhjaya Sukan Malaysia dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai perkembangan perkara ini dalam masa terdekat.
Tengku Amir Shah kemudiannya turut menyeru agar semua ahli kelab gabungan untuk bersama-sama berganding bahu dengan Baginda, ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif serta peminat demi memastikan misi transformasi FAS berjaya.
“Kita sudah banyak kehilangan masa maka kita haruslah segera mengorak langkah dan membuat persiapan rapi untuk musim yang akan datang,” ujar baginda menutup kenyataan tersebut.