Saat yang ditunggu-tunggu oleh penyokong Kuala Lumpur City untuk melihat debut penyerang baharu Jordan Mintah akhirnya tertunai.
Pemain import dari Ghana yang dipinjam dari Terengganu itu diturunkan dalam kesebelasan utama untuk perlawanan suku akhir Piala FA yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.
Penyerang berusia 26 tahun ini pastinya diharapkan mampu mencipta impak positif selepas penyerang import dari Congo, Kevin Koubemba gagal beraksi dengan baik sejak tiba pada awal musim ini.
Ia juga merupakan peluang terbaik untuk Mintah membuktikan keupayaannya beraksi di pentas tertinggi Liga Malaysia (Liga-M) selepas ‘disisihkan’ dari skuad utama Terengganu pada musim ini.
Keputusan pihak pengurusan pasukan dari pantai timur tersebut membawa masuk dua penyerang import berpengalaman, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche membuatkan Mintah kekal beraksi untuk Terengganu II di Liga Premier.