Semuanya bermula daripada insiden pemain tengah skuad bola sepak Sukan SEA negara, Nazmi Faiz yang digantung 6 perlawanan kerana meludah pemain lain.
Kelakukan kurang bijak Nazmi Faiz mengundang kemarahan peminat bola sepak. Kita mula mengaitkan tindakan kurang bijak tersebut dengan taraf pendidikan beliau, seperti yang diluahkan oleh seorang peminat bola sepak ini dalam media sosial.
Persoalan yang cuba kami timbulkan adalah:
Perlukah pemain bola sepak belajar sehingga ke universiti hanya untuk belajar benda mudah – yang meludah pemain lawan itu perbuatan tidak bijak?
Ini membawa kepada soalan sebenar yang kami mahu timbulkan dalam artikel ini:
Apakah yang akan diperolehi oleh pemain bola sepak sekiranya mereka memperolehi pendidikan universiti?
Perkara yang perlu dipertimbangkan pemain muda
Sebelum menjadi pemain bola sepak profesional, ada 3 perkara yang perlu dipertimbangkan oleh pemain muda:
- Jika mereka tidak berjaya menjadi pemain pro, apakah langkah seterusnya?
- Jika mereka berjaya menjadi pemain pro tetapi ditamatkan kontrak kerana kecederaan panjang/hal lain-lain, apakah langkah seterusnya?
- Jika mereka berjaya menjadi pemain pro dan akhirnya bersara, apakah langkah seterusnya?
Jawapan kepada 3 soalan ini hanya boleh dijawab jika pemain muda ini mempunyai pendidikan formal (sekurang-kurangnya SPM). Atau jika pemain muda ini berasal dari keluarga yang kaya.
Atas sebab inilah, pemain muda kita perlu mempunyai pendidikan formal asas. Pendidikan formal adalah untuk menjamin masa depan mereka, bukan untuk mengajar mereka untuk bersikap matang dan bijak.
Sikap matang dan bijak membuat keputusan datang daripada pengalaman, kesilapan dan pembacaan (bukan buku teks) – sesuatu yang anda hanya dapat DI LUAR KELAS.
Pendidikan pemain di Eropah
Pendidikan tertinggi kebanyakan pemain profesional Eropah adalah sijil lulus sekolah menengah (SPM di Malaysia).
Apabila menyertai akademi kelab profesional, mereka akan diberikan biasiswa dan perlu lulus sekolah menengah. Jadi sama ada mereka berjaya menjadi pemain profesional atau tidak, sekurang-kurangnya mereka mempunyai sijil kelulusan sekolah menengah.
Dengan sijil tersebut, mereka boleh memohon kerja berskil rendah atau memohon masuk ke universiti untuk memperbaiki kelulusan.
Pendidikan pemain di Amerika Syarikat
Dalam kebanyakan pemain bola sepak profesional, pemain dari Amerika Syarikat adalah yang paling ramai mempunyai ijazah sarjana muda (bachelor degree) ketika masih bermain secara profesional.
Ini kerana sistem pendidikan mereka yang mewajibkan pemain muda untuk layak masuk ke universiti jika mereka mahu merebut peluang menjadi pemain profesional dalam Major League Soccer (MLS).
Di Amerika Syarikat, peluang masuk ke universiti adalah peluang untuk bermain mewakili pasukan bola sepak universiti. Setiap tahun, persembahan mereka bersama pasukan universiti akan diperhatikan kelab MLS.
Jika kelab MLS tersebut minat terhadap pemain tertentu, nama pemain itu akan tersenarai dalam MLS Draft apabila pemain itu menamatkan penagajian di universiti.
Daripada 23 pemain skuad Piala Dunia 2014 yang lepas, 12 pemain mereka tidak mempunyai ijazah dan hanya memiliki high school diploma. Ini kerana hampir semua 12 pemain tersebut sudah bermain di Eropah pada umur 17, 18 tahun.
Jadi mereka tak perlu masuk ke universiti untuk bermain bola sepak secara pfofesional.
Kami melihat 10 pemain profesional memperolehi ijazah dari universiti. Kalau diikutkan, ramai pemain Amerika Syarikat yang akan mendominasi carta ini. Jadi kami hadkan kepada pemain Eropah dan Asia sahaja.
1. Juan Manuel Mata, 27 (Manchester United & Sepanyol)
Ketika di Chelsea, Mata memberitahu media yang beliau sedang mempelajari dua ijazah: dalam sains sukan dan pemasaran di Universidad Camilo Jose Cela.
2. Glen Johnson, 30 (England)
Ketika ditemuramah media pada 2012, Johnson mendedahkan beliau sedang mengambil ijazah Matematik secara sambilan di Open University.
3. Clarke Carlisle, 35 (England)
Semasa di sekolah, Carlisle memperolehi 10 A dalam GCSE (macam SPM di Malaysia) dan mempelajari matematik dan politik dala A-Level sebelum mengambil keputusan untuk menjadi pemain profesional di Blackpool. Di penghujung kariernya, Carlisle mengambil ijazah Professional Sports Writing and Broadcasting daripada Staffordshire University.
4. Edwin van der Sar, 44 (Belanda)
Selepas bersara, van der Sar mengambil ijazah International Master of Sport Management daripada Cruyff Institute di Belanda. Ijazah tersebut adalah syarat yang dikenakan terhadap beliau sebagai Pengarah Pemasaran Ajax Amsterdam yang (baru) dilantik.
5. Shaka Hislop, 46 (Trinidad and Tobago)
Hislop mempunyai ijazah kejuruteraan mekanikal dari Howard University dan pernah bekerja di NASA semasa latihan industri.
6. Yoshinori Muto, 22 (FSV Mainz 05)
Ketika FC Tokyo menerima bidaan £4 juta daripada Chelsea untuk khidmat penyerang muda mereka, Yoshinori Muto baru sahaja lepas 2 minggu menghadiri majlis konvokesyen Universiti Tokyo. Beliau di sana untuk menerima ijazah ekonomi daripada universiti terkemuka Jepun itu.
7. Socrates, 61 (Brazil)
Perancang Brazil ini benar-benar mengagumkan. Beliau memperolehi ijazah kedoktoran dari Faculdade de Medicina de Ribeirão Preto ketika masih bermain secara profesional. Selepas bersara, beliau bertugas sebagai doktor dan penulis. Walaupun bergelar atlet dan doktor, Socrates kuat menghisap rokok dan minum alkohol sehinggalah hari kematiannya.
8. Ali Daei, 46 (Iran)
Ali Daei memperolehi ijazah Kejuruteraan Bahan dari Sharif University of Technology, Iran. Selepas keluar dari universiti, beliau bekerja di Bank Tehran dan bermain untuk pasukan bola sepak Bank Tehran. Bakat beliau mula dikesan Eropah selepas persembahan ajaibnya bersama Iran di Piala Asia 1996
9. Arjan de Zeeuw, 45 (Belanda)
Semasa de Zeeuw bermain di liga amatur, beliau mengambil ijazah dalam Sains Perubatan. Selepas menghabiskan pengajiannya pada umur 22 tahun, barulah de Zeeuw mendapat tawaran kontrak profesional pertamanya dari kelab kecil Belanda, SC Telstar.
10. Andik Vermansyah, 23 (Indonesia)
Ayam tambatan Selangor ini bukan sahaja lincah di atas padang, malah lincah mengatur masa depannya agar terjamin. Ketika ini, Andik sedang berada di tahun ke-4 jurusan ijazah Pengurusan di Fakulti Ekonomi, Universitas Dr. Soetomo Surabaya.
Kesimpulan
Bagi kami, idea mengukur kebijaksanaan pemain muda membuat keputusan di dalam atau di luar padang berdasarkan tahap pendidikannya adalah idea lapuk dan tidak relevan.
Tetapi itu tidak bermakna kami menyokong pemain muda kita mengabaikan pendidikan demi mengejar kontrak profesional yang lumayan.
FAM dan FA negeri perlu mewajibkan setiap pemain tempatan mereka sudah mengambil sekurang-kurangnya SPM.
Sumber: AntaraNews, totalsportek, StudentWorldOnline, The Guardian, Getty Images
LIKE dan FOLLOW SemuanyaBola di Facebook serta Twitter