Menjelang saingan Liga Super malam esok, Terengganu antara pasukan yang bakal beraksi untuk menentang juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City di laman sendiri iaitu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak dalam misi mencari kemenangan.
Walaupun tampil dengan pelbagai persediaan rapi sebelum itu dengan beberapa perlawanan persahabatan dihadapi, Terengganu dilihat mungkin menghadapi sedikit masalah mengenai pemain import untuk diturunkan.
Selepas 50 hari tanpa bolasepak, SABTU ini Terengganu FC kembali! Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bakal kembali BERGEMA! 😭🏴🏳️#TerengganuFC #WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/Sw4TLy1caA
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) June 16, 2022
Menurut pengendali Terengganu iaitu Nafuzi Zain, beliau mengakui bimbang dengan dua pemain import pasukannya mungkin mengalami keletihan untuk dibawa turun beraksi pada malam esok.
Dua pemain tersebut merupakan Manuel Ott dan Kpah Sherman setelah masing-masing baru selesai menjalani tugas bersama skuad kebangsaan sendiri.
Dikhabarkan Ott dan Sherman masing-masing baru tiba di Kuala Terengganu semalam setelah mengharungi beberapa perlawanan antarabangsa bersama pasukan negara sebelum itu.
“Manny (Manuel Ott) dan Sherman (Kpah Sherman) baru sahaja tiba selepas melalui perjalanan panjang kira-kira 30 jam. Begitu juga Shetembi (Petrus Shetembi) dari pasukan TFC ll, yang selalu beraksi dengan kita (TFC).
“Jadi saya perlu ambil kira faktor kecergasan, stamina dan keletihan sebelum memutuskan menurunkan mereka pada perlawanan malam esok,” katanya ketika ditemui Bernama pada sesi latihan di Gong Badak.
Selain itu, beberapa perkara lagi dilihat turut menggusarkan pengendali Terengganu tersebut mengenai persiapan skuadnya sebelum aksi malam esok.
Antara perkara yang berlegar dalam fikiran beliau mengenai beberapa tonggak pemain muda Terengganu yang mengalami kecederaan baru-baru ini ketika beraksi bersama skuad bawah 23 kebangsaan (B-23) mungkin tidak dapat beraksi dalam beberapa perlawanan pada masa akan datang.
Ketika ini, Nafuzi hanya mampu melatih para pemain yang beliau ada sahaja sebagai persediaan untuk menghadapi ancaman KL City di laman sendiri selain mahu mengubah kedudukan carta Liga Super dengan lebih baik.
🎥 FOOTBALL IS BACK, AND THE STRATEGIES BEGIN 🏴🏳️
Training Preparation against KL CITY FC #TerengganuFC#WeBleedBlackandWhite#TFCTV pic.twitter.com/SE1RcgTYk7
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) June 17, 2022
“Cabaran malam esok pastinya getir kerana persediaan…latihan kita tak dapat lakukan bersama secara skuad penuh, kerana ramai pemain utama TFC dipanggil mewakili skuad negara,” katanya yang turut terkesan dengan ketiadaan Faisal Halim.
Namun perkara itu tidan terlalu mengganggu Nafuzi apabila beliau optimis pasukan kendaliannya mampu untuk mencipta keputusan positif di hadapan para penyokong dan seterusnya mengembalikan momentum terbaik bersama kelab.