Perlis nampaknya serius dalam usaha mereka mahu membawa Akhyar Rashid menyertai mereka. Sebelum ini Perlis FA secara terbuka menyatakan minat mereka ke atas Akhyar Rashid ketika media tengah heboh dengan cerita JDT vs KFA dalam saga perpindahan Akhyar Rashid.
Hal itu disahkan sendiri oleh pengendali Singa Utara, Manzoor Azwira.
Sebentar tadi laman rasmi pasukan Perlis sekali lagi mengemaskini perkembangan terbaru perkara tersebut. Perlis FA telah telah menghantar rombongan bagi melamar Akhyar Rashid.
Rombongan tersebut terdiri daripada barisan exco dan pasukan kejurulatihan Perlis yang diketuai oleh Presiden PFA – Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie.
Masa depan Akhyar Rashid terus menjadi bualan hangat. Beberapa hari lalu, Pengarah Sukan JDT, Martin Prest mengesahkan mereka sedang berunding dengan Akhyar Rashid yang sudah menjadi ejen bebas. Ini selepas FAM mengeluarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Status mereka yang membenarkan Akhyar Rashid menebus kontraknya dengan nilai RM210,000.
KFA tampil dengan kenyataan mereka mahu mencabar keputusan FAM dengan mengemukakan rayuan. Menurut KFA keputusan FAM itu tidak dapat diterima kerana mereka masih ada hak ke atas pemain yang ada kontrak dengan mereka.
KFA meminta mana-mana pihak yang mahu mendapatkan Akhyar Rashid agar berjumpa dengan mereka. KFA meminta semua pihak bersikap profesional.
Pengarah Teknikal JDT – Alistair Edward tampil membidas KFA dengan menyatakan JDT tak perlu melalui KFA jika mahu mendapatkan Akhyar Rashid.
Akhyar Rashid merupakan pemain penyerang yang berbakat dan menjadi pemain penting skuad kebangsaan di pelbagai peringkat pada musim ini.