Kepada peminat-peminat dan penyokong-penyokong bola sepak tempatan semua, kami mengharapkan kerjasama anda pada kali ini untuk melupakan dulu tentang polarisasi antara kita dan bersatu untuk adik Adra Medina.
Untuk pengetahuan anda, adik Adra Medina merupakan anak kedua kepada ahli PFA Malaysia dari Perlis iaitu Alafi Mahmod.
Adik Adra yang berusia 48 hari kini menghadapi dugaan yang cukup besar apabila disahkan menghidap penyakit jantung berlubang.
Adik Adra memerlukan pembedahan sebanyak 2 kali dan kos rawatan susulannya mencecah jumlah RM100,000.
Kami ingin memohon ihsan anda semua – peminat-peminat dan penyokong-penyokong bola sepak tempatan – untuk menghulurkan bantuan menerusi inisiatif sumbangan ikhlas PFA Malaysia. Semuanya BOLA sendiri turut akan membantu Alafi dalam usaha ini.
Semoga dengan bantuan ini, sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan saudara Alafi.
Untuk sumbangan kepada Adra Medina, anda boleh bank in / transfer ke akaun CIMB PFAM – 8007211893 Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (Baru).
Sila sertakan bukti sumbangan anda kepada Cik Hanani di talian 017-722 0864 dan Syamil Rosli di 014-548 7034 untuk rekod PFAM. Untuk sebarang pertanyaan mengenai sumbangan kepada Adra, anda juga boleh menghubungi mereka.
Semoga keprihatinan anda dapat membantu Adik Adra menjalani kehidupan seperti biasa.
Apa itu penyakit jantung berlubang?
Untuk memahami masalah penyakit jantung berlubang, kita perlu mengenali jantung kita. Jantung adalah organ berotot yang mengepam darah ke seluruh badan.
Jantung mempunyai empat ruang berongga.
Terdapat dinding yang memisahkan antara ruang kanan dan kiri dipanggil septum.
Dinding septum mengasingkan darah dari bahagian kanan dan kiri jantung daripada bercampur. Ini penting kerana darah di sebelah kiri kaya oksigen. Sementara itu, darah di ruang sebelah kanan pula kurang oksigen.
Jika terdapat lubang pada dinding septum, darah akan bercampur sebelum dihantar ke badan. Inilah yang menyebabkan datangnya pelbagai masalah kesihatan.
Adik Adra mungkin mengalami penyakit jantung berlubang (Ventricular Septal Defect – VSD) atau secara amnya CHD (Congenital Heart Disease). Masalah ini berlaku apabila terdapat lubang atau kecacatan pada struktur jantung iaitu pada dinding dalaman jantung.
Punca-punca
Dunia perubatan moden masih tidak tahu mengapa kecacatan jantung kongenital boleh berlaku. Faktor keturunan mungkin memainkan peranan dalam beberapa kecacatan jantung.
Sebagai contoh, ibu bapa yang mempunyai kecacatan jantung kongenital lebih berisiko mempunyai anak dengan masalah ini.
Selain itu, kanak-kanak dengan kecacatan genetik sering mempunyai kecacatan jantung kongenital. Contohnya separuh daripada bayi dengan sindrom Down mempunyai kecacatan jantung kongenital.
Tanda-tanda awal penyakit jantung berlubang
Kebanyakan kes melibatkan kanak-kanak dapat dikesan sejurus lahir. Tetapi ada yang tidak menunjukkan sebarang tanda. Ini bergantung pada saiz lubang. Semakin besar lubang maka tanda-tanda akan lebih jelas. Antara tanda-tandanya adalah:
- Pernafasan dan pergerakan nadi yang laju
- Berat badan yang tidak bertambah dan tidak sihat seperti kanak-kanak lain
- Kelainan pada degupan jantung atau denyutan jantung yang laju
- Tidak boleh menyusu, banyak berpeluh dan bernafas kencang
- Keletihan melampau atau bernafas kencang semasa makan/menyusu
- Lebam-lebam biru pada kulit (sianosis)
Biasanya lubang-lubang kecil dan sederhana akan tertutup dengan sendirinya, namun ada juga kes kecacatan ringan yang tidak menyebabkan masalah dan sebarang tanda sehinggalah di kemudian hari.
Bagi orang dewasa yang rasa berdebar-debar iaitu degupan jantung menjadi kuat atau cepat tanpa sebab (bukan kerana takut, penat, marah atau sebagainya) maka segeralah berjumpa dengan doktor.