Menjelang aksi hidup mati skuad kebangsaan petang ini dalam Kejuaraan AFF B-23 berdepan Laos, skuad kendalian Brad Maloney tampak tidak gusar walaupun pasukannya kini tampak sedikit tempang setelah beberapa pemain beliau diserang Covid-19 sebelum memulakan perlawanan di Stadium Nasional Morodok Techno.
Dua hari lalu, media melaporkan tiga orang pemain termasuk seorang pembantu jurulatih iaitu Abdul Hanafie Tokyo, Zainal Abidin Jamil dan T Saravanan serta penolong jurulatih, Khan Hung Meng disahkan positif virus itu.
Setakat ini, Maloney mahu memfokuskan kepada persiapan skuad untuk menundukkan Laos kerana skuad Harimau Malaya memerlukan kemenangan sulung mereka sekurangnya dengan dua gol terhasil tanpa balas untuk melayakkan diri ke peringkag seterusnya sekali gus menjadi juara Kumpulan B setelah sebelum itu mereka mencatat kekalahan mengejut 1-2 dalam aksi pertama, Jumaat lalu.
Pengendali berusia 50 tahun itu juga setakat ini masih menunggu pengesahan mengenai status dua pemainnya yang masih dalam tempoh kuarantin iaitu Fahmi Daniel Zaaim dan Shafi Azswad Sapari yang sebelum ini terpaksa menjalani kuarantin selepas lebih awal dikesan positif virus itu.
“Ada pemain yang mengalami kecederaan tapi tak serius. Kami akan nilai dan putuskan senarai pemain untuk perlawanan esok. Kami juga berdepan kes COVID-19 dan pasukan perubatan melakukan tugas dengan baik terhadap perkara itu.
“Kami hanya cuba memberikan fokus kepada perlawanan esok. Kami masih menunggu pengesahan untuk Fahmi dan Azswad, jadi sekarang ini kami memiliki 21 pemain yang boleh diturunkan.
“Sudah pasti ia perlawanan yang mencabar dengan Laos memiliki keyakinan penuh susulan kemenangan 2-1. Kami pula perlukan sentuhan jaringan untuk mendapatkan keputusan yang kami dan saya percaya pemain mampu lakukan,” katanya menerusi Berita Harian.
Susulan penarikan diri dua pasukan iaitu Indonesia dan Myanmar dalam Kumpulan B akibat serangan pandemik Covid-19, Malaysia perlu menentang dua kali pasukan Laos untuk menentukan siapa layak bergelar juara kumpulan bagi melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala AFF B-23.
Dalam masa sama, Brad Maloney turut menjelaskan barisan pemainnya tidak terkesan dengan kekalahan lalu serta mempunyai motivasi yang kuat meskipun dikecam hebat oleh penyokong bola sepak negara akibat kekalahan tidak diduga pada perlawanan lalu di tangan Laos pada aksi pertama mereka.
“Kami perlu profesional mengenai itu, maksud saya ia sebahagian daripada bola sepak profesional. Sama ada persembahan anda bagus atau tidak, anda mendominasi permainan atau tidak, bola sepak akan dilihat kepada keputusan akhir.
“Kami memberikan pendekatan yang profesional, jadi ia tidak memberi kesan yang besar daripada apa saja komen yang datang dari luar sana. Realitinya kalau kami beraksi dengan baik, kami boleh menang,” katanya.