Hatrik Syafiq Ahmad bantu Malaysia menepati ramalan untuk mudah menundukkan pasukan di ranking ke-202 dunia, Sri Lanka dengan keputusan dominan 6-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Penguasaan penuh Harimau Malaya sudah dijangka dengan hanya tiga kali Singa Emas hadir untuk mengasak sementara Malaysia pula terus menghasilkan gol sehingga di hujung perlawanan.
Sri Lanka membuat satu perubahan daripada perlawanan terakhir bulan lalu menentang Korea Utara iaitu di posisi penjaga gawang dengan kemasukkan Hilmi Luthfi untuk Weerasinghe Parera.
Malaysia pula tampil dengan tiga perubahan pemain daripada aksi menentang UAE dengan kembalinya Aidil Zafuan dan Akram Mahinan untuk Adam Nor Azlin dan Nor Azam Azih sementara tempat Mohamadou Sumareh pula diganti oleh Akhyar Rashid.
Harimau Malaya turun dengan intensiti yang tinggi dalam aksi pemanas badan ini dengan beberapa asakan dicatur sejak dari awal babak pertama sementara Sri Lanka hanya dua kali berjaya mengasak benteng iaitu pada minit ke-7 dan ke-19 perlawanan selain percubaan pertama di penghujung babak pertama.
Begitupun, dua asakan di minit ke-7 dan ke-19 langsung tidak menguji penjaga gol, Farizal Marlias di gawang apabila minit ke-7, Dilip Kurukulasuriyage diperangkap offside sementara asakan kapten, Kavindu Ishan pula gagal direalisasikan apabila pemain tersebut terjatuh sebelum bola tiba di kakinya pada minit ke-19.
Tampil dengan lima pertahanan tidak menghalang skuad negara daripada merobek gawang Singa Emas malah hantaran-hantaran rendah di antara pemain negara gagal dikekang oleh Sri Lanka.
Minit ke-9, Syafiq Ahmad berjaya mengubati kekecewaan terlepas peluang empat minit sebelum itu apabila menghasilkan jaringan pertama buat skuad negara, selepas menerima hantaran rendah Safawi Rasid dari sebelah kiri gawang yang dikawal Hilmi Luthfi.
Shahrul Saad yang tampil untuk kaps ke-36 kemudian menambah jaringan menerusi rembatan di depan gawang pelawat pada minit ke-14, selepas menerima hantaran sepakan penjuru Safawi Rasid. Bola tersebut kemas melewati dua pemain negara dan benteng lawan sebelum tiba kepada Shahrul Saad di hujung gawang.
Tiga minit kemudian, giliran penyerang berpengalaman Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha pula meledak gol, selepas gerakan Safawi Rasid kepada Syafiq Ahmad berjaya menemuinya untuk sentuhan mudah menewaskan Hilmi Luthfi buat kali ketiga – jaringan ke-14 antarabangsanya selepas 74 penampilan.
Peluang terbaik Sri Lanka untuk menjaringkan gol pertama hadir di hujung babak pertama apabila penyerang berusia 22 tahun, Dilip Kurukulasuriyage berjaya melepaskan percubaan selepas menerima hantaran Dananju de Silva, namun ditepis oleh Farizal Marlias.
Tiada perubahan ketara di babak kedua, Malaysia masih mengawal perlawanan dengan Sri Lanka berterusan diasak. Singa Emas terus tenggelam tanpa sebarang asakan ke kubu skuad negara.
Seminit selepas percubaan tersasar Safawi Rasid, muncul Akhyar Rashid menjaringkan gol ke-4 Harimau Malaya apabila menerima hantaran lambung Norshahrul Idlan Talaha yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gawang lawan, Hilmi Luthfi di minit ke-51.
Pertukaran rancak oleh kedua-dua pasukan di pertengahan babak kedua menyebabkan tempo perlawanan terjejas. Harimau Malaya yang garang sejak awal perlawanan masih mengasak namun tampak kekurangan impak kesan daripada beberapa pertukaran.
Di saat Malaysia telah meledak empat gol, Safawi Rasid terus gagal menemui sentuhan jaringan dengan tiga percubaannya di minit ke-65, ke-69 dan ke-72, gagal menggegar gol lawan sebelum pemain sayap menyerang itu akhirnya dikeluarkan pada minit ke-76.
Syafiq Ahmad menambah koleksi gol apabila berhasil menewaskan pertahanan pelawat sebelum meledak gol ke-5 pada minit ke-76, selepas menerima tandukan Brendan Gan – jaringan keduanya pada malam ini dan ke-7 peribadinya di peringkat antarabangsa.
Syafiq Ahmad akhirnya menebus kegagalannya untuk meledak gol di minit ke-85 apabila menghasilkan jaringan menarik jarak jauh empat minit kemudian untuk membolehkan Malaysia menamatkan perlawanan dengan keputusan besar 6-0 di halaman sendiri.
Kredit Featured Image: FAM