Perlawanan Persahabatan: Ledakan Safawi Rasid Bantu Malaysia Kejutkan Tajikistan

Safawi Rasid Malaysia Tajikistan

Safawi Rasid muncul selaku wira buat skuad kebangsaan apabila ledakannya di minit ke-72, 10 minit selepas dimasukkan sebagai pemain gantian, memberikan kemenangan tipis 1-0 Malaysia ke atas pasukan di ranking ke-116 dunia, Tajikistan dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Kali terakhir penjaring terbanyak Piala Malaysia 2019, Safawi Rasid meledak gol buat skuad kebangsaan adalah pada Jun lalu ketika Malaysia berpesta gol, menang ke atas Timor Leste dalam aksi pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Malaysia berjaya membalas dendam atas kekalahan 1-4 dalam pertembungan pertama dan terakhir kedua-dua pasukan dalam aksi persahabatan pada Ogos 2014 di Dushanbe, Tajikistan.

Malaysia memiliki peluang seawal minit ke-7 apabila hantaran Corbin Ong yang melakukan overlap berhasil menemui pemain negara di dalam kotak penalti pelawat, namun rembatan akhir yang dilepaskan Syahmi Safari terkena Tabrezi Davlatmir.

Penjaring gol terbaik di Piala AFF Suzuki 2018 itu telah diberikan peluang mengisi posisi Mohamadou Sumareh yang direhatkan sementara posisi sayap kiri pula diambil alih oleh Akhyar Rashid.

Malaysia tampil tenang di awal babak pertama dengan beberapa asakan dicatur menerusi koridor kanan yang digerakkan oleh Syahmi Safari, sementara Tajikistan pula terus mencari rentak sehinggalah percubaan Alisher Dzhalilov pada minit ke-17.

Syahmi Safari Malaysia Tajikistan
FOTO: FAM

Larian deras penjaring terbanyak Tajikistan, Manuchekhr Dzhalilov di sayap kiri berhasil menewaskan benteng tuan rumah namun hantarannya ke dalam kotak penalti gagal disambut Jahongir Ergashev, sebelum disusuli percubaan deras pemain tengah, Alisher Dzhalilov yang ditepis oleh Khairulazhan Khalid.

Alisher Dzhalilov yang baru meraih penampilan ke-4 antarabangsa itu telah menjaringkan gol kemenangan buat Tajikistan dalam aksi pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Kyrgyzstan dengan keputusan tipis 1-0 pada September lalu.

Respon segera dipamerkan oleh Malaysia apabila penggempur utama, Syafiq Ahmad hampir membuka akaun jaringan pada minit ke-23 selepas berjaya merampas hantaran ke belakang namun gagal menewaskan Rustam Yatimov apabila tolakannya sedikit kuat dan akhirnya dikeluarkan oleh pertahanan, Davron Ergashev.

Ini adalah kali pertama Norshahrul Idlan dimulakan dari bangku simpanan sejak Mac lalu ketika menentang Singapura dalam Piala AIRMARINE 2019 dan tugasnya diambil alih oleh Syafiq Ahmad.

Seawal babak kedua bermula, penjaga gawang Tajikistan, Rustam Yatimov dilayangkan kad merah apabila menghalang dengan tangan gerakan Syahmi Safari di luar kotak penalti menyaksikan pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain untuk hampir 45 minit.

Minit ke-62, Safawi Rasid yang baru sahaja dimasukkan berhasil mengegar palang gol yang dikawal penjaga gol gantian berusia 17 tahun, Shokhrukh Kirgizboev menerusi sepakan percuma sebelum percubaannya lima minit kemudian diselamatkan oleh penjaga gol yang meraih kaps antarabangsa pertamanya pada malam ini.

Syafiq Ahmad Malaysia Tajikistan
FOTO: FAM

Pelawat hanya bertahan selepas kehilangan seorang pemain dan Malaysia berjaya mengawal perlawanan dengan baik. Hanya pada minit ke-80, barulah Tajikistan membuat percubaan pertama di babak kedua ke gawang yang dikawal Khairulazhan Khalid.

Akhirnya, Safawi Rasid yang bermain di posisinya kegemarannya di Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya meledak jaringan pertama buat Harimau Malaya pada minit ke-72, menerusi rembatan kaki kirinya selepas menewaskan pertahanan, Manuchehr Safarov. Hantaran jauh Brendan Gan yang membuka ruang untuk asakan tersebut.

The Crowns mula mengasak kubu skuad negara selepas beberapa pertukaran pemain menuju ke penghujung perlawanan namun ia gagal dimanfaatkan oleh jentera serangan antaranya sepakan percuma di luar kotak penalti di minit ke-90 yang terkena benteng.

Kemenangan ini adalah satu suntikan moral terbaik buat Harimau Malaya sebelum menerima kunjungan Thailand dan Indonesia untuk aksi seterusnya Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia/Piala Asia pada 14 dan 19 November depan di halaman sendiri.

Kredit Featured Image: FAM

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN