Revierderby di antara Borussia Dortmund dan Schalke 04 telah menjadi salah satu perlawanan epik pada minggu ini. Selepas permulaan cemerlang dengan Dortmund, Peter Bosz dan pasukan beliau kini dalam tekanan.
Ini selepas beberapa keputusan kurang memberangsangkan dicatatkan mereka. Semalam, pada awalnya dianggap hari terindah untuk Borussia Dortmund selepas mendahului 4 gol pada separuh masa pertama.
Mereka juga masuk ke bilik persalinan dengan 4 gol, salah satu daripadanya adalah jaringan sendiri pemain Schalke, serta meraikan 1 gol Schalke yang dibatalkan oleh VAR.
Namun ia bertukar menjadi salah satu hari yang pedih untuk dilupakan penyokong Borussia Dortmund. Ini apabila musuh tradisi mereka melakukan kebangkitan 4 gol pada separuh masa kedua. Gol penyamaan ke-4 Schalke adalah pada masa kecederaan.
Tidak cukup dengan itu, Aubameyang yang meraikan rekod menyamai jumlah jaringan terbanyak pemain Afrika di Bundesliga, pada separuh masa kedua beliau telah dibuang padang.
Schalke bukanlah terus ‘panas’ pada separuh masa kedua. Mereka menjaringkan gol pertama pada minit ke-61 menerusi Guido Bergstaller.
4 minit kemudian Amine Harit menambah 1 lagi gol. Minit ke-72, Dortmund terpaksa bermain 10 pemain selepas Aubameyang dilayangkan kad merah.
Jaringan ke-3 Schalke adalah menerusi percubaan deras cantik Daniel Caligiuri pada minit ke-86. Penyokong Dortmund mulai resah dengan apa yang berlaku dan penyokong Schalke mulai semakin bersemangat seperti mana pemain mereka.
Borussia Dortmund mulai cuba melengahkan perlawanan dan Sokratis dilayangkan kad kuning kerana kesalahan itu. Pegawai perlawanan memberikan 7 minit masa tambahan dan ia disambut dengan sorak gembira oleh penyokong Schalke.
Schalke telah menghantar ramai pemain mereka untuk menyerang. Schalke mendapat sepakan penjuru dan ia disudahkan oleh Naldo dengan tandukan pada minit ke 90+4.
Keputusan ini mengekalkan jarak 4 mata oleh Schalke di atas Dortmund. Selain itu, Borussia Dortmund masih gagal memenangi 6 perlawanan liga terakhir mereka. Dortmund juga tersingkir daripada UCL.
Borussia Dortmund sudah tidak boleh keciciran mata lagi sekiranya masih mahu bersaing dengan Bayern Munich. Melepaskan 4 gol pendahuluan lebih-lebih lagi dalam perlawanan derbi pastinya mencabar mentaliti pemain untuk bangkit selepas ini.