Perlawanan di antara Amiens dan Lille terpaksa dihentikan oleh pengadil selepas penghadang penyokong roboh. Dilaporkan 20 orang penyokong cedera dan 3 daripadanya dalam keadaan agak serius.
Kejadian yang berlaku di Stade de La Licorne, milik Amiens ini agak mengejutkan ramai pihak. Aspek keselamatan penyokong seharusnya dipandang berat oleh pengurus stadium.
Bayangkan jika keadaan itu berlaku di teres yang lebih tinggi? Pastinya ia akan menjadi berita lebih menyedihkan.
Penyokong Lille telah berganjak ke hadapan untuk meraikan gol Fode Ballo Toure. Pengadil, Thomas Leonard yang melihat insiden itu telah menghentikan perlawanan serta-merta atas sebab-sebab keselamatan.
Lille's fans celebrated so hard that the stadium barrier collapses. Initial reports suggest – thankfully – that no one is seriously injured. pic.twitter.com/5WX9ifNDwC
— GOAL (@goal) September 30, 2017
Pegawai keselamatan dan petugas perubatan bergegas untuk memastikan mangsa runtuhan penghadang itu selamat. Pegawai delegasi perlawanan, Noel Mannino memberitahu wartawan selepas itu:
“Berkenaan dengan kejadian yang berlaku sebentar tadi, saya sahkan ada 20 orang cedera dan 3 daripadanya serius dan sudah dikejarkan ke hospital. Jadi, kami sudah pun memutuskan bahawa perlawanan ini tidak akan diteruskan.”
Pihak Ligue 1 akan melakukan siasatan ke atas stadium yang berkapasiti 12,000 penyokong ini. Pihak pengurusan stadium boleh dikenakan tindakan berat kerana tidak melakukan pengendalian yang efisien ke atas stadium mereka.
Diharap kejadian seperti ini dijadikan iktibar semua pihak yang berkaitan termasuk di negara kita. Kita tidak mahu ada nahas kerana insiden seperti ini.