Venue Perlawanan Akhir Bola Sepak Sukan SEA Kembali Ke Stadium Shah Alam

Venue perlawanan akhir untuk acara bola sepak Sukan SEA akan diadakan di Stadium Shah Alam. Demikianlah pengumuman yang diumumkan oleh pihak penganjur selepas satu mesyuarat penyelarasan Sukan SEA yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dato’ Lokman Hakim Ali di Hotel Hilton Petaling Jaya pada pagi tadi.

Perlawanan akhir tersebut sepatutnya dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini (29 Ogos 2017) dengan sepak mula perlawanan dijangka pada jam 8.45 malam.

Kredit: Persatuan Bola Sepak Malaysia, Facebook

Satu lagi perlawanan untuk perebutan pingat gangsa di antara Indonesia dan Myanmar akan diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada tarikh yang sama dan sepak mula perlawanan adalah pada ja 4.30 petang.

Beberapa faktor diambil kira sebelum keputusan perubahan venue perlawanan akhir ini diambil. Antara faktor utama adalah untuk membenarkan pasukan petugas melakukan persiapan untuk majlis penutup Sukan SEA ke-29.

Majlis penutup Sukan SEA ke-29 dijadualkan berlangsung sehari selepas perlawanan akhir acara bola sepak lelaki di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menurut kenyataan yang dimuatnaik oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaludin di laman media sosial twitter miliknya, perubahan itu turut mengambil kira pandangan ketua jurulatih Malaysia, Datuk Ong Kim Swee dan juga keseluruhan pasukan bola sepak Malaysia.

Pengekalan perlawanan akhir di Stadium Shah Alam ada asasnya. Pasukan Harimau Malaya memulakan kempen untuk acara bola sepak di temasya Sukan SEA pada 14 Ogos lalu dengan kemenangan 2-1 dengan Brunei.

Stadium Shah Alam terus menjadi kandang buat skuad Harimau Malaya apabila turun menundukkan pasukan seberang tambak, Singapura dengan jaringan 2-1 sebelum menewaskan Myanmar 3-1.

Stadium Shah Alam dibuka pada 1994 merupakan bekas gelanggang rasmi Selangor.

Malaysia menduduki kedudukan teratas saingan Kumpulan A dengan kemenangan 3-1 ke atas Laos sebelum menempah tiket ke perlawanan akhir dengan kemenangan 1-0 ke atas Indonesia.

Menanti Malaysia di pentas perlawanan akhir adalah juara 15 kali Sukan SEA, Thailand.

Bagi yang ingin mendapatkan tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir di antara Malaysia dan juga Thailand anda boleh berbuat demikian mulai esok. Harga tiket perlawanan akhir ialah RM21.20 (termasuk GST).

Sumber:

1. Kredit Gambar: Acap Bazli, Facebook.

Leave a Reply