7 Perkara Mengenai Ulisses Morais Yang Akan Membuatkan Anda Kagum

Genap 9 bulan dan 1 minggu. Itulah tempoh jodoh pengendali dari Portugal, Ulisses Morais bersama juara Liga Super Malaysia selama empat musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ketika diumumkan sebagai Ketua Jurulatih JDT pada 19 Jun 2017, rata-rata pengikut bola sepak di Malaysia tertanya-tanya. Siapakah gerangannya Ulisses Morais?

Seraya itu, peminat bola sepak tanah air dan juga pihak media berlumba-lumba melakukan carian di internet untuk mengetahui siapakah Morais.

Sekurang-kurangnya itulah yang penulis akui lakukan pada ketika itu.

Perletakkan jawatan

Dalam perkembangan yang mengejutkan semalam, pengendali berusia 58 tahun ini melepaskan jawatan beliau bersama JDT, demi memberi keutamaan kepada keluarga di tanah air.

Tempoh sembilan bulan adalah tempoh yang amat singkat untuk bergelar ketua jurulatih bersama JDT. Namun ini tidak bermakna tiada perubahan yang telah dilakukan oleh beliau bersama juara Piala AFC 2015 tersebut.

Ikuti analisa ringkas kami mengenai apa yang bakal anda rindukan selepas kepulangan Morais ke Portugal.

Kredit: JST, Facebook.

1. Perubahan Taktikal

Sebelum ketibaan Morais, JDT kerap kali menggunakan sistem 4-2-3-1 dalam permainan mereka. Morais mengubahnya kepada corak permainan lebih menyerang dengan formasi 4-3-3.

Secara umum, formasi 4-3-3 dibina untuk menguasai bahagian tengah dan memberikan variasi ketika serangan.

Kebiasaannya, salah seorang daripada pemain tengah tersebut akan bermain lebih bertahan dan mengambil peranan pemain No.8. Posisi ini sering diisi oleh pemain berusia 23 tahun, Afiq Fazail.

Sumber: JST, Facebook.

Peranan oleh Afiq ini juga lebih dikenali sebagai pivot tunggal. Sistem ini sekaligus menghapuskan 2 pivot yang sering digunapakai ketika era Benjamin Mora.

Namun jika keadaan memerlukan, sistem pivot tunggal akan menjadi pivot berkembar dengan mengandingkan sama ada Afiq atau Haris Harun dengan Natxo Insa seperti mana yang kita saksikan pada permulaan kempen musim ini.

2. Variasi taktikal ultra attacking

Falsafah bola sepak Morais tidak terikat kepada sistem 4-3-3 semata-mata. Ketika di dalam perlawanan, sistem tersebut boleh berubah kepada formasi 3-4-4 atau pun 4-2-4, dengan penekanan diberikan kepada bahagian depan yang dinamik.

3-4-3 JDT berfungsi di bawah Morais.

Taktikal Morais banyak bersandarkan kepada keupayaan teknikal pemain yang dimilikinya. Walaupun formasi 4-3-3 mempunyai intensiti serangan yang bagus, tidak bermakna pasukan lawan tidak bersedia untuk menghadapi taktikal sedemikian.

Untuk itu, pada musim lalu kita berkesempatan melihat perubahan ketika perlawanan yang diterapkan oleh Morais dengan sistem 3-4-4 atau pun 4-2-4.

JDT vs Sarawak

Gambar di atas adalah ketika perlawanan menentang Sarawak, dan bagaimana JDT memerangkap pertahanan Sarawak menggunakan formasi 4-2-4.

Jersi pasukan
Photo by : Norazmi Ibrahim | www.asiana.my

Perubahan taktikal ini bermakna Morais mengenali pemain di bawah kendaliannya, dan seorang pengendali yang jelas akan apa yang dilakukannya.

3. Man management- mengenal potensi pemain

Mengapa kami mengatakan Morais adalah seorang jurulatih yang sangat mengenali pemainnya, walaupun dalam tempoh masa yang singkat?

Seorang jurulatih yang bagus, bukan sekadar mempunyai kepakaran taktikal yang mantap.

Lebih daripada itu, seorang jurulatih harus tahun bagaimana untuk menggunakan pemain-pemain yang dimilikinya untuk mencapai potensi tertentu bersama pasukan.

Kredit: JOHOR Southern Tigers, Facebook.

Sebelum ketibaan Morais, 3 pemain skuad utama yang kelihatan seperti sudah tidak mempunyai masa hadapan bersama JDT, kembali menonjol.

Fadhli Shas kembali menjadi watak penting di benteng pertahanan sehingga ke hari ini. Morais bukan sahaja kagum dengan keupayaan Fadhli mengawal bahagian pertahanan, malah pemain ini turut membuktikan dirinya mampu menjadi aset dalam gerakan set piece pasukan.

Junior Eldstal turut bagaikan mendapat nafas baharu di bawah bimbingan Morais pada penghujung musim lalu. Di bawah kendalian Morais, Eldstal berubah posisi daripada pemain tengah pertahanan kepada pemain pertahanan tengah.

Begitu juga dengan pemain seperti Gary Steven Robbat.

“Saya jarang berbicara mengenai sumbangan individu seseorang pemain kepada pasukan. Namun kali ini ia berbeza. Gary telah menunjukkan permainan yang sangat bagus. Ini membuktikan betapa pentingnya Gary kepada JDT,” ujar Morais mengulas prestasi Gary selepas menewaskan Selangor 3-1 pada September lalu.

4. Seorang profesional sejati

Anda mungkin mempunyai pelbagai sebab untuk membenci JDT. Tetapi sukar untuk ada menuding jari kepada Morais.

Ini adalah kerana bekas jurulatih JDT ini adalah seorang jurulatih yang memiliki etika profesional yang sangat tinggi.

Perhatikan setiap kenyataan media yang dilakukan sebelum dan juga selepas perlawanan.

Menang atau kalah, beliau adalah seorang pengendali yang menghormati lawan, dan sentiasa mahukan pemain di bawah kendalian beliau fokus hanya kepada isu di dalam pasukan.

Sepanjang bersama JDT, belum pernah lagi kita mendengar Morais mengkritik lawan mahupun perkara lain yang tidak berkaitan dengan pasukan kendaliannya.

Fokus untuk sentiasa menambahbaik pasukan adalah keutamaan beliau.

5. Bahasa bukan penghalang

Kami juga berpendapat Morais adalah seorang jurulatih yang unik. Sebelum tiba di JDT, beliau tidak pernah mengendalikan mana-mana kelab di luar Portugal.

Oleh kerana itu, Morais membawa sekali seorang penterjemah yang sering berdampingan bersama beliau, iaitu Rui Rodrigues yang juga bertindak selaku pembantu jurulatih.

“Maafkan saya dengan (tahap pertuturan) Bahasa Inggeris saya, saya tidak dapat bercakap dengan baik, tapi pemain memahami (arahan) saya selain dibantu Rui Rodridgues (penolong jurulatih).

“Apapun, ia bukan masalah dan buktinya kami juara dalam Liga Super, dan sekarang ini layak ke final Piala Malaysia.”

“Semua pemain sangat bagus dan mereka menjalankan tugas dengan baik,” ujar Morais pada Oktober lalu dalam satu sidang media

Walaupun serba kekurangan dalam penguasaan Bahasa Inggeris, ia tidak pernah menjadi batu penghalang kepada Morais untuk menyampaikan input beliau kepada pemain.

6. Tarian Techno-disko!

Passion atau kesungguhan. Demikianlah karakter Morais yang boleh penulis simpulkan.

Jika anda pernah menghadiri sidang media melibatkan pasukan JDT, Morais pasti tampil dengan raut wajah serius.

Buat yang tidak mengenali beliau, anda pasti berfikir bahawa Morais adalah seorang jurulatih yang bengis dan tidak memberikan muka kepada pihak media.

Tetapi berdasarkan tarian techno-disko yang ditunjukkan oleh beliau ketika meraikan kejuaraan Piala Malaysia, penulis boleh simpulkan bahawa Morais adalah seorang jurulatih yang sangat passionate (bersungguh) dengan apa yang beliau dilakukan.

Fokus ketika melakukan tugasan. Raikan selepas berjaya mencapai kejayaan!

Perhatikan juga bagaimana lagak Andy Penders cuba meniru aksi techno-disko Morais.

7. Keluarga adalah keutamaan

Berdasarkan alasan beliau meninggalkan JDT, kita boleh simpulkan bahawa Morais adalah seorang lelaki yang mementingkan keluarga  (family man).

Melepaskan karier demi keluarga adalah satu pengorbanan. Ia pasti satu keputusan yang sukar buat beliau.

Jauh di perantauan, JDT bagaikan keluarga besar buat Morais di Malaysia.

Berdasarkan kenyataan selamat tinggal beliau yang dimuatnaik di laman Facebook JOHOR Southern Tigers, tidak sukar untuk kita menggambarkan betapa intimnya beliau dengan pihak pengurusan di kelab bola sepak tersebut.

Seiring watak profesional di dalam bola sepak, kita juga boleh memahami mengapa beliau kagum dengan kepimpinan DYAM Tunku Makhota Johor (TMJ), yang merupakan individu yang bertanggungjawab memperkenalkan beliau ke kancah saingan bola sepak negara .

Penutup

Juara Liga Super Malaysia 2017, juara Piala Malaysia 2017, dan juara Piala Sumbangsih 2018. – demikianlah pencapaian beliau bersama JDT hanya dalam tempoh 9 bulan, 1 minggu.

Siapa pun bakal pengganti beliau selepas ini, tugas berat untuk mencapai kejayaan yang lebih baik daripada Morais, pasti akan ditagih buat kelab bola sepak selatan tanah air ini.

‘JDT SENTIASA DI HATI SAYA’- demikianlah antara ungkapan terakhir Morais.

Obrigado por tudo Ulisses Morais!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN