Kelibatnya diatas padang sungguh meyakinkan serta memberikan ancaman besar buat pasukan lawan.
Penampilan sulung bersama Perlis juga berjaya menghasilkan hatrik ketika bertemu Terengganu. Insan yang dimaksudkan adalah penyerang import dari Zambia iaitu Phillimon Chipeta.
Nama beliau sebaris dengan pemain import berkualiti lain yang pernah dimiliki skuad ‘Singa Utara’ itu seperti Stephen Keshi, Emile Mbouh Mbouh, Kiatisuk Senamuang, Zacharia Simunkonda dan ramai lagi dalam lipatan sejarah pasukan Perlis.
Chipeta pada mulanya menjalani sesi latihan dan pemilihan di Ipoh namun pengendali Perak, Toni Netto tidak mahukan khidmatnya dan ejen beliau telah membawanya ke Perlis.
Norizan Bakar (ketika itu jurulatih Perlis) melihat potensi yang ada pada Chipeta, terus mendapatkan penggempur berbisa itu dengan menawarkan kontrak selama dua tahun.
Musim pertamanya di Kangar juga menjadi tumpuan apabila Chipeta telah dinobatkan selaku penjaring terbanyak Liga Perdana Satu 2003 apabila menjaringkan 23 gol bagi meninggalkan Isaac Kuffour (Telekam Melaka) dan Jonathan Ben Angelucci (Johor FC) ditempat kedua dengan 16 gol.
Chipeta juga berjaya membantu Perlis meraih kejuaraan Piala Malaysia 2004 dan 2006 serta Liga Super 2005. Beliau juga dipilih menjadi pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia 2006.
Kehebatan dan ketajaman yang dimiliki Phillimon Chipeta tidak perlu disangkal lagi dan peminat yang mengikuti perkembangan liga tanah air ketika itu pastinya dapat melihat dan mengagumi kualiti yang dimiliki awang import tersebut.
Bagaimanapun terdapat beberapa perkara menarik di luar padang ketika bersama pasukan Perlis yang ingin Semuanya BOLA kongsikan bersama pembaca semua. Antara perkara tersebut ialah :
1) Beliau tidak pandai memandu kereta dan menunggang motosikal
Chipeta yang ketika itu berusia 22 tahun tidak pandai memandu kereta dan menunggang motosikal sehingga musim terakhirnya di Perlis pada tahun 2008.
Pernah satu ketika beliau diminta oleh rakan sepasukannya untuk menunggang motosikal, Chipeta menyahut cabaran tersebut dan akhirnya beliau terjatuh sehingga mengalami kecederaan di bahagian tangan.
Keadaan tersebut membuatkan pengurus pasukan ketika itu, Adzmi Saad memarahi rakan sepasukan Chipeta.
2) Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) memberikan sebuah basikal untuk memudahkan pergerakannya ke padang latihan
Akibat tidak pandai memandu kereta dan menunggang motosikal, pihak PFA sekadar memberikan beliau sebuah basikal untuk memudahkannya ke padang latihan bagi bersama-sama pasukan.
Chipeta tinggal di sebuah rumah yang berdekatan dengan Hotel Putra Palace, Kangar.
Lebih menarik apabila dalam perjalanan beliau untuk pulang ke rumahnya selepas menjalani latihan bersama pasukan, kelihatan ramai anak-anak kecil yang akan turut sama berkayuh bersamanya.
3) Seorang yang pemurah
Sikap tersebut dapat dilihat apabila Chipeta gemar membelikan aiskrim buat anak-anak kecil yang sering menemaninya berkayuh mahu pulang ke rumahnya.
Tidak cukup dengan itu, Chipeta turut membelikan tiket perlawanan buat anak-anak kecil tersebut.
Ketika itu setiap pemain akan diberikan tiga keping perlawanan dan selebihnya beliau akan membelikan tiket untuk diberikan kepada anak-anak kecil yang selalu menjadi temannya.
4) Begitu dikenali di Perlis
Menjadi pemain import yang seringkali menjaringkan gol sudah pasti membuatkan kelibat beliau menjadi perhatian umum di kawasan sekitar Perlis.
Sekiranya Phillimon Chipeta ingin ke pusat bandar Kangar, beliau hanya perlu berjalan keluar ke jalan besar dan menahan sahaja mana-mana kereta yang beliau mahu.
Hal ini kerana pasti akan ada yang ingin menumpangkan beliau untuk ke pusat bandar.
5) Mempunyai seorang pemandu teksi peribadi
Beliau mempunyai seorang pemandu teksi peribadi yang juga boleh dikatakan sebagai pembantu peribadinya. Pemandu teksi tersebut dikenali dengan nama ‘Abang Lan’.
Bukan sekadar membawa beliau kemana sahaja yang Chipeta mahukan, Abang Lan juga turut berperanan untuk menambah nilai kredit pra-bayar telefon bimbitnya ketika itu.
6) Sangat menggemari kuih pulut udang/panggang
Chipeta cukup menyukai kuih ini kerana beliau mengatakan kuih tersebut adalah sama seperti kuih kegemarannya ketika di Zambia.
7) Beliau takut pada ketinggian (menaiki kapal terbang)
Beliau mempunyai persamaan dengan legenda Belanda, Dennis Bergkamp iaitu takut untuk menaiki kapal terbang. Sekiranya memerlukannya untuk menaiki kapal terbang, Chipeta akan diberikan ubat bius pengsan.
Turut dikhabarkan beliau jarang turut serta bersama pasukan sekiranya terdapat perlawanan yang berlangsung di Sabah dan Sarawak.