Latihan pra-musim merupakan satu fasa yang sangat penting sebagai persediaan bagi sesebuah pasukan dan para pemain bagi mempersiapkan diri menjelang sepak mula musim baru.
Di Malaysia, hampir kesemua pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia 2020 sudah memulakan sesi latihan pra-musim mereka.
Ketika ini dapat dilihat persiapan setiap pasukan melalui kaedah dan teknologi yang digunakan serta kerja keras dari para pemain, jurulatih dan pengurus dalam tempoh latihan ini.
Berikut adalah 5 perkara yang menjadi tumpuan pasukan ketika menghadapi pra-musim:
1) Mengembalikan tahap kecergasan yang baik buat pemain
Pra-musim sememangnya menjadi medan buat para jurulatih bagi mengembalikan kecergasan para pemain selepas menamatkan saingan musim yang berlalu.
Hal ini berikutan pemain baru sahaja dikumpulkan kembali dari rehat yang telah diberikan selepas mengharungi saingan yang panjang atau lebih dikenali sebagai ‘off-season’.
‘Off-season’ juga penting buat para pemain selepas mereka bekerja dengan begitu keras sepanjang musim bagi membawa cabaran pasukan.
Perkara ini (mengembalikan kecergasan) pasti menjadi aspek utama yang perlu dititikberatkan oleh jurulatih sebelum menyentuh perkara lain buat pasukan.
2) Jurulatih dan pemain dapat menyesuaikan diri dengan taktikal
Kemasukan pemain baru dan pemain musim lalu yang meninggalkan pasukan membolehkan seseorang jurulatih akan menjadikan latihan pra-musim ini sebagai landasan untuk cuba mengadunkan taktikal yang baik bagi melihat sejauh mana keserasian para pemain.
Untuk mendapatkan persefahaman yang baik dalam penerapan taktikal yang bakal digunakan, ianya memerlukan lebih ruang dan masa untuk mencapai keserasian.
Kebiasaannya jurulatih akan merekrut pemain baru yang dirasakan sesuai dengan taktikal menjadi pilihannya.
3) Meningkatkan dan mendapatkan semula ‘match fitness’
Banyak pasukan yang gagal menyerlah di awal musim akibat dari kekurangan ‘match fitness’ walaupun pada dasarnya para pemain tersebut sudah cukup cergas.
‘Match Fitness’ sangat diperlukan ketika pra-musim tanpa perlu mengambil kira terlalu serius keputusan perlawanan persahabatan.
4) Mewujudkan keserasian dalam pasukan
Keserasian pasukan juga dapat ditingkatkan menerusi perlawanan persahabatan serta latihan pra-musim ini.
Para pemain yang baru menyertai sesebuah pasukan tidak dinafikan akan mengalami ‘kejutan’ apabila digandingkan bersama rakan sepasukan serta suasana baru yang dirasai mereka bersama pasukan.
Keadaan ini akan digunakan sepenuhnya oleh jurulatih dalam mewujudkan keserasian buat para pemain menerusi perlawanan persahabatan dan juga kaedah tersendiri ketika sesi latihan yang boleh dipraktikkan jurulatih dalam memperkukuhkan elemen ini.
5) Keyakinan menjelang musim baru liga
Apabila kesemua aspek diatas berjaya diterapkan dalam sepanjang pra-musim, ianya secara tidak langsung dapat memberikan keyakinan buat para pemain dan pasukan bagi menghadapi saingan liga yang akan bermula.
Kredit featured image: Stanley Chou/Getty Images
Nota editor: Artikel asal ditulis pada 26 Disember 2017, telah disunting pada hari ini untuk tujuan kemaskini bagi paparan semula.