Perjalanan & Nasib 8 Pemain Yang Liverpool Beli Selepas Jual Luis Suarez

Ketika musim panas pada tahun 2014, Liverpool telah menjual pemain utama mereka, Luis Suarez ke Barcelona, dengan yuran perpindahan bernilai £75 juta.

Pemain kebangsaan Uruguay itu telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan sepanjang musim 2013/14.

Beliau ketika itu telah berjaya menjaringkan 31 gol dan mencatatkan 17 assists hanya dari 33 penampilan sahaja dalam saingan Premier League.

https://twitter.com/PLClassics/status/1416404410188632066?s=19

Pada ketika itu, Suarez dianggap gabungan Messi dan Ronaldo di waktu kemuncak mereka, dengan memikul Liverpool untuk mencabar kejuaraan liga.

Selepas pihak kelab bersetuju untuk melepaskannya, ramai yang percaya bahawa tugas berat menanti Brendan Rodgers dan Liverpool sendiri untuk mencari pengganti kepada bintang Uruguay itu.

Suarez kekal dianggap antara penyerang terhebat pernah Liverpool miliki

Liverpool sepatutnya membelanjakan duit hasil penjualan Suarez untuk menandatangani pemain-pemain berbakat sebagai persiapan menghadapi musim 2014/15.

Sayangnya, The Reds pada ketika itu membuat keputusan yang tidak begitu bijak dalam membelanjakan dana hasil penjualan Suarez itu.

Pasukan dari Merseyside itu telah menandatangani lapan pemain menerusi perjanjian tetap pada jendela perpindahan musim panas tahun 2014.

Dari lapan pemain tersebut, hanya seorang sahaja yang masih kekal menyarung jersi Liverpool sehingga hari ini.

Mari kita lihat apa sebenarnya yang berlaku pada pemain-pemain yang telah ditandatangani oleh Liverpool dengan nilai £124.77 juta secara keseluruhannya itu.

Adam Lallana

Pemain midfield yang lincah dan berbakat ini telah ditandatangani dari Southampton dengan nilai £27.90 juta.

Beliau sempat menjadi pemain terpenting dalam sistem kendalian Jurgen Klopp, namun dek kerana sering dibelenggu masalah kecederaan, Lallana sering diketepikan.

Kerana merasakan khidmatnya sudah tidak diperlukan lagi, Liverpool telah membenarkan Lallana untuk menyertai Brighton secara percuma sahaja pada tahun lalu.

Dejan Lovren

Sama seperti Lallana, Lovren turut ditandatangani oleh Liverpool dari Southampton pada tahun 2014, dan pemain pertahanan Croatia itu telah banyak mencipta detik menakjubkan sepanjang beraksi di Anfield.

Walau bagaimanapun, beliau juga sering dikecam oleh para peminat kerana terlalu sering melakukan kesilapan yang menyebabkan gawang gol Liverpool dibolosi.

Beliau turut dilepaskan oleh pihak kelab untuk beraksi bersama gergasi dari Rusia, Zenit Saint Petersburg, selepas tidak lagi mendapat tempat di Anfield.

Lazar Markovic

Pemain sayap Serbia ini telah ditandatangani dengan yuran perpindahan bernilai £22.50 juta dan tiba ke Anfield dengan reputasi yang cukup tinggi.

Mungkin kerana aksi cemerlang beliau bersama Benfica, peminat sedikit kecewa melihat aksi hambar Markovic sepanjang kariernya bersama Liverpool.

Beliau hanya sempat membuat 34 penampilan sahaja untuk skuad utama Liverpool, dan turut dipinjamkan untuk beraksi bersama pasukan seperti Hull City dan Sporting Lisbon.

Beliau menyertai Fulham menerusi perjanjian perpindahan secara percuma pada tahun 2019, sebelum kembali ke Partizan Belgrade tujuh bulan selepas itu.

Mario Balotelli

Oleh kerana kelab sudah melepaskan Suarez, maka mereka harus mencari pemain penyerang berkualiti tinggi yang boleh menghasilkan gol yang banyak.

Penandatanganan Balotelli disambut dengan sangat baik oleh para penyokong yang merasakan bintang Itali itu akan menjadi mesin peledak gol yang sempurna untuk kelab.

Sayangnya, beliau hanya mampu menjaringkan empat gol sahaja dari 28 penampilannya bersama Liverpool pada musim 2014/15.

Selepas itu, beliau telah dipinjamkan ke AC Milan dan karier Balotelli mula tidak menentu dengan beliau kemudiannya turut beraksi bersama Nice, Marseille, Brescia dan Monza, dan kelab terbarunya ketika ini adalah Adana Demirspor.

Alberto Moreno

Liverpool berjaya mendapatkan pemain full-back yang memiliki kemampuan menyerang yang sungguh menakjubkan ini dari Sevilla dengan yuran perpindahan bernilai £16.20 juta.

Sayangnya beliau juga menjadi antara penandatanganan gagal yang pernah ditandatangani oleh Liverpool selepas penjualan Suarez.

Moreno sepertinya gagal untuk beradaptasi dengan baik, dan selepas ketibaan Andy Robertson, beliau dilihat lebih sering memanaskan bangku simpanan sahaja.

Pemain berusia 29 tahun itu akhirnya memutuskan untuk kembali ke Sepanyol pada tahun 2019, dan beraksi bersama Villarreal.

Divock Origi

Jurgen Klopp sendiri menganggap Origi sebagai legenda Liverpool dan para peminat turut tidak akan lupa sumbangan beliau ketika membantu The Reds menjuarai saingan Champions League pada musim 2018/19.

Dua gol jaringan beliau ketika aksi bertemu Barcelona dan satu gol ketika aksi perlawanan akhir bertemu Tottenham Hotspur merupakan pengaruh terbesar sebalik kejayaan Liverpool menjulang Champions League pada ketika itu.

Namun begitu, secara keseluruhannya pemain kebangsaan Belgium itu tidak pernah lagi menjadi pengganti Suarez yang sempurna.

Beliau hanya mampu menjaringkan 35 gol sahaja dari 157 penampilan bersama Liverpool, dan menyebabkan ramai peminat meminta kelab melepaskannya pada musim panas ini.

Emre Can

Can merupakan antara penandatanganan terbaik dari kesemua lapan pemain ini. Pemain kebangsaan Jerman itu telah menjadi watak terpenting untuk Liverpool sepanjang empat tahun kariernya di Anfield.

Ramai peminat yang kecewa ketika melihat beliau menandatangani perjanjian bersama Juventus pada tahun 2018, selepas kontraknya bersama The Reds tamat.

Pemain berusia 27 tahun itu ketika ini sedang beraksi bersama Borussia Dortmund, yang mana beliau masih lagi mempamerkan aksi persembahan terbaiknya bersama gergasi Bundesliga itu.

Rickie Lambert

Rickie Lambert merupakan seorang lagi pemain yang ditandatangani oleh Liverpool dari Southampton pada tahun 2014 yang lalu.

Sama seperti Balotelli, Lambert jelas gagal untuk menunjukkan yang beliau layak dianggap sebagai pengganti kepada penjaring terbanyak kelab, Luis Suarez.

Lambert hanya mampu menjaringkan tiga gol sahaja dari 36 penampilan bersama Liverpool, sebelum beliau dijual ke West Brom pada tahun 2015.

Pemain yang kini berusia 39 tahun itu telah mengumumkan persaraannya pada tahun 2017, selepas mengharungi aksi selama satu musim bersama Cardiff City.

Sumber: GMS

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN