Kehadiran pakar pelaburan terkenal, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham jelas telah mengubah landskap bola sepak Kelantan susulan kesungguhan dan minat mendalam ditunjukannya dalam mengemudi Kelantan FC.
Kesungguhannya itu bermula dengan proses transisi dalam pembelian saham Team Red Warriors (TRW) Sdn. Bhd yang merupakan anak syarikat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), menyelesaikan hutang-hutang lapuk serta berusaha keras dalam melengkapkan proses penswastaan Kelantan FC.
Menurut satu posting di laman Facebook milik anak kelahiran Johor Bahru itu, ZamSaham telah berkongsikan kronologi perjalanan daripada minat yang pada mulanya menjadi kritikan orang ramai hingga merintis kepada permulaan sebuah kisah indah bola sepak Kelantan.
Semuanya bermula pada 2 Ogos lalu apabila ZamSaham telah menyatakan minatnya untuk mengambil alih kepimpinan Kelantan FA yang disuarakan di laman Facebooknya. Pada ketika itu ramai juga yang menganggap ia hanya sebagai meraih publisiti murahan.
Bagaimanapun tanggapan orang ramai itu nyata meleset apabila ZamSaham sah bergelar pemilik Kelantan FC berkuat-kuasa 3 September yang lalu.
Jika dilihat kepada perkongsian tersebut, ZamSaham menunjukkan minat yang begitu mendalam bagi menjayakan apa yang telah dirancangkan olehnya. Sudah pasti apa yang dilaluinya itu tidaklah semudah ‘ABC’ yang mana memerlukan perancangan yang jitu.
Dapat dilihat bagaimana kesanggupan beliau berjumpa dengan mantan presiden, Hajjah Bibi Ramjani bagi mendapatkan khidmat nasihat serta pengalamannya dalam mengendalikan KAFA.
Selain itu, usaha minit-minit akhir yang dilakukannya dalam menghubungi pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam bertanyakan tentang perkara-perkara berbangkit yang masih belum diselesaikan turut menunjukkan keprihatinannya terhadap penswastaan kelab ini.
Dengan pelbagai liku-liku yang dihadapi sepanjang dua bulan ini, ZamSaham masih cekal dalam usaha untuk merealisasikan impiannya untuk mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Kelantan dengan cara baharu acuan beliau sendiri.