Tinggal beberapa jam sahaja lagi sebahagian rakyat Malaysia akan mengundi pada pilihan raya umum. Tetapi tahukah anda peristiwa yang berlaku dalam sukan bola sepak di Malaysia serta dunia pada tahun pilihan raya?
Kebiasaannya, pilihan raya umum diadakan pada 5 tahun sekali. Namun, ada masanya pilihan raya negeri diadakan berasingan terutamanya Sabah dan Sarawak. Cuma 4 kali pilihan raya negeri Sabah berjalan serentak dengan pilihan raya umum.
1959
Pilihan raya umum 1959 merupakan pilihan raya pertama bagi Persekutuan Tanah Melayu setelah mencapai kemerdekaan pada 2 tahun 1957. Menariknya, pada tahun tersebut jugalah Sukan Asia Tenggara mula diadakan.
Pada ketika itu, nama asalnya ialah Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) Games.
Vietnam Selatan menjadi pemenang pingat emas acara bola sepak bagi temasya itu di Bangkok, Thailand. Bagi bola sepak internasional, Real Madrid menggondol kejuaraan keempat Liga Juara-Juara Eropah.
Wolverhampton Wanderers merupakan juara bagi Liga Inggeris pada tahun 1959.
Selangor menewaskan Perak 4 gol tanpa balas dalam saingan Piala Malaya.
1964
Pilihan raya umum kedua pada 1964 merupakan pilihan raya pertama setelah pembentukan Malaysia. Malaysia pada waktu itu dibentuk melalui penggabungan antara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak.
Brunei menarik diri disebabkan perkara tertentu.
Singapura menewaskan Perak dalam final Piala Malaya. Sang Singa menewaskan Seladang melalui 3 gol berbalas 2 selepas masa tambahan. Perlawanan akhir diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Liverpool menjuarai Liga Inggeris pada tahun tersebut. Sepanyol menjulang kejuaraan pertama dalam EURO. Inter Milan menjadi jaguh Eropah pada apabila mereka menjuarai Liga Juara-Juara Eropah.
1969
Pilihan raya 1969 ini merupakan ketiga yang diadakan. Malah pilihan raya ini diadakan tanpa Singapura setelah dikeluarkan dari Malaysia 4 tahun sebelumnya.
Piala Malaysia menyaksikan Selangor menewaskan Pulau Pinang dalam perlawanan akhir. Burma meraih emas acara bola sepak dalam Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) Games.
Leeds United menjadi juara Liga Inggeris buat pertama kali dalam sejarah mereka. Pada tahun itu, gergasi Itali, AC Milan menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah.
1974
Demokrasi berparlimen negara ini dipulihkan pada 1971. Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan dan digantikan dengan Tun Abdul Razak. Tun Abdul Razak memilih 1974 sebagai tahun pilihan raya selepas pemulihan perjalanan politik negara.
Jerman Barat menewaskan Belanda dalam final Piala Dunia untuk memenanginya di tanah air sendiri. Gerd Muller penjaring gol kemenangan dalam perlawanan itu sekaligus meranapkan harapan Belanda.
Leeds United pula memenangi Liga Inggeris yang kali terakhir dimenangi pada 5 tahun sebelum itu. Kelab terkemuka Jerman, Bayern Munich menjadi pemenang Liga Juara-Juara Eropah dalam sejarah mereka.
Pulau Pinang menewaskan Perak dalam final Piala Malaysia edisi 1974. Iran memenangi pingat emas bola sepak dalam Sukan Asia.
1978
Tun Hussein Onn hanya menghadapi sekali sahaja pilihan raya umum selaku Perdana Menteri. Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri setelah pemergian mengejut Tun Abdul Razak.
Piala Malaysia 1978 menampilkan pertemuan antara Selangor dan Singapura. Diakui bahawa pertemuan dua pasukan ini merupakan pertemuan klasik. Cuma pada tahun 1978, ia menjadi milik Selangor.
Piala Dunia dijulang oleh Argentina di negara sendiri. Belanda tewas dua kali berturut-turut dalam final kejohanan ini. Itu pun Argentina terpaksa menghadapi perlawanan sengit sehingga diheret ke masa tambahan. Argentina menewaskan Belanda dengan skor 3-1.
Nottingham Forest memasuki senarai kelab terkemuka Inggeris. Ini apabila mereka menjulang kejuaraan liga Inggeris. Liga Juara-Juara Eropah pula menjadi milik Liverpool.
1982
Pilihan raya pada tahun 1982 merupakan pilihan raya pertama bagi Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri. Beliau mengambil alih tugas tersebut daripada Tun Hussein Onn setahun sebelum itu.
Aston Villa menjadi kelab Inggeris yang menjadi johan Liga Juara-Juara Eropah. Liverpool pula menjadi juara Liga Inggeris.
Piala Dunia 1982 diadakan di Sepanyol di mana Itali menewaskan Jerman Barat. Perlawanan diadakan di Santiago Bernabeu, Madrid. Itali menjaringkan 3 gol berbalas 1 untuk menumbangkan Jerman Barat.
Terengganu ditewaskan Selangor dalam final Piala Malaysia 1982. Iraq menjadi pemenang pingat emas Sukan Asia.
1986
Pilihan raya umum kedua sebagai medan ujian Tun Dr. Mahathir Mohamad. Selangor mengalahkan Johor (kini JDTII) dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 1986.
Johor hanya menemui satu sahaja gol berbanding melepaskan 6 gol pada perlawanan tersebut.
Perlawanan itu diingati sebagai salah satu perlawanan akhir yang menyaksikan jaringan gol terbanyak dalam sejarah.
Korea Selatan memenangi pingat emas Sukan Asia kali ketiga dalam sejarah penyertaan.
Liga Juara-Juara Eropah tahun ini jugalah menjadi menjadi memori apabila Steaua Bucharest menjadi kelab Eropah Timur memenanginya.
Liverpool menambahkan koleksi kemenangan Liga Inggeris dengan menjadi johan pada tahun tersebut.
Argentina menjadi johan Piala Dunia pada 1986. Mereka menewaskan Jerman Barat di Estadio Azteca, Mexico City.
1990
Pilihan raya umum kali ini yang pertama dalam dekad terakhir abad ke-20. Dan ia merupakan ujian ketiga buat Dr. M dalam arena pilihan raya.
Iran menjulang emas bola sepak Piala Asia. Manakala Jerman Barat memenangi Piala Dunia kali ketiga sebelum penyatuan Jerman.
Liverpool memenangi liga Inggeris sebelum penjenamaan semula kepada Liga Perdana Inggeris. Mahkota kejuaraan Eropah pula menjadi milik AC Milan.
Pada tahun 1990 menyaksikan kelahiran satu lagi kejohanan domestik Malaysia. Perak menewaskan Selangor untuk menjadi juara sulung Piala FA.
Selangor dapat membawa pulang kejuaraan berganda Piala Malaysia pada musim tersebut selain Liga M.
1995
Tuan rumah Sukan SEA, Thailand menyapu emas dalam acara bola sepak. Pada ketika itu, Sukan SEA dianjurkan di Chiang Mai.
Pahang dinobatkan sebagai juara Liga M. Namun hajat Pahang untuk meraih trofi Piala FA tidak kesampaian dek tewas kepada Sabah pada musim itu.
Selangor juga menewaskan Pahang dalam final Piala FA.
Blackburn Rovers menggondol gelaran Liga Perdana Inggeris di bawah kendalian Kenny Dalglish. Kelab terkemuka Belanda, Ajax Amsterdam memenangi Liga Juara-Juara Eropah.
1999
Ia merupakan ujian terakhir Dr. M sebagai Perdana Menteri.
Manchester United dikenang sebagai menjulang tiga trofi (treble) dalam semusim. Mereka meraih Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah.
Thailand masih lagi mengekalkan emas bagi Sukan SEA. Pahang memenangi Liga M manakala Kuala Lumpur menjadi johan Piala FA. Brunei mencipta sejarah dengan memenangi Piala Malaysia.
2004
Pilihan raya umum kali ini menempatkan dua sejarah. Ia merupakan pilihan raya pertama diadakan pada abad ke-21 di samping ujian pertama bagi Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Greece mengejutkan dunia bola sepak apabila memenangi EURO 2004 di Portugal mengejutkan pasukan pilihan yakni tuan rumah sendiri.
Jepun pula memenangi Piala Asia untuk kali kedua dalam sejarah.
Jose Mourinho membimbing Porto untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah. Arsenal memenangi Liga Perdana Inggeris pada musim tersebut.
Perak menumbangkan Terengganu dalam perlawanan akhir Piala FA dengan 3 gol tanpa balas. Perlis menewaskan jiran sebelah, Kedah untuk memenangi Piala Malaysia. Pahang pula menjuarai Liga Super.
2008
Jika ada yang memanggil PRU pada 1999 itu kejutan reformasi, 2008 merupakan kejutan tsunami. Rasanya semua sudah maklum dengan kejutan tersebut.
Kedah mencatatkan sejarah dengan menyapu bersih kesemua trofi ditawarkan iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Zaman kegemilangan Sepanyol juga menyaksikan mereka memenangi EURO kali kedua. Manchester United memenangi Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah pada tahun tersebut.
2013
Tsunami masih belum reda dan kali ini Datuk Seri Najib Tun Razak pula diuji mengekalkan mandat rakyat.
Kehebatan Thailand dalam bola sepak Sukan SEA diakui lagi dengan mendapat emas acara bola sepak. LionsXII pula memenangi Liga Super. Pahang menewaskan Kelantan dalam final
Piala Malaysia. Bagi Piala FA, Kelantan mengalahkan Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan akhir.
Bayern Munich memenangi trofi kelab berprestij Eropah buat kali kelima dalam sejarah mereka. Manchester United memenangi Liga Perdana Inggeris buat kali terakhir di bawah bimbingan Sir Alex Ferguson.
Penutup
Apakah akan berlaku pada dunia bola sepak pada 2018? Kita ada pelbagai kejohanan menjadi tumpuan seperti Piala Dunia. Selain itu, pingat emas Sukan Asia juga akan direbut.
Manchester City sudah ditabalkan juara Liga Perdana Inggeris. Liverpool pula bakal berentap dengan Real Madrid dalam final Liga Juara-Juara Eropah.
Semoga artikel ini menjadi nostalgia buat semua yang ingin menghargai sejarah dunia! Selamat mengundi kepada seluruh rakyat Malaysia.