Tahun 2016 sudah tinggal beberapa sahaja lagi, dan selepas itu kita akan beralih pula ke tahun 2017.
Jika dilihat semula, Liga Malaysia menyajikan pelbagai peristiwa dari yang menarik, kontroversi serta memalukan.
Oleh itu, kami memilih 10 peristiwa yang awesome dan memalukan yang berlaku sepanjang Liga Malaysia yang menarik pada tahun 2016. Ayuh!
Gol ajaib Faiz Subri
Pulau Pinang bertemu pasukan Pahang dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya pada 16 Februari.
Faiz mencipta kejutan apabila menjaringkan 1 gol yang tiada siapa sangka gol itu akan terjadi.
Dalam situasi sepakan percuma tidak terus, pasti ramai menjangkakan Faiz akan melambungkan bola tersebut ke arah rakan-rakan yang berada di dalam kotak penalti.
Namun begitu, beliau melencongkan bola ke kiri dan kemudiannya ke kanan yang seterusnya masuk ke dalam gol. Dan ia membuatkan Nasril Nourdin diam tak bergerak!
Gol tersebut terpilih ke senarai pencalonan akhir Anugerah Puskas FIFA, dan anda boleh undi gol Faiz tersebut di sini.
Pamoga taja Kelantan
Kejutan dalam Liga Malaysia tercipta apabila pasukan Kelantan berjaya melamar syarikat Vida Beauty untuk menjadi penaja mereka.
Tajaan bernilai RM16 juta untuk 2 musim itu kemudiannya menjadi satu mimpi ngeri buat peminat pasukan Kelantan.
Hal ini kerana, pemilik Vida Beauty iaitu Dato’ Seri Vida mahu menjadikan pasukan Kelantan sebagai pasukan merah jambu.
Perkara ini terbukti apabila jersi utama pasukan Kelantan yang secara tradisinya berwarna merah menjadi merah jambu. Stadium Sultan Muhammad Ke-IV pula dicat dengan warna merah jambu dan putih.
Namun begitu selepas beberapa insiden kontroversi, Vida Beauty berkeputusan untuk menarik diri daripada menaja Kelantan musim hadapan.
Atuk Weigang kembali!
Perak mengalami musim sukar pada tahun ini apabila menduduki tangga ke-10 liga dan tersingkir dari saingan separuh akhir Piala FA Malaysia di pertengahan tahun.
Lalu muncul kembali seorang individu yang cukup dikenali oleh peminat pasukan Perak – Karl Heinz Weigang.
Weigang menggantikan Syamsul Saad dan ternyata Weigang memberikan impak yang besar kepada Perak.
Hasilnya, Perak berjaya menduduki tangga ke-6 liga dengan mengumpul 28 mata.
Penyokong Perak ternyata gembira kerana Weigang membuat keputusan untuk terus bersama mereka musim hadapan.
“Kalau awak hebat sangat, awak pergi main!”
Perlis pada mulanya merupakan pasukan yang diberikan harapan untuk mencabar kejuaraan liga untuk mara ke Liga Super tahun hadapan.
Namun begitu, ia tidak menjadi seperti yang dirancang. Dan prestasi tidak menentu pasukan tidak boleh diterima penyokong.
Ketika tewas dalam perlawanan Liga Perdana antara Sabah dan Perlis di Stadium Likas, penyokong-penyokong Perlis yang terbang ke Sabah memanggil para pemain Perlis untuk menjelaskan masalah mereka selepas perlawanan.
Ketika Azmizi Azmi dan Afif Amiruddin sedang bercakap dengan penyokong, muncul Arman Fareez dari belakang sambil berkata:
“Awak ambil but saya ni, pergi main!”
Kata-kata Arman itu nyata mengguriskan hati penyokong Perlis. Namun tidak lama selepas itu, Arman memohon maaf atas ketelanjurannya itu.
FELDA United 2-3 JDT
Kami boleh katakan perlawanan dua pasukan teratas liga ini merupakan perlawanan terbaik Liga Super musim ini dari segi drama.
Perlawanan yang penuh dengan pelbagai insiden antaranya 2 gol JDT tidak dikira pengadil serta kad merah yang diterima pemain FELDA United menambah rencah kepada perlawanan yang cukup penting untuk kedua-dua pasukan.
Sejujurnya di pihak kami, kami mahukan kemenangan untuk FELDA United. Hal ini kerana kami mahukan perebutan takhta kejuaraan berterusan sehingga ke hari terakhir. Namun, ianya tidak berlaku.
Masalah dalaman Selangor
Di awal tahun, Selangor terpalit dengan kontroversi melibatkan pergaduhan diantara Mauro Olivi dan Hafiz Kamal.
Pergaduhan antara 2 pemain tersebut menyaksikan Olivi didenda oleh pihak pengurusan Selangor.
Namun masalah itu terjadi lagi. Dalam aksi menentang Sarawak di Kuching, Ugo Ukah dan Bunyamin Umar bergaduh sesama sendiri dan lebih parah, kedua-kedua pemain menghentak kepala masing-masing sesama sendiri!
Hal ini menyebabkan kepala Bunyamin berdarah dan terpaksa menerima jahitan.
Namun selepas itu, kedua-dua pemain ini sudah berbaik dan meminta maaf.
Kebangkiktan menakjubkan Melaka United
Bola sepak Melaka sudah lama tidak menemui sinar kejayaan. Namun pada 2015, mereka telah berjaya layak ke Liga Perdana untuk saingan musim 2016.
Mereka mensasarkan untuk layak ke Liga Super dalam masa 2 musim. Namun perkara itu tidak berlaku, sebaliknya berlaku perkara yang lebih baik!
Melaka United berjaya naik ke Liga Super dalam masa setahun sahaja selepas memenangi gelaran Liga Perdana pada tahun ini dihadapan PKNS FC ditangga kedua.
2 kejuaraan liga dalam masa 2 tahun? Hebat sekali!
Penswastaan yang gagal
Pahang menjenamakan semula diri mereka dengan nama Pahang FC sebagai salah satu langkah mereka ke penswataan kelab.
Segalanya nampak baik-baik saja pada permulaan. Namun kemudiannya ia serba tidak menjadi.
Isu logo PFC, penghijrahan pemain utama beramai-ramai dan prestasi buruk liga memaksa CEO mereka Fahrizal Hassan mengundur diri.
Dan kini, Pahang FC tidak lagi dikenali sebagai Pahang FC. Sebaliknya kembali ke Pahang FA.
Hatrik Liga Super JDT
Tahun 2016 merupakan satu lagi tahun cemerlang buat pasukan JDT.
Mereka mungkin tidak dapat mempertahankan gelaran Piala AFC mereka, namun mereka mencipta sejarah dengan memperoleh gelaran ke-3 Liga Super pada tahun ini.
Lebih manis, mereka mencipta sejarah merangkul gelaran liga secara hatrik selepas menjuarainya untuk 2 musim yang lalu.
Kad kuning
Liga Malaysia dikejutkan apabila FAM menarik balik 3 mata yang diperoleh Kedah ketika menentang Pahang pada bulan Ogos kerana menurunkan pemain yang digantung ketika itu – Rizal Ghazali.
Hal ini menyebabkan Pahang diberikan 3 mata dan seterusnya mereka terselamat dari tersingkir ke Liga Perdana.
Perkara ini banyak menimbulkan reaksi negatif dalam kalangan peminat, dengan rata-rata mereka mengatakan cara tersebut merupakan cara FAM untuk ‘selamatkan’ Pahang dari tersingkir.
Baca juga: Stadium Tun Abdul Razak Jengka: Matchday Experience FELDA United VS JDT Yang Gila