VIDEO: Insiden Pergaduhan Johor-Terengganu Acara Bola Sepak SUKMA Yang Memalukan

SUKMA, adalah singkatan kepada Sukan Malaysia adalah Temasya Sukan Remaja Kebangsaan di bawah anjuran Majlis Sukan Negara Malaysia, Majlis Olimpik Malaysia, Persatuan Sukan Kebangsaan dan Majlis Sukan Negeri sebagai tuan rumah.

Ini bermakna tuan rumah SUKMA akan digilirkan mengikut negeri dan dianjurkan oleh Majlis Sukan Negeri setiap negeri berdasarkan giliran yang ditetapkan.

Enam objektif Sukma dianjurkan pula ialah untuk melahirkan atlet remaja, integrasi nasional, meningkatkan mutu sukan, menggalakkan penyertaan, menyediakan kemudahan sukan yang baru dan menaik taraf kemudahan sukan sedia ada, serta meramaikan dan meningkatkan taraf pegawai teknikal.

Warna dan konsep logo SUKMA itu sendiri turut mempunyai pengertian yang perlu difahami oleh setiap pegawai dan atlet yang bertanding.

Tatkala warna merah ialah simbol kepada keberanian dan keazaman yang membara, warna biru pula mengingatkan setiap atlet yang bertanding akan makna semangat kesukanan yang tinggi.

Ia juga mengingatkan setiap daripada kita akan Rukun Negara, di mana rukun kelima jelas menyatakan mengenai kesopanan dan kesusilaan.

Semua perkara ini seharusnya sudah difahami oleh setiap atlet yang menyertai SUKMA 2018 yang akan bermula secara rasmi dalam tempoh beberapa hari sahaja lagi.

Seperti mana-mana temasya sukan, bola sepak adalah antara acara terawal yang akan membuka tirai kerana membabitkan jadual perlawanan yang panjang.

Malangnya apa yang disajikan dalam perlawanan peringkat Kumpulan B di antara pasukan Johor dan Terengganu petang tadi tidak menggambarkan moral yang cuba disemat melalui objektif dan pengertian SUKMA itu sendiri.

Sehingga artikel ini ditulis, kami masih tidak pasti apakah punca kejadian.

Namun selepas kekalahan 0-1 kepada Wilayah Persekutuan, Johor yang dipercayai diwakili oleh pasukan JDT III boleh melupakan saingan ke peringkat seterusnya.

Manakala Terengganu harus berhadapan dengan Wilayah Persekutuan untuk menentukan siapa yang lebih layak bergelar juara Kumpulan B.

Dalam perlawanan di antara Johor dan Terengganu pada petang tadi, skuad Penyu selesa mendahului 2-0 melalui jaringan Mohammad Ridzuan Mohd Razali, dan Muhammad Izzan Syahmi di setiap babak perlawanan.

Johor merapatkan kedudukan pada minit ke-65 perlawanan melalui Mohamad Hariz Kamarudin.

Sudah tentu kita berharap pihak berkenaan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada pihak yang bersalah.

Namun pada masa yang sama, fahamilah erti di sebalik penganjuran kejohanan agar perkara sama tidak berulang di masa hadapan.

Pergaduhan pemain SUKMA Johor-Terengganu Yang Memalukan from Ahmad Muzammil on Vimeo.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN