Selepas kehilangan pemain tengah bertahan, Tomas Trucha terpaksa mengambil risiko memfokuskan seluruh kekuatan pasukan di sebelah kiri lawan di penghujung aksi.
Khairu Azrin Khazali telah dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua kerana menghadang pergerakan Giovane Gomes pada minit ke-65. Ini merupakan aksi keduanya selepas tidak turun beraksi dalam lima perlawanan akibat kecederaan.
Kehilangan pemain yang merupakan nadi penting buat tuan rumah untuk baki 15 minit terakhir perlawanan menyebabkan pengendali, Tomas Trucha terpaksa mencaturkan sesuatu yang baharu agar mereka beroleh kemenangan di Stadium Bandaraya.
📹 HIGHLIGHTS: @fa_penang 2-1 @MelakaUnitedFC
Sepakan penalti Rafael Vitor memberi kelebihan kepada tuan rumah namun Melaka menyamakan kedudukan menerusi Giovane Gomes.
Sheriddin Boboev menjaringkan gol kemenangan pada minit terakhir.#LigaSuper2021 pic.twitter.com/HNF2svBpnF
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 7, 2021
Baginya, kemenangan di laman sendiri adalah penting dan ketika itu kedua-dua pasukan masih terikat dengan kedudukan seri tanpa jaringan. Belum sempat memikirkan percaturan untuk memburu gol, beliau kehilangan Khairu Azrin.
“Jujurnya, saya mahu keluarkan Acong [Khairu Azrin] dan kami sedang berbincang mengenainya. Secara tiba-tiba ia berlaku [kad merah]. Ini selalu berlaku jika kita tidak melaksanakannya [tukar pemain]. Dan Acong dilayangkan kad merah,” ujarnya.
“Sasaran utama kami untuk aksi ini adalah untuk tidak kalah di Stadium Bandaraya kerana kami anggap kami tidak sepatutnya tewas di sini [laman sendiri]. Jadi kami perlu bermain lebih tersusun, kompak dan sedikit agresif,” tambahnya lagi.
Selepas kehilangan pemain tengah bertahan itu, Penang FC membuat pertukaran mengukuhkan benteng. Dua pemain pertahanan dimasukkan iaitu Latiff Suhaimi dan Khairul Asyraf menggantikan pemain tengah, Endrick dos Santos dan Danial Ashraf.
Khairul Asyraf merupakan bek kanan diletak bersama Latiff Suhaimi di posisi tengah bertahan, tetapi akan membantu Quentin Cheng di sebelah kanan kerana ancaman banyak datang dari sebelah kiri Melaka United melalui pemain lincah, Sony Norde.
Latiff Suhaimi lebih kepada penggantian terus buat Khairu Azrin. Beliau mengambil alih posisi tersebut bagi memberi pelindungan tambahan buat benteng tuan rumah.
“Ia adalah reaksi sepatutnya dengan memasukkan pemain bertahan. Kami membawa masuk Acap [Khairul Asyraf] dan Latiff [Suhaimi],” jelasnya mengenai mengapa beliau ambil keputusan mengeluarkan kapten, Endrick dan pemain licik, Danial Ashraf.
Selepas jaringan penalti Rafael Vitor di minit ke-75, Harimau Kumbang mula membawa masuk pemain lebih cergas untuk menggerakkan jentera sayap tetapi lebih kepada sebelah kanan. Sheriddin Boboev dan Azmeer Aris mula mengambil tempat.
Bek kiri, Azmeer Aris yang masuk menggantikan Amer Azahar dilihat tidak beroperasi lebih ke atas, malah beliau berada bersama-sama bek kiri, Azwan Aripin menjadikan kubu tuan rumah saat itu membariskan enam pemain ketika mereka bertahan.
“Kita tahu Sheriddin [Boboev] mampu meledak gol, jadi kami letaknya di sebelah kanan. Kami ambil risiko di sebelah kanan dan lebih defensif di sebelah kiri. Kami tahu Sony Norde tidak turun bertahan, jadi kami letakkan Sheriddin di sebelah kanan,” jelasnya.
Jaringan voli cantik Sheriddin Boboev adalah bukti kejayaan risiko yang diambil Penang FC meletakkan seluruh kekuatan di sebelah kanan di penghujung aksi.
Itu merupakan jaringan ke-3 Sheriddin Boboev bersama Penang FC dan buat kali kedua, jaringannya memberikan kemenangan selepas aksi berdepan UiTM FC.