Perbandingan Saluran YouTube Kelab Liga Super: Mana Yang Menarik? Mana Yang Jelek?

Youtube Liga Super

Terdapat pelbagai cara kelab-kelab bola sepak yang bermain di liga profesional berinteraksi dengan para penyokong mereka. Selain Instagram, Facebook serta Twitter, saluran YouTube juga merupakan suatu keperluan yang amat penting pada masa kini bagi sesebuah kelab bola sepak untuk mendekatkan, merapatkan pasukan dengan para penyokong garis keras mereka.

Saluran YouTube lebih menarik sebenarnya kerana ia memaparkan video sebagai santapan para penyokong yang dahagakan perkembangan terkini pasukan kesayangan.

Selari dengan ‘penswastaan Liga Super’ (yang sebenarnya tidaklah “seswasta” mana), tahap profesionalisme pasukan yang bertanding juga dituntut untuk dijaga serta diperbaiki sehingga mencapai tahap paling tinggi.

Tidak keterlaluan andai dibicarakan begini; mempunyai saluran YouTube rasmi juga merupakan satu bentuk profesionalisme kelab-kelab yang bertanding di Liga Super.

Berdasarkan carian dan kajian saya di laman Youtube, daripada 12 pasukan yang bertanding di Liga Super pada musim ini; hanya 7 pasukan yang mempunyai saluran YouTube rasmi. Baki 5 pasukan lagi masih belum memiliki saluran YouTube rasmi untuk menyuguhkan content berkenaan pasukan dan juga para pemain kepada para penyokong setia.

Berikut merupakan kelab yang sudah mempunyai saluran YouTube rasmi, dalam kurungan adalah nama saluran YouTube yang boleh anda cari di laman perkongsian video tersebut:

  • Selangor FC (Selangor FC)
  • Terengganu FC (TFC TV)
  • Johor Darul Takzim FC (JDT TV)
  • Penang FC (Official Penang FC)
  • Kedah Darul Aman FC (Kedah Darul Aman FC)
  • Melaka United FC (Melaka United FC TV)
  • Sabah FC (Sabah Football Club Official)

Pasukan yang masih belum memiliki saluran YouTube rasmi:

  • Sri Pahang FC
  • Perak FC
  • KL City FC
  • PJ City FC
  • Uitm FC

Saluran YouTube pasukan mana yang menarik?

Sebenarnya memiliki saluran YouTube rasmi sahaja tidak cukup untuk melambangkan tahap profesionalisme sesebuah kelab bola sepak.

Saluran YouTube rasmi itu perlulah diselenggara dengan baik, memaparkan content yang menarik serta bervariasi untuk tontonan penyokong, setidak-tidaknya dirakam menggunakan proper camera dilengkapi stabilizer (kerana merakam aksi bola sepak perlu mengikut pergerakan bola, gegaran-goyangan sangat mengganggu) dan menitikberatkan kualiti audio yang terbaik.

Seterusnya memasukkan unsur editing yang sesuai dan tidak berlebihan, menamakan content dengan judul catchcy supaya dapat menarik minat penonton serta pemilihan thumbnail video yang menggamit keinginan untuk menonton video tersebut.

Selangor FC

Selangor FC menamakan saluran YouTube mereka dengan nama kelab, tanpa ada tambahan kata TV di belakang. Sehingga artikel ini ditulis, mereka sudahpun mempunyai seramai 42k pengikut; sudah memuatnaik sebanyak 384 video. Ianya tidak menghairankan kerana saluran YouTube ini sudahpun terbentuk sejak 26 Januari 2016 lagi.

Apa yang menarik mengenai saluran Youtube rasmi Selangor FC ini adalah kerana mereka benar-benar membangunkan saluran ini dengan penuh kesungguhan, sangat mencerminkan tahap profesionalisme yang tinggi sebuah kelab bola sepak dalam mendekatkan diri mereka dengan para penyokong sekaligus membentuk branding kelab. Anda akan dapat lihat effort mereka yang sangat besar apabila meneliti kandungan video di saluran ini.

Terdapat variasi content yang sangat pelbagai – In Focus memaparkan cuplikan klip pemain tertentu, SFC Training Ground mempertontonkan aksi latihan skuad The Red Giant, Reaksi Twitter adalah content di mana pemain tertentu menjawab soalan ditanyakan khusus untuk mereka oleh para penyokong.

Match Highlights pula memaparkan highlights perlawanan Selangor FC (diambil daripada versi siaran TV ataupun streaming tetapi ‘dijahit’ dengan line up serta formasi yang di-edit mereka) manakala Vlog SFC pula adalah versi panjang hari perlawanan sama ada home atau away yang dirakam kamera pasukan media Selangor FC.

Bukan itu sahaja, mereka juga punya content sampingan seperti content bersama penaja, content pelancaran jersi dan juga content sambutan hari tertentu seperti Hari Raya yang turut melibatkan jurulatih mereka sendiri.

Semua content Selangor FC sangat bagus daripada segi editing, camera angle dan sepertinya mereka berbelanja besar untuk menggunakan proper gadget bagi tujuan shooting. Tambah menarik lagi terdapat sesetengah content mereka yang menggunakan khidmat host untuk memacu perjalanan content tersebut.

Jika ada penambahbaikan yang boleh dilakukan untuk saluran YouTube Selangor FC adalah mungkin dengan memperbanyakkan Community posting – dengan melakukan polling, posting line up perlawanan, posting perkara lucu berkaitan para pemain atau apa sahaja posting yang dapat menarik penyokong untuk meninggalkan buah fikiran mereka di ruangan comments.

Mungkin pasukan media mereka sudah melakukan perkara itu di laman Facebook, Instagram atau di Twitter tetapi agak sayang jika membiarkan ruangan Community tidak berisi apa-apa posting di saluran YouTube yang sudah semekar saluran YouTube mereka.

Daripada segi video, saya cadangkan mereka mendapatkan drone jika ada budget lebih untuk menambahkan lagi serta mempelbagaikan lagi shot demi kualiti video yang lebih baik.

Daripada segi content pula, saya cadangkan agar memanjangkan lagi durasi SFC Training Ground dengan memaparkan lagi variasi latihan, tidak hanya terhad kepada warming up serta latihan penjaga gol sahaja. Mungkin boleh memaparkan latihan shooting dan yang lain-lain.

TFC TV

Terangganu FC menamakan saluran YouTube rasmi mereka sebagai TFC TV. Sehingga artikel ini ditulis, mereka sudah mempunyai seramai 30.4k pengikut, sudah memuatnaik 358 video.

Saluran YouTube ini dimulakan sejak 15 Mei 2018. Seperti Selangor FC, Terengganu FC juga cukup bersungguh dalam memberikan content berkualiti kepada penyokong mereka, menggunakan gadget terbaik untuk mendapatkan hasil terbaik.

Pujian harus diberikan kepada mereka yang bertungkus-lumus dalam menjayakan saluran YouTube TFC TV termasuklah videographer, cameraman, editor, content writer, creative director dan sebagainya.

TFC TV mempunyai pelbagai variasi content. Antaranya – Short Clip memaparkan cuplikan klip menarik dalam perlawanan tertentu yang dibumbui dengan judul catchy, Classic Match memaparkan perlawanan ikonik Terengganu FC pada masa lepas, Player First Day dan juga Player First Interview mempertontonkan hari pertama dan temuramah pertama pemain yang baru ditandatangani Terengganu FC.

Mereka juga punya klip Promo Match dan Head Coach Post Match Press Conference. Tidak ketinggalan sudah tentu content Inside Training yang memaparkan sesi latihan skuad Penyu.

Pujian harus diberikan kerana ianya memperlihatkan pelbagai variasi latihan tidak terhad kepada warming up serta latihan penjaga gol sahaja. Penonton disajikan dengan beberapa variasi drill rondo dan sebagainya.

Paling menarik, TFC TV memaparkan tiga versi highlights iaitu Goal Highlights (diambil dari saluran TV atau streaming), Extended Highlight (video daripada TV atau streaming ‘dijahit’ bersama footage daripada kamera mereka) dan Inside SSMZA (versi panjang perkara yang berlaku pada hari perlawanan di SSMZA termasuk ketibaan bas, gelagat pemain di tunnel stadium serta babak di padang yang diselangseli antara footage TV atau streaming dengan footage daripada kamera TFC sendiri).

TFC TV juga memancing penonton dengan memberi giveaway kepada mereka yang bertuah sempena mencapai 30k subscribers baru-baru ini.

Sama seperti Selangor FC, saluran YouTube rasmi Terengganu FC ini sudahpun mencapai tahap yang membanggakan, sangat layak jika disandingkan dengan kelab-kelab besar dari luar negara. Jika ada perkara yang boleh diperbaiki – sama seperti Selangor FC juga, cubalah manfaatkan ruangan Community di saluran YouTube dengan posting apa-apa yang menarik.

Janganlah dibiarkan ruangan itu kosong. Jika boleh saran, jangan edit thumbnail video terlalu berlebihan. Mana mungkin tubuh Makan Konate berapi-api. Ini bukan poster filem.

JDT TV

Selaku kelab paling berjaya dalam Liga Super, mustahil rasanya jika JDT FC tidak memiliki saluran YouTube rasmi. Saluran YouTube JDT FC dinamakan JDT TV dan ia dimulakan pada 6 September 2020. Sehingga kini, ia sudah mempunyai seramai 39.6k pengikut serta sudah memuatnaik sebanyak 100 video.

Sama seperti Selangor FC dan Terengganu FC, JDT TV sangat mencerminkan profesionalisme sebuah kelab bola sepak serta branding yang sangat sinonim dengan kelab dari selatan tanah air ini.

Content yang ditawarkan kepada penyokong serta penonton pelbagai. Mereka menawarkan klip pendek memaparkan aksi pemain di dalam padang, Training Session, Match Highlights (sumber daripada TV atau streaming), Top Goals yang memaparkan jaringan terbaik setiap bulan, Inside JDT yang memperlihatkan sesi latihan terakhir serta perjalanan hari perlawanan yang dirakam menggunakan kamera pasukan media JDT FC.

Terdapat juga content selingan bersama partner, content pemain-pemain JDT FC bermain PES 2021 dan tidak lupa content sambutan hari tertentu seperti Ramadhan dan Syawal.

Paling mencuri tumpuan adalah content Spotlight di mana keadaan di dalam changing room JDT FC dirakam. Anda dapat mendengar team talk daripada Benjamin Mora. Ia persis seperti adegan Jose Mourinho ataupun Pep Guardiola memberikan kata-kata semangat kepada para pemain mereka seperti yang dirakamkan Amazon Prime Video Sport.

Tidak dapat disangkal lagi kualiti daripada segi editing, camera angle, bumper serta lain-lain semuanya berkelas. Andai ada penambahbaikan, masih lagi soal ruangan Community yang kosong tidak diisi sama seperti Selangor FC dan Terengganu FC.

Training Session juga terlalu pendek durasinya dan agak ‘melompat’ editing di beberapa video. Mungkin kerana durasinya terlalu pendek jadi tidak begitu kelihatan flow latihan mereka. Ia mungkin disengajakan.

Official Penang FC

Penang FC baru saja melancarkan saluran YouTube mereka pada 22 Mac 2021 dan setakat ini sudah mengumpul seramai 3.39k pengikut serta sudah memuatnaik sebanyak 36 video.

Content yang ditawarkan kepada penonton pelbagai dan masih boleh diperbanyakkan lagi. Mereka ada content – Inside Training, Match Highlight (sumber TV atau legal streaming), All Goal yang memaparkan jaringan-jaringan Penang FC, Aura Pemain Ke-12 yang memperlihat perlawanan daripada sudut pandang bangku penonton (Ultras) di stadium.

Mereka juga punya content selingan seperti pertandingan FIFA antara pemain Penang FC.

Mungkin kerana saluran YouTube rasmi ini masih baru, terdapat banyak perkara yang boleh diperbaiki. Pasukan media Penang FC boleh belajar daripada Selangor FC, JDT FC mahupun Terengganu FC bagi membangunkan dan memantapkan saluran YouTube ini.

Editing untuk thumbnail (lihat thumbnail video Inside Training mereka) masih kelihatan amatur serta tidak menampakkan tahap prosfesionalisme yang tinggi bagi sebuah kelab bola sepak. Saya agak terganggu dengan content Inside Training mereka yang banyak menggunakan background music.

Rasanya penonton dan juga penyokong lebih ingin mendengar suara pekikan jurulatih, suara pemain minta bola, bunyi desupan bola dirembat daripada suara background music.

Saya kira mereka masih belum mendapatkan proper gadget untuk tujuan shooting kerana ada beberapa video Inside Training mereka yang kamera-nya bergoyang. Ada juga insiden audio ‘bocor’ ketika merakam.

Saya kira jurukamera tidak perlu berpartisipasi atau turut menyahut sama aksi pemain ketika latihan. Itu tidak mencerminkan tahap profesionalisme. Suara anda kedengaran dalam video. Penang FC perlu memperbanyakkan lagi content dan meningkatkan tahap editing video mereka serta perlu mendapatkan gadget terbaik untuk hasil maksima.

Kedah Darul Aman FC

Kedah Darul Aman FC menamakan saluran YouTube rasmi mereka sama seperti nama kelab. Saluran YouTube ini dimula pada 26 November 2020 dan sudah mempunyai 13.6k pengikut.

Mereka menampilkan content berikut – content bersama penaja dan juga content pesan moral (mendapatkan suntikan vaksin), Legend Series yang memaparkan cuplikan klip bekas pemain Kedah dan juga Training Session.

Sama seperti Terengganu FC, KDA FC menampilkan tiga content highlights termasuklah Goal Highlight, Full Highlight (sumber video daripada saluran TV atau legal steraming) dan Inside View yang mempertontonkan versi panjang perjalanan hari perlawanan sama ada home atau away termasuk kata-kata semangat jurulatih di dalam bilik persalinan sebelum perlawanan dimulakan.

Mereka juga menampilkan Post Match Press Conference yang jarang dimuatnaik di saluran YouTube rasmi pasukan lain.

Saya kira pasukan media KDA FC menggunakan gadget yang sesuai untuk tujuan shooting content saluran YouTube mereka ini kerana tiada gegaran-goyangan kamera yang terjadi.

Camera angle untuk content Inside View juga menarik, tepat untuk menampilkan aksi pemain di dalam padang. Editing untuk opening bumper serta lain-lain elemen dalam video juga tepat dan tidak terlalu berlebihan.

Andai ada kekurangan, mungkin cuma kekurangan daripada variasi content. Mungkin perlu banyakkan lagi content bersama pemain dan sebagainya.

Sama seperti JDT, content Training Session KDA FC juga sangat pendek sehingga flow latihan mereka kelihatan ‘melompat’. Ini mungkin juga disengajakan tetapi saya lebih suka jika Training Session ini dipanjangkan lagi sehingga banyak variasi latihan dipertontonkan kepada penyokong.

Simpanlah footage yang mungkin mereka bimbang diintip pihak lawan. Selain itu, isikan juga ruangan Community di laman YouTube ini agar tidak kosong sama seperti Selangor FC, Terengganu FC, JDT FC dan Penang FC. Apakah admin YouTube kelab-kelab ini tidak tahu fungsi ruangan Community di laman Youtube?

 Melaka United FC TV

Melaka United FC TV adalah nama saluran YouTube rasmi Melaka United FC. Mereka sudah punya seramai 2.58k pengikut sejak saluran ini dibuat pada 4 November 2019. Secara jujur, mungkin pasukan media Melaka United FC masih belajar bagaimana menyelenggara serta membangunkan saluran YouTube mereka.

Saranan saya, belajarlah daripada Selangor FC, Terengganu FC atau JDT FC. Andai mahu lebih bagus lagi, lihatlah saluran-saluran Youtube kelab ternama di Liga Perdana Inggeris.

Ini kerana content mereka masih lagi ‘tidak bercorak’ dan durasi setiap content masih lagi pendek. Maksud tidak bercorak adalah tiada spesifikasi atau nama khas untuk content tertentu seperti Inside Training yang memaparkan sesi latihan pasukan.

Mereka menamakan content mengikut selera mereka sahaja. Ini tidak salah sebenarnya tetapi secara tidak langsung cara begini melambangkan ketidaksungguhan anda dalam menyelenggarakan saluran YouTube.

Banyak yang perlu diperbaiki daripada segi variasi content dan juga video editing. Menonton video-video mereka seperti setiap video lain-lain orang yang membuat kerja editing. Opening bumper sering berubah-ubah serta tiada keseragaman. Diharap mereka dapat memperbaiki perkara ini di masa hadapan. Berbelanjalah sedikit untuk hasil yang maksima.

Sabah Football Club Official

Sabah FC menamakan saluran YouTube rasmi mereka ini tanpa menggunakan singkatan – Sabah Football Club Official. Setakat ini mereka sudah mengumpul sebanyak 2.48k pengikut, jumlah yang bersesuaian dengan tarikh saluran ini mula beroperasi iaitu pada tanggal 24 Februari 2021.

Saya memuji terlebih dahulu admin YouTube Sabah FC kerana daripada 7 kelab di Liga Super yang punya saluran YouTube rasmi, cuma Sabah FC yang memanfaatkan ruangan Community di laman YouTube mereka dengan posting untuk berinteraksi dengan penyokong mereka. Syabas admin YouTube Sabah FC!

Daripada segi content, mereka tidak kalah berkualiti berbanding saluran YouTube rasmi kelab lain di Liga Super. Saya paling gemar content Kick Off – content dokumentasi beberapa hari sebelum perlawanan membawa ke hari perlawanan (home atau away) dan ia diakhiri ucapan jurulatih di dalam bilik persalinan sebaik saja perlawanan selesai.

Apa yang menarik adalah mereka memaparkan sesi motivasi pasukan bersama motivator mereka, team talk sebelum perlawanan bermula serta half time team talk. Anda akan dapat mendengar kata-kata jurulatih mereka Kurniawan Dwi Yulianto dan juga pengurus pasukan Encik Ahmad Marzuki Nasir yang tidak pernah terlepas memberikan ucapan pada setiap perlawanan Sabah FC.

Mereka punya content selingan seperti Off Season Vlog, content charity, content sambutan hari tertentu seperti Hari Raya dan Tadau Kaamatan. Bonus kepada Sabah FC kerana mereka punya lagu tema sendiri iaitu lagu berjudul Team Kami yang dinyanyikan K-Clique. Justeru, kebanyakan background music dalam video-video mereka menggunakan lagu ini.

Jika ada saranan dan penambahbaikan mungkin perlu banyakkan lagi content seperti Training Session (Sabah Football Club Official tiada content latihan yang proper), content interaksi atau close up dengan para pemain dan sebagainya.

Daripada segi editing pula, saluran YouTube ini mungkin perlukan opening bumper yang ‘menyengat’ sedikit berbanding yang sekarang. Gadget yang digunakan sudah bersesuaian dan juga tepat cuma di beberapa video Kick Off mereka camera angle agak tidak menarik. Mungkin kerana tidak berjaya rapat ke tepi padang.

Penutup

Jadi, itu sahaja kelab-kelab di Liga Super yang memiliki saluran YouTube rasmi. Diharapkan kelab-kelab lain dapat menyusul mereka selepas ini agar nilai eksklusif kelab dan juga tahap profesionalisme kelab dapat ditingkatkan ke tahap paling tinggi.

Salah satunya adalah dengan mempunyai saluran YouTube yang diselenggarakan dengan baik dan memberikan informasi terkini berkenaan kelab tersebut kepada penyokong mereka. Kepada penyokong kelab yang sudah punya saluran YouTube rasmi ini, ayuh ikuti mereka.

Addim Alias adalah seorang penulis bebas yang tidak punya media sosial baik Facebook, Instagram mahupun Twitter. Beliau cuma ‘berjoget ria’ di laman YouTube. Sejak terperangkap dalam loop PKP yang tidak berpenghujung ini, beliau gian menulis mengenai bola sepak dan gemar menghantar buah fikiran beliau di mana-mana laman sesawang bola sepak. 

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:

Fauzi Harap Bernhardt Beri Lebih Kepercayaan Untuk Bantu UiTM

‘Misi Bersama’ Harimau Malaya & Harimau Muda Untuk 2021-2022

Akademi Bung Mokhtar Radin Bakal Gilap Bakat Muda Dari Sabah

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN