International Football Association Board (IFAB) telah menjelaskan dengan lebih jelas perbezaan tangan dengan bahu dalam peraturan handball. Mereka menjangkakan pindaan baru peraturan ini akan mula dikuatkuasakan bermula musim 2020/2021.
IFAB juga dilaporkan sedang mengkaji cadangan meminda peraturan ofsaid ‘untuk menggalakkan permainan lebih menyerang’.
Ketua Perkembangan Bola Sepak Global FIFA, Arsene Wenger berkata beliau mahu memperhalusi peraturan supaya ia lebih memihak penyerang.
“Penyerang patut diberikan onsaid kalau mana-mana anggota tubuh badan yang boleh menjaringkan gol berada di garisan sama dengan pertahanan, walaupun tangan mereka melebihi garisan.
Menurut Wenger, cadangan beliau itu dipersetujui oleh Presiden FIFA Gianni Infantino dan IFAB.
“Cadangan saya ini diterima secara positif. Itu sebabnya kita kena kaji pindaan peraturan ofsaid ini dengan lebih teliti, berdebat dengan panel dan pemegang taruh berbeza.
“Falsafah bola sepak menyerang harus menjadi panduan kepada peraturan bola sepak. Kita perlu melihat supaya penyerang diberi lebih banyak ruang untuk menjaringkan gol. Tapi kita kena cuba buat ujian dulu.”
Selain itu IFAB juga akan menguji pengenalan tambahan slot penggantian pemain kepada pasukan yang pemainnya mengalami kecederaan kepala (concussion).
Peraturan sedia ada memberi masa tiga minit untuk doktor pasukan membuat penilaian tahap kecederaan kepala pemain.
Pindaan baru mencadangkan dua solusi:
- Pasukan dibenarkan membuat penggantian pemain secara tetap (walaupun tiga slot penggantian pemain sudah habis digunakan) selepas penilaian doktor dibuat dalam masa tiga minit.
- Pasukan dibenarkan membuat penggantian pemain secara sementara semasa doktor diberikan masa 10 minit untuk membuat penilaian tahap kecederaan kepala. Selepas habis 10 minit, pemain yang dimasukkan sementara itu perlu keluar.
IFAB dilaporkan akan menguji dua solusi ini dalam acara bola sepak Sukan Olimpik Tokyo 2020. Tetapi penularan wabak COVID-19 yang memaksa temasya sukan global ini ditunda bermakna ujian perlaksanaan pindaan peraturan ini perlu menunggu lebih lama lagi.
Apa yang berubah dalam pindaan peraturan handball baru?
Dalam pindaan peraturan handball yang baru, beza tangan dengan bahu akan ditentukan oleh ‘garisan T-shirt’.
Pindaan ini mengatakan jika bola terkena bahagian tangan di luar garisan T-shirt (lengan pendek), bola dikira handball.
Jika bola terkena bahagian tangan di dalam garisan T-shirt, bola tak dikira handball sebagaimana yang terjadi jika bola terkena bahu.
Sebelum ini IFAB tidak menyatakan dengan jelas di mana sempadan tangan dan bahu.
IFAB menyatakan handball perlu mengambil kira tiga perkara berikut:
- Pergerakan tangan ke arah bola (bukannya bola ke arah tangan)
- Jarak antara pemain lawan dengan bola
- Posisi tangan tidak bermaksud pemain serta-merta bersalah
VAR diperkenalkan oleh FIFA untuk membantu pengadil memperhalusi keputusan handball dalam perlawanan. Tetapi malangnya ia hanya membawa lebih banyak kontroversi dan kritikan dari pemain, jurulatih dan peminat bola sepak.
Ketua Pengadil UEFA Robert Rossetti memberitahu VAR membantu pengadil mengenalpasti pergerakan tangan yang tidak semulajadi ketika menyentuh bola.
“Cabaran terbesarnya adalah [menentukan] kedudukan tangan. Bila tangan berada di atas bahu, ia adalah handball. Jika pertahanan membuatkan badannya jadi besar melalui tangannya, ia juga handball.
“Jika pertahanan mengasak atau cuba main dan bola terkena tangan, itu bukan handball.
“Tapi bila pertahanan cuba besarkan badannya untuk hadang hantaran lintang atau percubaan ke arah gol dan tangannya terkena bola, itu dikira handball.”
IFAB pada mulanya mewajibkan liga-liga seluruh dunia untuk melaksanakan pindaan peraturan handball ini pada 1 Jun 2020.
Tetapi dengan majoriti liga banyak ditunda kerana wabak COVID-19, IFAB kini memberi pilihan kepada penganjur liga sama ada mahu memakai pindaan baru peraturan handball ini bermula 1 Jun atau kekal menggunakan peraturan lama.