Bola sepak dan industri tidak boleh dipisahkan. Dalam era bola sepak moden, industri dan bola sepak dianggap simbiosis dalam menjadikan sukan ini terus relevan.
Umum mengetahui sumbangan pelabur-pelabur dalam membiayai kos operasi sesebuah pasukan yang bertanding dalam sesebuah liga. Sumbangan pelaburan ini adalah nadi kepada jatuh bangun sesebuah pasukan di Jerman (Bundesliga) berbanding Liga Perdana Inggeris (EPL) yang banyak menumpukan kepada ‘match day ticket’ dan hasil dari ‘broadcasting’ berbanding.
Sebagai contoh, jumlah kutipan hasil dari ‘match day’ di Bundesliga adalah kecil berbanding EPL dan salah satu faktor ialah harga tiket yang jauh lebih murah dari EPL.
Begitu juga hasil dari hak penyiaran yang kecil berbanding EPL kerana hak penyiaran EPL adalah antara paling termahal dan kerana itulah ia semakin mendapat publisiti dan perhatian seluruh dunia.
Pelaburan sebagai sumber utama Bundesliga
Memang sudah diakui, pasukan-pasukan yang berstatus gergasi banyak mendapat perhatian syarikat-syarikat besar terutamanya di Eropah. Mereka merasakan membuat pelaburan dalam bola sepak banyak memberi impak yang positif terhadap reputasi syarikat hasil dari publisiti dalam kalangan masyarakat.
Menurut Kindler (2014), pelaburan dalam bola sepak terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
1. Pelaburan dengan pulangan:
Pelaburan yang dianggap rasmi oleh sesebuah organisasi atau individu melalui perjanjian yang dimeterai bersama dan mengharapkan pulangan di atas pelaburannya.
2. Pelaburan tanpa pulangan:
Dilakukan oleh golongan persendirian tanpa terikat dengan sebarang perjanjian dan selalunya tidak mengharapkan pulangan, sekadar memenuhi kepuasan dalam apa yang dimiliki.
Tajaan sebagai salah satu pelaburan dan pemilikan pasukan
Selain meletakkan pelaburan berbentuk wang ringgit dalam membiayai kos operasi sesebuah pasukan, penajaan oleh syarikat merupakan satu strategi untuk memiliki sesebuah pasukan.
Sebagai contoh, Bayern Munich dimiliki hasil perkongsian beberapa syarikat yang berpengkalan di Jerman seperti Adidas AG, Allianz SE dan Audi AG, di mana membentuk 25% pemilikan dari segi ‘shareholders’.
Namun begitu, peratusan pemilikan ‘shareholders’ oleh syarikat yang menaja adalah berbeza antara Bundesliga dan EPL. Peraturan yang menghadkan pemilikan secara majoriti pemilikan saham sedikit membantutkan hasrat penajaan dari syarikat untuk menaja pasukan di Jerman.
“Rule 50+1” yang digunapakai di Jerman sememangnya unik dan sudah pasti lebih memihak penyokong berbanding kuasa yang ada pada syarikat.
50+1
50 campur 1 (51%) bermaksud undian yang dibuat adalah berpandukan kepada persetujuan ahli lembaga pengarah/persatuan di mana kumpulan ini turut terdiri daripada wakil penyokong sesebuah pasukan.
Mereka bukan sahaja dilabelkan sebagai penyokong, malah dianggap sebagai peserta dan sebahagian pemilik saham yang mempunyai hak untuk membuat keputusan.
Sementara baki iaitu 49% adalah suara/undi yang dimiliki oleh pelabur/syarikat yang memiliki sesebuah pasukan.
Undang-undang ini jelas mengurangkan kuasa pemilikan syarikat sekaligus mampu melindungi pasukan dari sebarang tindakan syarikat yang mempergunakan pasukan bola sepak untuk tujuan selain dari bola sepak seperti membiayai hutang dari perniagaan asalnya.
4 pasukan yang tidak terikat dengan 50+1
Namun demikian, terdapat 4 buah pasukan yang diberikan kelonggaran dari terikat dengan peraturan ini. Ini disebabkan komitmen individu ataupun syarikat yang secara konsisten menyumbang lebih dari 20 tahun dalam sesebuah pasukan dan sumbangannya itu haruslah bermula selepas 1 Januari 1999 untuk diberi kelonggaran dari terikat dengan peraturan ini.
Wolfsburg dan Bayer Leverkusen adalah milikan secara 100% oleh syarikat. Volkswagen memegang saham pasukan Wolfsburg sejak dari pembentukan pasukan, manakala Leverkusen dimiliki oleh Bayer AG iaitu sebuah syarikat ‘pharmaceutical’ yang sudah lama bertapak di Leverkusen.
Sementara itu, TSG Hoffenheim turut diberikan pengecualian. Ini disebabkan atas dasar komitmen pemilik pasukan ini yang sudah berbakti dengan pasukan ini melebihi 20 tahun.
Pemiliknya, Dietmar Hopp telah banyak menyumbang dari segi wang ringgit untuk membangun pasukan dan menyediakan fasiliti terbaik untuk pasukan. Dianggarkan sebanyak 350 juta euro telah dibelanjakan sejak tahun 1989 oleh Hopp untuk meningkatkan reputasi pasukannya itu.
Hasilnya, pada tahun 2015, Hoffenheim diberi pengecualian dari terikat dengan peraturan 50+1 ini.
Berlainan pula dengan RB Leipzig. Pada dasarnya dimiliki oleh Red Bull, namun atas dasar beberapa peraturan, nama Red Bull tidak boleh digunapakai untuk mewakili pasukan dan ditukar kepada RasenBallSport (RB).
Meskipun pasukan ini dilihat masih terikat dengan peraturan 50+1, namun secara realitinya, pasukan ini dianggap bebas disebabkan ahli lembaga pengarah atau ‘shareholder’ nya terdiri daripada penyokong pasukan RB Leipzig dan mereka turut merupakan pekerja syarikat itu.
Oleh itu, ia membentuk milikan 100% (tidak rasmi) kerana 11 penyokong yang ada dalam ‘board’ adalah pekerja mereka sendiri.
Rumusan
Terdapat beberapa pihak yang mengkritik peraturan ini di mana ia menghindarkan pelabur dari terlibat dalam liga ini.
Pengecualian 2 buah pasukan menyaksikan Hoffenheim dan RB Leipzig masih kukuh dari segi penajaan hasil dari kawalan lebih 50% oleh syarikat/individu.
Berbanding pasukan yang memiliki reputasi hebat secara tradisinya yang dilihat memiliki pembiayaan yang agak terhad kerana perlu bergantung kepada peraturan ini.
Sebagai contoh, pasukan Sttugart dan Hannover yang mempunyai reputasi gah sejak dari dahulu terpaksa bermain di liga divisyen dua pada musim 2015/16 akibat kurangnya bantuan dari pelabur walaupun jumlah penyokongnya jauh lagi tinggi berbanding Leipzig dan Hoffenheim.
Begitu yang berlaku pada Leipzig yang bermain di liga divisyen dua pada 2015/16, namun dinaikkan ke liga utama musim seterusnya hasil dari suntikan dana dari syarikat yang memiliki kawalan 100% terhadap pasukan.
Untuk rekod, perbelanjaan pasukan ini ketika di divisyen dua adalah yang tertinggi di mana mereka mampu membeli pemain Werder Bremen yang beraksi di Bundesliga dengan nilai perpindahan sebanyak 8 juta euro, satu angka yang sukar untuk disaingi oleh mana-mana pasukan yang beraksi di divisyen 2.