Perarakan Skuad Itali Jadi Punca Kes Covid-19 Di Rom Naik Mendadak

Itali Euro 2020 Rom

Petugas kesihatan di Itali menyalahkan sambutan besar-besaran di Rom bagi meraikan kejayaan Itali menjuarai kejohanan Euro 2020 sebagai punca utama kepada peningkatan kes positif Covid-19 di wilayah tersebut, lapor media negara itu.

Skuad Gli Azzurri diraikan oleh penduduk di sepanjang jalan di ibu negara Itali itu dengan menggunakan bas, sehari selepas berjaya membawa pulang trofi kejuaraan Eropah tersebut dari Wembley setelah menewaskan England menerusi penentuan penalti.

Pengarah kesihatan daerah Lazio, Alessio D’Amato dalam kenyataannya menjelaskan, kini kes positif telah meningkat sehingga lima kali ganda berbanding sebelum sambutan tersebut dijalankan.

Sehari sebelum final, iaitu 11 Julai lalu, hanya 122 kes sahaja dicatatkan. Namun kini ianya telah meningkat sehingga 500 hingga 600 kes setiap hari.

Justeru itu, D’Amato menyalahkan Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), Gabriele Gravina kerana meneruskan juga sambutan besar-besaran itu walaupun telah diberi amaran mengenai risiko peningkatan kes.

“Kini kita semua terpaksa membayarnya dengan harga yang mahal dengan peningkatan kes ini. Namun kita cuma bernasib baik tiada komplikasi di hospital,” ujarnya.

“Saya yakin kita akan melihat lebih banyak pertambahan kes selepas ini akibat dari sambutan itu dan peningkatan ini akan berlanjutan untuk tempoh beberapa hari lagi.

“Sebahagian besar kes positif adalah melibatkan golongan muda yang masih belum divaksin. Ia jelas menunjukkan betapa pentingnya program vaksinansi ini.”

Bagaimanapun, jurucakap kerajaan tempatan, Matteo Piantedosi menjelaskan pihaknya terpaksa membiarkan perarakan itu diteruskan kerana orang ramai sudah pun berkumpul di sepanjang laluan di bandaraya itu.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan skuad Itali:

Kenapa Itali Digelar “Azzuri” Dan Jersi Biru Jadi Pilihan?

Dua Gianluigi Yang Mencorakkan Kejayaan Itali

Kisah Giorgio Chiellini Bermandi Darah Demi Pertahan Maruah Itali Di Wembley

Leave a Reply