Perancis vs Argentina, kedua dua pasukan akan bertemu pada hari ini dalam perlawanan pertama peringkat kalah mati Piala Dunia 2018. Perlawanan akan berlangsung pada 10 malam ini waktu Malaysia bersiaran langsung dari Kazan Arena.
Sebelum kejohanan ini bermula, 2 pasukan ini dianggapa pasukan pilihan daripada kumpulan masing-masing. Namun Argentina berhempas pulas untuk mara sehingga sejauh ini.
Taktikal
Jika dari segi teknikal, pasukan Perancis ada kelebihan dengan kualiti pemain yang mereka ada berbanding dengan Argentina. Ini adalah generasi emas baharu dalam pasukan Perancis selepas era Zidane.
Namun isu yang lebih besar adalah taktikal. Perancis dan Argentina perlu pastikan taktikal mereka jelas pada hari ini.
Dalam perlawanan peringkat kumpulan, Perancis jelas bergelut dengan taktikal. Mereka berhempas pulas menewaskan Australia dan Peru dalam 2 perlawanan pertama.
Dalam perlawanan ke-3 peringkat kumpulan mereka jelas memerlukan Mbappe dan Nabil Fekir untuk memperbaiki aspek permainan di dalam pasukan mereka.
Pasukan yang sarat dengan bakat ini masih belum ada set serangan yang jelas. Sebelum ke Piala Dunia ini, mereka dijangka akan bermain dengan sistem serangan bertiga dengan Mbappe, Griezmann dan Dembele.
Namun dalam kempen Piala Dunia kali ini mereka jelas lebih bergantung kepada Olivier Giroud dalam sitem yang ada ‘target man’.
Argentina pula memerlukan aspek taktikal ini lebih daripada Perancis. Ini kerana kualiti pemain mereka jika dibandingkan 1 vs 1 dengan setiap pemain Perancis pastinya tidak memberikan kelebihan kepada mereka.
Dalam ‘power ranking’ yang disusun berdasarkan ketajaman pasukan dan kualiti hantaran, Argentina berada di ranking paling corot buat masa ini di antara 16 pasukan yang mara.
Kedua-dua jurulatih boleh dikatakan masih belum ada taktikal dan pasukan utama yang stabil.
Untuk Perancis, awalnya Deschamps dilihat sudah stabil dari segi aspek ini, namun apabila melihatkan kegagalan beberapa bahagian berfungsi lebih baik, beliau terpaksa melakukan perubahan pelan taktikal.
Aspek pertahanan
Argentina antara pasukan yang bergelut dengan aspek. 4 kesilapan ketika bertahan (3 kesilapan penjaga gol dan 1 kesilapan pertahanan) telah membuatkan mereka dibolosi dalam 3 perlawanan.
Menentang Iceland dan Croatia, Caballero melakukan 3 kesilapan penjaga gol yang membuatkan beliau dibolosi. Tak hairan beliau disisihkan dalam perlawanan ke-3.
Dalam perlawanan menentang Nigeria, Argentina melepaskan 1 penalti kerana kesilapan defensif ini. Argentina adalah pasukan dengan rekod perbezaan jaringan paling teruk di antara 16 pasukan akhir dengan -2 diikuti Mexico -1.
Perancis pula lebih stabil dalam aspek bertahan ini. Mereka hanya melepaskan 1 bolos setakat ini daripada penalti. Daripada situasi permainan terbuka, Raphael Varane dan rakan-rakan beliau jelas sangat stabil.
Serangan
Kita mengharapkan perlawanan ini akan menjadi perlawanan yang akan menyaksikan unit serangan kedua-dua pasukan. Perancis hanya menjaringkan 3 gol berhadapan dengan Australia, Peru dan Denmark di peringkat kumpulan dan kerap bergelut dengan aspek ketajaman di bahagian serangan (final third).
Penggiliran pasukan bukan alasan untuk sesebuah pasukan seperti Perancis tidak menunjukkan aksi yang lebih baik secara taktikal.
Argentina pula jelas ada isu terlalu bergantung dan mengharap kepada Lionel Messi. Beberapa pemain seperti Angel Di Maria harus ‘step up’ dalam peringkat ini. Aguero dan Higuain atau sesiapa sahaja yang akan menjadi no.9 ada tugasan sangat besar hari ini.
Pemain tumpuan
Lionel Messi pasti akan menjadi perhatian setiap perlawanan. Namun kali ini kami akan memberikan perhatian yang lebih kepada Ever Banega.
Peman ini memberikan impak positif setiap kali di dalam padang. Beliau lebih menyuntik elemen tenaga dan kualiti bertahan serta hantaran.
Raphael Varane beraksi cemerlang dalam Piala Dunia kali ini. Selain daripada kental bertahan, Varane antara ancaman yang kuat ketika situasi bola mati.
Sebelum wisel
Pasukan mana yang akan melepasi peringkat 16 pasukan ini? 2 pasukan yang dianggap ‘heavyweight’ dalam arena bola sepak dunia.
Perancis memiliki rekod 7 perlawanan piala tanpa melepaskan sebarang bolos kepada pasukan daripada Amerika Latin. Atau lebih tepat ada 757 minit tak melepaskan bolos kepada pasukan Amerika latin selepas kali terakhir 1986 menerusi Careca.
Namun begitu, 2 perlawanan mereka di Piala Dunia sebelum ini, kedua-duanya memihak Argentina dengan 2 kemenangan. Argentina juga menang kesemua 4 perlawanan major berhadapan dengan Perancis dalam sejarah pertemuan mereka.
Perancis dilihat memiliki pasukan yang lebih cergas kerana merehatkan beberapa pemain utama mereka dalam perlawanan menentang Denmark.